Showing posts with label ingat-ingatan. Show all posts
Showing posts with label ingat-ingatan. Show all posts

Sunday, April 03, 2011

Kiamatmu, setiap saat semakin mendekat.

di tulis oleh norashikin rahmat pada Sunday, April 03, 2011 0 komen best
Kawan saya dan saya, pada suatu pagi kami membaca suratkhabar bersama-sama. Dia membacakan headlines tentang bencana tsunami dan loji nuklear, lalu berkata, "eh kin, banyaknya bencana alam sekarang ni.. tanda kiamat kan, kin?"..

Tadi, bila membaca blog wanperlis tentang 'Gempa Bumi Ubah Paksi Bumi', apa yang terlintas di kepala saya ialah memang kiamat sudah dekat. Kiamat besar, hari yang dijanjikan Allah dimana Nabi S.A.W berkata, pada hari itulah ibu-ibu yang sedang menyusukan anak-anaknya akan meninggalkan anak mereka, kerana pada hari itu setiap manusia sudah tiada masa untuk orang lain melainkan mula menilik apakah nasib diri kelak. Hari yang mana orang kafir mula mengakui kehebatan dan kekuasaan Allah, mahu beriman tetapi telah terlambat.

Lintasan ini membuat saya terfikir, apakah kita tidak teringatkan kiamat yang sentiasa dekat dengan kita? Yang akan berlaku bila-bila masa? kiamat kecil, tetapi mampu membuat kita menangis di hadapan Allah untuk meminta satu hari saja masa lagi untuk beribadah mencukupkan amal hanya kepadaNya? Adakah kita lupa tentangnya?

Kita manusia, insan dan pelupa. Kerana itulah kita selalu diuji untuk diingatkan bahawa kita adalah hamba yang mesti bergantung harap hanya padaNya.

Kerana kita insan dan pelupa, maka kita perlu hidup bersahabat, mencari sahabat yang baik, medapatkan guru yang soleh atau mithali, supaya kita dapat hidup dalam komuniti yang baik.

Kerana kita hamba, untuk 'makan' dan terus 'hidup', kita perlu meminta dari Sang 'Tuan'. Untuk mendapatkan keperluan-keperluan ini, tidak ada lain yang seorang hamba boleh lakukan selain melakukan 'kerja' yang 'ditugaskan'. Hamba yang tidak bekerja adalah hamba yang malas dan layak dibuang dari kerjanya. Dan dia akan digantikan dengan yang baru.

Attachment dengan Tuhan itu penting. Tanpa Allah, siapalah kita. Allah telah berfirman, andai semua makhluk itu kufur, tidak berkurang sedikitpun kekuasaanNya, dan jika semua hamba itu taat, tidak bertambah sedikit pun keagunganNya. sedangkan bagi Allah, dunia baginya tidak sebanding pun dengan sebelah sayap seekor lalat, apatah lagi manusia kerdil macam kita.

Kita kerdil, sangat kerdil. Tuhanku, ampunkanlah kami dan kasihanilah kami..

Matikan kami dengan akhiran yang baik.

Kiamatmu, setiap saat semakin mendekat. Tersenyumlah kepada kematian, yakinilah bahawa dia sahabat baikmu di dunia.

Tuesday, December 14, 2010

Sebelum terlena..

di tulis oleh norashikin rahmat pada Tuesday, December 14, 2010 0 komen best
Harini, saya berpeluang melawat seorang yang berada dalam keadaan tidak bermaya untuk bergerak. Apatah lagi berjalan.

Bermacam-macam yang bermain di fikiran saya sepanjang ziarah itu.

Allah telah menarik nikmat.

Saya, bagaimana jika saya yang terlantar sakit begitu.

Saya mungkin akan give up dengan kehidupan ini. Sakit itu tarbiyyah. kaffarah. Cinta.

Untuk mengubat kelalaian, kita harus selalu menziarah orang sakit.
Untuk mencintai kematian, kita harus selalu mengingatkan diri kita tentangnya. Sebab pesan nabi; "orang yang paling bijak adalah orang yang mengingati mati".

Sebelum kita tidur, kita mesti fikir kat mana kita nak tidur, kan?
Photobucket

Monday, September 27, 2010

inspirasi - meeting someone special

di tulis oleh norashikin rahmat pada Monday, September 27, 2010 1 komen best
"A wise person is not someone who can give
the right answer,
but someone who can throw
a good question"- Prof Azizi.

Saya suka jumpa prof Azizi. Walaupun sibuk dengan pelbagai beban kerja dekan, tapi bila saya datang ke pejabatnya, dia sentiasa terbuka dan sudi meluangkan masa. Saya suka dengar kata-katanya, dan seorang mentor dan pemberi motivasi yang baik. Dia suka berbincang tentang sesuatu yang buat saya berfikir. Katanya;

"Sampai satu tahap dalam kehidupan ni, kita akan terfikir bahawa melontarkan soalan itu menjadi lebih susah berbanding menjawabnya".

Saya pun ada target sepertinya. Tak silap saya, prof mendapat gelaran prof madya pada umurnya 30-an, dan gelaran prof pada usia 40. Testimoni daripada pensyarah lain bila saya mention prof Azizi adalah pensyarah SDG saya, kata mereka: 'He is a very hardworking man'.

Pelajar UUM, sesiapa yang ada kesempatan, ambillah peluang untuk bertemu orang yang tidak dapat kita temui di jalanan ini: bukan mudah untuk mengutip ilmu daripada seorang yang hebat. Kita suka nak sibuk mengambil kata-kata falsafah Barat, padahal kata-kata itu boleh diperoleh daripada orang yang dekat kefahamannya dengan kita.

"Jadilah orang yang berfikir!"
Photobucket

Thursday, April 22, 2010

Untuk sahabatku yang papa..

di tulis oleh norashikin rahmat pada Thursday, April 22, 2010 1 komen best
Sahabatku yang papa, jika engkau mengetahui, bahawa Kemiskinan yang
membuatmu sengsara itu mampu menjelaskan pengetahuan tentang Keadilan
dan pengertian tentang Kehidupan, maka engkau pasti berpuas hati dengan
nasibmu.

Kusebut pengetahuan tentang Keadilan : Kerana orang kaya terlalu sibuk
mengumpul harta untuk mencari pengetahuan. Dan kusebut pengertian tentang
Kehidupan : Kerana orang yang kuat terlalu berhasrat mengejar kekuatan dan
keagungan bagi menempuh jalan kebenaran.

Bergembiralah, sahabatku yang papa, kerana engkau merupakan penyambung
lidah Keadilan dan Kitab tentang Kehidupan. Tenanglah, kerana engkau
merupakan sumber kebajikan bagi mereka yang memerintah terhadapmu, dan
tiang kejujuran bagi mereka yang membimbingmu.

Jika engkau menyedari, sahabatku yang papa, bahawa malang yang menimpamu
dalam hidup merupakan kekuatan yang menerangi hatimu, dan membangkitkan
jiwamu dari ceruk ejekan ke singgahsana kehormatan, maka engkau akan
merasa berpuas hati kerana pengalamanmu, dan engkau akan memandangnya
sebagai pembimbing, serta membuatmu bijaksana.

Kehidupan ialah suatu rantai yang tersusun oleh banyak mata rantai yang
berlainan. Duka merupakan salah satu mata rantai emas antara penyerahan
terhadap masa kini dan harapan masa depan. Antara tidur dan jaga, di luar
fajar merekah.

Sahabatku yang papa, Kemiskinan menyalakan api keagungan jiwa,
sedangkan kemewahan memperlihatkan keburukannya. Duka
melembutkan perasaan, dan Suka mengubati hati yang luka. Bila Duka dan
kemelaratan dihilangkan, jiwa manusia akan menjadi batu tulis yang kosong,
hanya memperlihatkan kemewahan dan kerakusan.

Ingatlah, bahawa keimanan itu adalah peribadi sejati Manusia. Tidak dapat
ditukar dengan emas; tidak dapat dikumpul seperti harta kekayaan. Mereka
yang mewah sering meminggirkan keimananan, dan mendakap erat emasnya.

Orang muda sekarang jangan sampai meninggalkan Keimananmu, dan hanya
mengejar kepuasan diri dan kesenangan semata. Orang-orang papa yang
kusayangi, saat bersama isteri dan anak sekembalinya dari ladang merupakan
waktu yang paling mesra bagi keluarga, sebagai lambang kebahagiaan bagi
takdir angkatan yang akan datang. Tapi hidup orang yang senang bermewah mewahan
dan mengumpul emas, pada hakikatnya seperti hidup cacing di dalam
kuburan. Itu menandakan ketakutan.

Air mata yang kutangiskan, wahai sahabatku yang papa, lebih murni daripada
tawa ria orang yang ingin melupakannya, dan lebih manis daripada ejekan
seorang pencemuh. Air mata ini membersihkan hati dan kuman benci, dan
mengajar manusia ikut merasakan pedihnya hati yang patah.
Benih yang kautaburkan bagi si kaya, dan akan kau tuai nanti, akan kembali
pada sumbernya, sesuai dengan Hukum Alam. Dan dukacita yang kausandang,
akan dikembalikan menjadi sukacita oleh kehendak Syurga. Dan angkatan
mendatang akan mempelajari Dukacita dan Kemelaratan sebagai pelajaran
tentang Kasih Sayang dan Persamaan.
(Dari 'Suara Sang Guru')

KASIH SAYANG DAN PERSAMAAN, oleh Khalil Gibran

nota: Khalil Gibran  atau Kahlil Gibran, saya tak pasti ejaan namanya yang betul. sajak ini saya peroleh daripada PDF yang bersumberkan 4shared.com. Puisi-puisi beliau banyak menyentuh dan memberi teguran kepada umat tentang kehidupan, menyeru kepada kesedaran mensyukuri nikmat, dan mengenal erti hidup. Beliau berasal dari Lubnan dan riwayat hidupnya boleh dibaca di sini [klik]. Beliau lahir pada Januari 1883 dan meninggal dunia pada tahun 1931.


Photobucket

Wednesday, April 21, 2010

.it is the best of times..it is the worst of times.

di tulis oleh norashikin rahmat pada Wednesday, April 21, 2010 2 komen best
penat kerana berjuang itu memberi satu kepuasan.

maksud saya, penat kerana belajar itu adalah hal yang tak apa berbanding penat kerana sesuatu yang tak bermanfaat. Entah kenapa, di akhirnya, saya masih terasa apa yang saya buat tak pernah cukup untuk dipanggil usaha.

kawan,
hidup ini hanya sekali.

sebab itulah namanya blog ini "it is the best of times..it is the worst of times"
hidup ini tentang masa. waktu dan ruang yang bertemu dan ia menjadi suatu sisi bermakna.

kalau anda nak sia-siakan masa muda dan membuang-buang hidup ini, silakanlah. untuk yang sudah menemui erti hidup,  tahniah.

kita akan rugi kalau tidak berilmu, beruntung kalau mempunyai ilmu, bijak kalau mengamalkan ilmu dan bermanfaat kalau mengajarkan ilmu.

maka, lanjutkanlah gerak merebut kemenangan!

good luck, kawan-kawan.
Photobucket

Tuesday, April 20, 2010

marah itu merugikan

di tulis oleh norashikin rahmat pada Tuesday, April 20, 2010 0 komen best
  1. Syaitan amat suka kepada orang yang marah
  2. Orang yang marah menyebabkan kawan-kawan lari daripadanya
  3. orang yang marah melepaskan masa-masa dalam kehidupannya untuk tersenyum dan mengecap nikmat hidup
  4. muka orang yang marah tidak suka untuk dipandang oleh manusia
  5. syaitan akan sentiasa menghasut manusia supaya berdendam dan marah-marah, dan kalau kita menjadi benar-benar marah bererti kita telah berjaya dihasut syaitan---ini bererti kita memberi kemenangan kepada musuh kita
  6. apabila kita marah tanpa sebab yang munasabah, bererti kita seorang yang zalim kerana tidak meletakkan sesuatu pada tempatnya. sebagai seorang yang bergelar muslim, kita sepatutnya marah kepada diri sendiri apabila melakukan kemungkaran, melihat kemungkaran, dan tidak mencegah kemungkaran.
  7. marah akan membuatkan terputusnya silaturrahim dan rosaknya persahabatan
  8. marah itu bukan sifat seorang muslim yang berilmu, tetapi ia adalah sifat syaitan dan iblis yang benci kepada kebaikan
  9. orang yang marah bererti fikirannya diluar batas kewarasan, gagal mengawal nafsu dan fikirannya terganggu.
  10. Orang yang marah adalah orang yang kerdil kerana berfikiran sempit dan gagal mengawal diri. Orang begini tidak akan dilantik menjadi ketua, tidak disukai sahabat handainya dan jika diselidik, didapati banyak sekali umpat keji orang terhadapnya kerana dia tidak boleh ditegur dan mudah melenting. Dia hidup dalam dunianya sendiri, ditipu perasaannya dan amat sedih jika didalami jiwanya.
  11. Marah itu api, ia membakar diri
  12. setiap yang dimulai dengan kemarahan akan berakhir dengan rasa malu (selalu terkena nih, hehe)
Cara menghadapi marah, kemarahan dan orang-orang yang marah:
  1. beristighfar
  2. sabar
  3. minum air
  4. ambil wudhuk
  5. jika sedang berdiri maka duduklah, jika sedang duduk maka berbaringlah, jika sedang berbaring maka tidurlah.
  6. Mendalami ilmu dan merendahkan hati
  7. jauhi orang lain ketika hati sedang marah, atau sedang menghadapi orang yang marah diamlah seketika atau jarakkan diri daripadanya sebentar.
  8. banyakkan berzikir
  9. banyakkan membaca kisah sahabat dan sirah nabi, dan contohi bagaimana mereka menahan kemarahan, waktu bagaimana yang mereka marah dan bagaimana mereka menghadapi kemarahan. (Contohnya, ketika seorang lelaki meludah seorang sahabat ketika dalam peperangan dan sahabat hampir memancungnya dengan pedang, tetapi tidak jadi kerana takut dimurkai Allah, boleh jadi dia membunuh kerana kemarahan diludah, bukan kerana jihad memperjuangkan Islam).
  10. Merasa takut dimurkai Allah jika marah
  11. berdoa kepada Allah supaya dilindungi daripada perasaan marah yang tidak sepatutnya/berdoa dilindungi daripada hasutan syaitan
  12. memperbanyakkan zikir, kerana kita tidak tahu bila maghfirah itu sampai.
  13. Contohi akhlak nabi..(Ingatlah, nabi tidak pernah marah kepada orang yang melemparkan tahi dan sampah kepadanya setiap hari, tidak pernah mendoakan azab ditimpakan kepada umatnya dan sentiasa mendoakan kebaikan.) menahan marah juga satu sunnah.
  14. memaafkan orang lain supaya tidak jadi marah.
Natijah menjauhi marah
  1. hidup akan menjadi lebih tenang
  2. mendapat kemenangan melawan nafsu dan bisikan syaitan
  3. iblis dan syaitan bersedih kerana tidak berjaya mempengaruhi kita
  4. terbebas daripada belenggu penyakit hati
  5. Belajar untuk bersabar
  6. mendapat ganjaran pahala dari Allah
  7. disukai orang sekeliling
  8. didoakan malaikat
  9. disayangi Allah dan Rasul
  10. mendapat banyak kebaikan dengan bersabar
Keberkatan itu tidak datang kepada hati yang ditutup nafsu..dan bertenang-tenang itu adalah lebih baik kerana ia daripada malaikat..Orang yang gopoh gapah, selalu rugi kerana gopoh gapah itu sifat syaitan..

Maafkan saya kalau ada khilaf, saya juga manusia yang lemah menghadapi kemarahan. Saya menulis untuk mengingatkan diri, dan berkongsi.

saya pernah dimarahi seorang senior dalam satu program kerana kesilapan saya, dan saya dimaafkan.. dari sikap senior saya itu, saya belajar sesuatu. Dia hanya marah pada masa yang perlu, dan dia sangat cool. Inilah sifat orang Islam sebenarnya, profesional. Jadi, tak ada sebab untuk saya tak memaafkan orang lain apabila saya marah, kerana saya pernah dimarah dan pernah dimaafkan.

Marah itu membawa 1001 kekesalan, 1001 keburukan, 1001 kebencian..

Berhentilah menjadi orang yang rugi, dan lanjutkanlah gerak merebut kemenangan!

Semoga bermanfaat.


Photobucket

Friday, April 02, 2010

UUM out of electric

di tulis oleh norashikin rahmat pada Friday, April 02, 2010 2 komen best
dah hampir tiga jam bilik saye tadek elektrk. Bila tanya seniorita-seniorita, mereka kata satu UUM tadek karen-biar benar...katanya kampus Kachi pun mengalami nasib yang sama-apa sudah jadi?

Takpelah. dah selalu sangat duduk dalam kesenangan dan rasa sejuk, sekali sekala Allah kasi panas, bagus juga. Boleh dipanggil room for improvement-muhasabah erti panas. Kita ni kalau sentiasa dalam kesenangan kita tak perasan tentang kesusahan. Rasulullah SAW bersabda, "Sesiapa yang Allah mahukan kebaikan baginya , nescaya Dia akan menguji dengan kesusahan" (Riwayat al-Bukhari).

Salam sayang, Semoga bermanfaat.
post signaturePhotobucket

Wednesday, March 31, 2010

9/10, bukan lagi rahsia-part 3

di tulis oleh norashikin rahmat pada Wednesday, March 31, 2010 0 komen best
Dalam forum ini, Ustaz Zahazan mengatakan bahawa Business adalah membina orang-orang di sekeliling kita untuk menyokong kita. Franchise-jenis perniagaan berangkai di bawah satu penjenamaan seperti 7Eleven- sebenarnya adalah berasal darpada teori Islam, berdasarkan teori koperasi Islam.

Berniagalah untuk mendekatkan diri kita dengan Allah. Berdoalah untuk sentiasa dekat dengan Allah.Pernah dengar tak nama Abdullah bin Sirin, seorang saudagar minyak zaitun? Pada suatu hari, pekerjanya mengkhabarkan bahawa satu daripada 100 tong minyaknya dimasuki tikus-atau lebih tepatnya, mengandungi bangkai tikus. Lalu Abdullah bin Sirin memerintahkan satu tong minyak itu dibuang isi keseluruhannya. Belum sempat khadam itu kembali ke tempat tong minyak tadi berada, pekerja lain telahpun mengangkat tong minyak yang mengandungi bangkai tikus itu untuk berada bersama-sama tong minyak yang lain. Apabila Abdullah bin Sirin mengetahui hal ini, maka beliau memerintahkan kesemua minyak zaitun daripada 100 tong yang ada dituangkan, iaitu dibuang. Adakah anda merasakan ia membazir dan rugi? Saya yakin dan pasti, orang yang tidak beriman akan membuang sahaja bangkai tikus itu dan menjualkan kesemua minyak zaitun, tapi Abdullah bin Sirin sanggup melakukannya demi mengharapkan keredhaan Allah dan takutkan balasan Allah.

Subhanallah, bersemangat betul rasanya saya. Cari dan galilah semangat orang yang berjaya yang mengharapkan keredhaan Allah, dan banyakkan berdoa supaya Alah mengajar kita perkara baru yang orang lain tidak tahu. Junjungan kita, Nabi Muhammad S.A.W mengajar umat Islam supaya jangan bergantung kepada orang lain, dan penuh pengharapan kepada Allah kerana itulah kemuliaan yang paling tinggi. Janganlah kita bergantung kepada orang yang tidak ada kemuliaan padanya.

Dr. Jamnul berkata, bab rezeki ni, janganlah bergantung dengan manusia. Jangan berkira sangat... Sebabtu kita jangan kedekut dan lokek.. Imam Hasan al-Basri keika ditanya tentang ketenangannya (sebab beliau ni sangat tenang orangnya), dia menjawab; "kerana aku tahu bahawa rezekiku ditetapkan oleh Allah.."

Sewaktu sesi soaljawab, ada yang bertanya tentang meletakkan pelaris di dalam premis dan kedai, iaitu ayat-ayat al-Qur'an, gambar sultan, dan lain-lain. Soalan ini dijawab dengan menyatakan bahawa amalan kepada ayat itu yang penting, bukan hanya dengan menggantungnya semata-mata. Amalan ini dibimbangi menjadi khurafat, sebab kita seperti mengharap kepada kedatangan rezeki hasil daripada ayat itu, bukan semata-mata dari Allah-wallahu a'lam.

Dari segi pengiklanan, ahli panel berpesan, pengiklanan juga menyumbang kepada punca rezeki, jadi biarlah pengiklanan itu mengikut syara' dan baik, bukan mengunakan model-model yang tak menutup aurat dsb. Sebenarnya perkara-perkara begini amat halus perhitungannya, terutama dari segi punca rezeki..kita mesti sangat berhati-hati, untuk mendapatkan rezeki yang halal lagi baik dalam perniagaan, khususnya. Jadilah kita orang yang amanah, dan banyaklah bersedekah dalam mengusahakan perniagaan. Ini kerana Allah berjanji akan memberikan pulangan berganda-ganda kepada orang yang suka bersedekah-ingat tak kisah Saidina Ali sedekah buah delima kepada seorang tua di perjalanannya padahal buah delima itu untuk isterinya, Fatimah yang mengidam? Allah memberikan kepadanya pulangan 10 biji buah delima, dihantar melalui malaikat pula- lihat bagaimana Allah mengangkat darjat dan memberi kemuliaan kepada orang yang bersedekah.

Wallahu a'lam. semoga bermanfaat fillah.


Photobucket

Friday, March 12, 2010

asyik kena tolong je..lemak aa..

di tulis oleh norashikin rahmat pada Friday, March 12, 2010 2 komen best

Akhir-akhir ni beberapa pensyarah selalu kata, "Saya akan cuba tolong awak mana yang mampu"

Saya sangat letih, muak, penat dan bosan. Sejak dari sekolah menengah, matrikulasi, sampailah ke universiti. Sampai bila student asyik nak ditolong aje? Inilah puncanya pelajar tak berkualiti.

Student naik lemak berganda-ganda. Kalau layak dapat takat markah tu aje, sudahlah. Keputusan akhir takkan dapat membantu seseorang ketika dia bekerja nanti.

Untuk memurnikan kembali prestasi pelajar (saya), saya seru para pensyarah, buatlah keputusan yang rasional...Kadang-kadang anda seperti melepaskan anjing tersepit, hari ini anda lepaskan dia dari kesusahan, kelak dia menggigit anda. Kalau anda terlampau membantu saya yang malas berusaha ni, ia akan menjadikan saya lebih malas daripada sekarang. Ia membuatkan saya berfikir bahawa tanpa usahapun saya bakal mendapat keputusan yang baik. Dengan keputusan 'yang dibantu itu', siapa tahu saya layak menjadi 'somebody'. Mungkin suatu hari nanti saya menjadi pemerintah yang zalim, mungkin saya akan menjadi orang yang merasuah, mungkin saya melakukan hal mungkar. Ini semua kerana keputusan 'yang dibantu' tadi.

Ingatlah, perhitungan Allah itu sangat halus..

Kita sebagai pelajar jangan terlampau mengharapkan pertolongan dari pensyarah. Berusahalah sebaik mungkin, kerana ada barakah darinya. Ketahuilah, meski gagal sekalipun, tetapi dengan usaha, gagal pun manis rasanya. Tapi saya percaya, orang yang berusaha tidak akan gagal, kerana memang itu hukum alam. Allah telah berfirman, "Beruntunglah bagi orang-orang yang berusaha.."

Terseksa jiwa ini tatkala sang guru cuba memberkan kegembiraan palsu.. Tidak mengapalah dengan keputusan buruknya, saya terima.. Sekurang-kurangnya saya tahu usaha saya belum cukup..

Terseksa jiwa ini apabila rakan-rakan tertipu.. Di mana jiwa seorang pendidik yang tugasnya meresapkan ruh ilmu ke dalam jiwa pelajarnya, menerapkan cinta kepada ilmu?

Terseksa jiwa ini tatkala diajar hanya untuk bagaimana menghadapi peperiksaan.. Apalah sangat peperiksaan yang hanya 2, 3 jam berbanding sebuah kehidupan 20, 30 tahun lagi?

Saya tak mahu jadi mahasiswa yang tak ada otak.

Semalam keputusan SPM keluar..tahukah kita betapa ramainya yang ditipu dengan kegembiraan palsu? Hanya orang yang berusaha je dapat merasai manisnya kejayaan.

Walaupun saya hanya pelajar yang average, saya gembira. Berkat dalam usaha tidak dapat diganti dengan apa-apa. Silakan merasa bersalah jika mendapat gred bagus tanpa usaha.

Inilah dunia.

Marilah berusaha bersungguh-sungguh, serahkan selain itu kepada Allah. Kalau ada pensyarah anda yang suka bantu-bantu, beranikanlah hati untuk berdepan dengannya dan katakan, "Takpe encik/puan, jangan dibantu keputusan saya". 

sekadar perkongsian rasa. semoga bermanfaat.

Photobucket

Thursday, February 04, 2010

kenapa saya sepohon kayu mati?

di tulis oleh norashikin rahmat pada Thursday, February 04, 2010 4 komen best
Seorang perempuan remaja berumur dalam lingkungan belasan tahun termenung. Dia memandang ke luar tingkap bas, membuang ingatannya yang sarat tertumpu pada tugasan-tugasan kuliah yang tidak kunjung habis. Ditambah dengan aktiviti-aktiviti luar kuliah, semua itu, walaupun kesukaannya, kadang-kadang membuat dia terasa lelah. Di sepanjang perjalanan, mujur ada pohon-pohon yang saujana menghijau, mendamaikan hatinya. Nun di hujung pandangan, langit petang yang menabiri alam sungguh indah.Hatinya berbisik halus,

"Meski jauhnya jurang antara langit dan bumi, kedua-duanya tetap saling memerlukan. Apalah ertinya bumi tanpa langit, bermaknakah langit tanpa bumi. Hijau dunia tanpa biru langit membosankan, Biru alam tanpa kehijauan bumi cukup menjemukan."                                                 [diilhamkan daripada 'ikatan langit dan bumi']

Perjalanannya petang itu jauh, dia menanti ketibaannya ke kampung yang dirindui.Entah kenapa, kali ini matanya tidak mahu lena. Dalam perjalanan itu, dia melalui sebuah jambatan yang menyeberangi muara. Air di muara itu, dari hulu sungai menuju ke laut lepas. Alangkah ajaibnya, di muara itu warnanya seperti kuning keperangan, tetapi dihujung matanya laut lepas berwarna biru kehijauan. Hatinya berzikir memuji Ilahi. Dia teringatkan tafsir ayat terakhir dari surah Al-Mulk yang bermaksud, 
"Adakah kau lihat jika airmu terbenam (ke dalam bumi), maka siapakah yang memberimu air yang mengalir?" [al-Mulk:30]
Maha Suci Allah.. Dia tahu bahawa sifat bumi itu menyerap air, ajaibnya, air sungai yang mengalir tidak pula diserap bumi.. Dan air ini digunakan manusia buat meneruskan sistem kehidupan..Subhanallah.. hatinya memuji lagi. Kalau tidak Allah yang mengalirkan air ini menjadi sungai, pasti manusia sudah mati kehausan..

Melepasi jambatan tadi, bas yang dinaikinya terus bergerak melintasi sebuah padang. Matanya tertumpu pada sepohon pokok tunggal di tengahnya. Hatinya tersentuh, kerana kasihankan pokok itu yang tunggal, tidak ada pohon-pohon lain di sekelilingnya. Pohon itu bagaikan menahan terik mentari. Tiba-tiba airmatanya mengalir. Dia rasa malu dengan pokok itu.Hatinya merintih;

"Pohon itu tidak rebah tatkala sepanjang hayatnya ia sendirian ditiup angin, malah ia redha daunnya gugur jatuh ke bumi. Tatkala menahan terik mentari, ia tidak mati malah subur. Ia tak mengeluh penat seperti aku. Tatkala ditimpa hujan, pokok itu tidak menepis, malah menerimanya sebagai anugerah di hujung panas. Tidakkah pokok itu lebih bersyukur daripada aku? daunnya, segan mahu gugur selagi tidak diizinkan Allah."
 Hari menjelang senja, dan matanya tertumpu ke langit. Di awanan, sekawan burung terbang, pulang ke sarang agaknya. Akalnya memberi pandangan; sedangkan manusia pun tidak mempu bermuafakat berjalan seiring pada waktu mereka menuju ke arah yang sama.. Tetapi, burung tak berakal, berjiwa kecil di langit yang tebentang luas, namun mereka mampu untuk seiring.. Laa ilaaha illallahh..
Dan tidaklah Kami jadikan langit dan bumi dan apa yang ada di antara keduanya sebagai mainan.[al-anbya';16]
Sejenak, dia terlelap dalam fikirannya tentang burung-burung kecil tadi. Tidurnya tidak lena, dan dia tersedar tiba-tiba.. Apabila tersedar, destinasinya masih jauh. Kakinya kebas. Perjalanan yang mengambil masa hampir lima jam itu membuatkan dia terasa penantiannya terlalu panjang. Hatinya sebak, dia terasa di tubir matanya ada air bergenang. Dia teringat mimpinya tadi. Dalam mimpinya, dia merupakan sepohon kayu mati..

-----------------------------------------------------------------------------------------------

ikin: Bayangkan anda adalah si gadis yang diceritakan di atas. Apakah yang anda fikirkan setelah bangun daripada tidur dengan termimpikan diri anda sebagai sepohon kayu mati? Apakah analoginya?

Tuesday, January 26, 2010

khas kukongsikan persoalannya

di tulis oleh norashikin rahmat pada Tuesday, January 26, 2010 0 komen best
Waktu menyertai program Mahasiswa Robbani anjuran Haluan Siswa di Taiping, akhi Solehuddin bin Syuib ada menghuraikan faktor-faktor kemunduran umat Islam sebagai pengisian kepada slot 'Kepentingan Tarbiyah'.

Beliau menyebut beberapa keadaan umat Islam pada hari ini, iaitu ramai, tetapi banyak masalah dari segala sudut: ekonomi, politik dan sosial. Antara faktor-faktor kemunduran umat Islam yang diketengahkan ialah:

  • Jauh daripada Al-Qur'an dan As-Sunnah
 Dalam masyarakat kita,terlalu banyak kepercayaan tahyul. Kepercayaan kita tidak berasaskan panduan, iaitu al-Qur'an dan Hadis. Menurut Ibnu Tamiyyah, antara sebab kita menjadi acuh tak acuh dengan al-Qur'an ada 3: Tak membaca al-Qur'an, ataupun membaca al-Qur'an tapi tak tadabbur, ataupun kita membaca al-Qur'an, bertadabbur, tapi tak beramal.
  • Umat Islam berpecah kerana masalah-masalah furu' (cabang)
Biasanya masaah furu' berpunca dari perbezaan  mazhab.Apabila orang Islam berpecah, maksudnya ada masalah dalaman. Kita sebagai umat Islam perlu main peranan, supaya faktor-faktor kemunduran dapat dihapuskan.
"Dan yang telah menyatukan hati-hati mereka, walaupun kamu membelanjakan segala-galanya di atas muka bumi ini, takkan bersatu hati mereka. Kerana hanya Allah yang menyatukan hati-hati mereka"
  • Ada rasa inferior dengan Islam, tidak merasa 'izzah dengan Islam
Punca utama kita merasa inferior ialah kita melihat Islam ke belakang dalam semua hal. Dalam hati, kita meletakkan Barat sebagai hebat, padahal Amerika ialah negara yang diklasifikasikan sebagai "a man with one eye among the blind"-taklah hebat mana pun...

Kita mesti bangkitkan kembali rasa 'izzah kerana Islam itu tinggi dan tiada yang menandingi. Dalam al-Qur'an ada menyebut, "Jangan kamu merasa lemah dan sedih hati, padahal kamu orang yang paling tinggi darjatnya di sisi Allah, dengan syarat kamu menjadi orang yang beriman.."
  • adanya gejala taqlid(ikut-ikutan)
Kita sebagai umat Islam tidak menggali sendiri khazanah kita. Akibatnya, kita memandang dan sentiasa mengangkat baik apa yang ada dari Barat. Padahal kita belajar sejarah dan kitatahu bahawa ilmu yang mereka ada, mereka cedok dari ilmuwan Islam tatkala mereka keluar dari zaman gelap dan mereka melupuskan karya-karya ilmuwan Islam sehingga dikatakan hitam jadinya Sungai Nil oleh larutan dakwat yang ada pada kertas. Barat mencedok banyak etika ilmu Islam melalui Sirah Rasulullah, lalu mengiktirafnya sebagai hak cipta mereka. Contohnya, ara belajar terbaik yang dikatakan Barat ialah melalui kaedah dua hala: tanya dan jawab. Kaedah ini sebenarnya diajarkan Allah melalui satu peristiwa penurunan wahyu oleh Jibril kepada Nabi Muhammad S.A.W. Ketika itu, malaikat Jibril a.s. merupakan diri dalam bentuk manusia bertemu Nabi Muhammad dan bertanya tiga soalan: Apa itu Iman, Apa itu Islam dan Apa itu Ihsan. sebuah hadis ada menyebut, "Hikmah ini ialah barang yang hilang daripada orang mukmin".

Oleh itu, kita perlulah cerdik, dan rasa 'izzah dengan Islam. Barulah kita boleh memartabatkan kembali Islam dengan meletakkannya di tempat yang tinggi dalam hati kita. Ambil balik ilmu kita dan bangunkannya semula.
  • tertinggal dalam ilmu pengetahuan dan teknologi
 Kita sedia maklum, Islam menyanjung tinggi orang yang menjunjung ilmu pengetahuan. Ketertinggalannya kita dalam ilmu pengetahuan dan teknologi bekan sahaja menampakkan kita lemah dan mundur, malah kita diserang bertubi-tubi dari segala sudut. Kita tak menunjukkan yang kita ni umat terpilih,jadi orang Yahudi yang merasakan mereka adalah bansa terpilih menganggap manusia lain sebagai binatang yang berhak dibunuh. Kita perlu mengembalikan kegemilangan Islam dengan berusaha memartabatkan ilmu dan melahirkan ahli mujahid.
  • kerana faktor-faktor luaran
Faktor-faktor luaran kemunduran umat islam berupa gerakan-gerakan yang hendak memurtadkan orang Islam.Persoalannya adalah apa yang perlu kita lakukan bagi menghadapi faktor luaran.Pada tahun 1928, Imam Hasan al-Banna dan barisan sahabatnya telah melihat kejatuhan umat Islam dan mula membincangkan masalah kecelaruan umat. Mereka telah berfikir bagaimana hendak membangunkan semula Islam; lalu telah menemukan jawapannya dalam surah ar-Ra'd, ayat 11 yang bermaksud; "Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum melainkan mereka mengubah apa yang ada dalam jiwa mereka". 

Memperkasakan iman adalah jaLan terbaik, dan iman boleh didapati melalui proses tarbiyah. Bukan tarbiyah yang tidak menentu, tetapi tarbiyah Rasulullah s.a.w. Ingin aku nukilkan, rukun bagi pemuda ialah; iman, keikhlasan yang mendalam, semangat yang berkobar-kobar, serta amalan persediaan yang rapi dalam perjuangan.
"SYABAB TANPA SEMANGAT ADALAH TUA, IAITU TUA SEBELUM MASANYA."
Musuh Islam memang suka dengan pemuda Islam yang mengamalkan sikap 'just wait and see'. Mereka melalaikan masyarakat dengan dunia kapitalisme.

Mustafa Mahmud pernah berkata, "Tarbiyah bukan segalanya, tetapi segalanya boleh tecapai dengan tarbiyah". Dr.Yusuf al-Qardhawi pula menyatakan, "generasi akan datang adalah generasi yang dimenangkan Allah, tak sudi beramal dalam kegelapan, berkorban, bukan berbangga diri, yakin bahawa kematangan tak dicapai dengan banyak bercakap, dan tak dicapai dengan banyaknya gurau senda".

    Beliau juga ada menyatakan penyelesaian kepada permasalahan ini, antaranya;
    • Setiap orang Islam perlu kembali melaksanakan Islam dalam seluruh aspek kehidupan. Tidak ada jalan lain selain ini.
    • Mendidik generasi dengan tarbiyah Islamiyyah. Kita perlulah berada dalam tarbiyah yang syumul, menyeluruh dari segala aspek: fizikal, akal dan rohani. Untuk itu, kita harus mempunyai halaqah, dan ada murabbi.
    • Mempersiapkan kekuatan semaksimum mungkin. Ini bertepatan dengan hadis, "Bersiap sedialah kamu menghadapi mereka." Persiapan yang dimaksudkan bukan sahaja merangkumi aspek kekuatan, tetapi juga hampir seluruh aspek; iaitu persapan ekonomi, iman, ukhuwwah, teknologi dsbg..
    • Jihad dan pengorbanan yang total, iaitu menyeluruh. Syed Qadhawi ada menyebut bahawa jihad ada 3 huraian dan salah satunya jihad melawan nafsu. Jihad melaan nafsu pula ada 4 huraian, iaitu jihad mencari hidayah, jihad mempertahankan hidayah, jihad menyampaikan hidayah kepada orang lain dan jihad untuk bersabar dalam melaksanakan ketiga-tiga jihad di atas, kerana sabar merupakan kunci kepada sesebuah kejayaan, Insya Allah.

    Wallahu a'lam. kalau ada yang salah, atau ada penambahan, sila beritahu dan betulkan.Sama-samalah kita memperbaiki diri, demi memartabatkan Islam! Yang baik itu datangnya dari Allah.. :)

    Sunday, January 24, 2010

    bukan provok tanpa kematangan

    di tulis oleh norashikin rahmat pada Sunday, January 24, 2010 2 komen best
    Tadi pagi aku menghadiri kelas Hubungan Etnik.

    Kuliah hari ini membincangkan tentang Hubungan Etnik Di Malaysia Secara Umum. Kuliah ini dikendalikan oleh pelajar, sebagai membentangkan tugasan 15%. Antara yang dibincangkan ialah usaha-usaha untuk memupuk perpaduan nasional, antaranya pengenalan kepada rukun negara, Dasar Ekonomi Baru(DEB), Dasar Pendidikan Kebangsaan, dan Dasar Kebudayaan. Dalam huraian tentang pengenalan Rukun Negara sebagai alat membentuk perpaduan, encik pembentang ada menyentuh tentang isu penggunaan nama Allah sebagai satu medium yang menjadi punca perpecahan kaum, selepas isu 13 Mei 1969. Katanya, "Mungkin pada suatu hari nanti prinsip 'Kepercayaan Kepada Tuhan' dalam Rukun Negara akan diubah menjadi 'Kepercayaan Kepada Allah'.

    Dalam sesi soal jawab pula, ada pelajar bertanya soalan yang bunyinya begini: "Tadi anda kata Rukun Negara merupakan alat membentuk perpaduan. Bagaimana caranya Rukun Negara boleh membentuk perpaduan sedangkan apa yang berlaku sekarang rakyat berpecah kerana isu penggunaan nama Allah?"

    Maka encik pembentang pun menjawab, "pertama sekali, Kepercayaan Kepada Tuhan. Sebenarnya ini suatu isu yang sensitif untuk saya terangkan, tapi saya cuba jawab. Bila kaum yang lain menggunakan nama Allah sebagai Tuhan, ini menimbulkan keraguan kepada orang lain. Ini memberi kesan kepada generasi masa depan, contohnya anak orang Melayu pening kalau anak orang Kristian pun cakap Allah tuhan mereka. Nama Allah adalah merujuk kepada Tuhan orang Islam, cuba anda fikir kalau....[blablabla...aku dah tak tumpu perhatian sebab tiba2 rasa telinga sakit dan hati panas. Lalu aku pun angkat tangan, minta penjelasannya diberhentikan sebab dewan kuliah pun dah mula panas dan bising dan bengang.]


    Apabila permintaan aku ditunaikan, maka persoalan yang lain diajukan. Ada yang bertanya tentang konsep top-down dan bottom-up dalam usaha membentuk perpaduan. Lalu pembentang menjawab bahawa ia adalah konsep interaksi antara golongan atasan dan golongan bawahan. Apa yang aku tak puas hati kat sini ialah pembentang seperti tidak arif dalam usaha menghuraikan kata-katanya dalam memberi contoh. kenapa mesti nak gunakan isu nama Allah, sedangkan ada isu yang lebih halus dan lembut boleh digunakan sebagai contoh, macam isu HINDRAF melakukan demonstrasi dan bantahan pada tahun 2007. Contoh ini boleh dia huraikan semasa membentang subtajuk 'hubungan ekonomi dan etnisiti', sebabnya ada yang bertanya soalan yang berbunyi, 'Anda kata ekonomi membantu pelaksanaan perpaduan antara etnik dan kaum, tetapi apa yang berlaku pada hari ini ialah ekonomi yang memecahkan perpaduan.Sila jelaskan.' Demi menjawab soalan ini, pembentang tak memberi contoh yang baik.

    Setelah yang memberi hujahan duduk, pensyarah, Ustaz Khadafi bangun memberikan ulasan tentang apa yang aku halang dari dibincangkan. Ustaz kata, "ini adalah universiti, dan tidak ada timbul isu sensitif dalam membincangkan ilmu. Kalau tidak dibincangkan disini, di mana lagi? di tandas ke?" Ya Allah..masa tu rasa macam bersalah pula. Rasa malu pun ada. Ustaz Khadafi berkata, "Kita tahu Allah yang jadikan orang Islam, orang Kristian, orang Buddha, orang Hindu, hatta segala manusia yang bermacam-macam agama sekalipun. Orang Arab bukan Islam pun panggil Tuhan mereka Allah. Jadi apa masalahnya kat Malaysia orang Kristian tak boleh guna nama Allah sebagai merujuk kepada Tuhan?" Ustaz bertanya, menguji.

    "Mereka merujuk kepada bukan Allah yang orang Islam sembah dan mengesakanNya, ustaz."
    "Konsep ketuhanan yang difahami oleh berlainan agama berbeza, ustaz"
    "menimbulkan kekeliruan, ustaz"

    Jawapan pelajar-pelajar dibimbing Ustaz Khadafi dengan menerangkan asbab kenapa nama Allah sebagai pengistilahan yang merujuk kepada Tuhan tidak boleh digunakan oleh yang beragama selain Islam.
    • Orang Islam dan orang bukan Islam sendiri tidak memahami kenapa tidak boleh sama sekali nama Allah digunakan oleh yang beragama bukan Islam, tapi memperkatakannya.
    • Ustaz menimbulkan persoalan, " Kenapa baru hari ini nak gunakan nama Allah sebagai merujuk kepada Tuhan oleh orang bukan Islam? Kenapa tak dari dulu?"
    • Orang Arab merujuk perkataan Allah sebagai Tuhan sebabnya perkataan Allah bermaksud 'Tuhan' dalam bahasa mereka sendiri. Tapi dalam bahasa Melayu, nama Allah merupakan sesuatu yang memang dirujuk sebagai Tuhan yang Satu, Yang Esa, Yang diagungkan.
    • Kerana konsep dan pemahaman kita berbeza. Kita tak mahu mempersendakan  nama Allah. Dalam Kristian, konsep trinity digunakan dalam mentafsirkan Ketuhanan. Tuhan ada anak, ada isteri[astaghfirullahalazim..]..ini akan menjadikan kedua-dua pihak akan pening, percantuman agama akan berlaku kerana ini[nauzubullah, Ya Allah..]. Pada aku, peristiwa orang Musyrik mengajak Rasulullah SAW bertukar2 agama telah kembali, [astaghfirullahalazim], lalu pada waktu itu turun ayat dari Allah yang disebut dalam Al-Qur'an, surah al-Kafiruun yang bermaksud, "Kami tidak menyembah apa yang kamu sembah".
    Aku amat berterima kasih atas bimbingan ustaz terhadap pemahaman kepada isu yang disebut2kan ini. Aku sebenarnya sangat tak ingin/tak mahu/tak suka mengulas isu ini kerana ilmu yang tidaklah seberapa, malah sewaktu program Mahasiswa Robbani, ada juga yang bertanya tentang pengupasan isu ini, tapi kata ustaz, ini bukanlah masalah pokok, tetapi masalah cabang yang dipolitikkan dalam memecahbelahkan perpaduan dalam kalangan rakyat. Jadi apa yang aku tuliskan hari ini cuma satu perkongsian dari setitik ilmu yang aku dapat, dan aku tak berniat pun  nak provok pembentang tadi dengan melulu. sebabnya, aku rasa dia bukan orang yang ahli dalam memperkatakan soal akidah. Tidak ada kompromi kepada orang yang menimbulkan kekeliruan kepada orang lain.

    Lalu, diakhir kuliah, aku meminta maaf kepada ustaz kerana menghalang pembentang dari apa yang ingin beliau sampaikan, dan ustaz menjawab, "Tak apa, (walaupun dia bukan orang yang ahli), kita kena dengar dulu apa yang dia nak sampaikan".

    Monday, January 18, 2010

    Program Mahasiswa Robbani

    di tulis oleh norashikin rahmat pada Monday, January 18, 2010 6 komen best
    Semalam aku sampai ke bilik beberapa minit selepas pukul 1.

    Pada 16-17 Januari yang baru berlalu ini, Haluan Siswa telah menganjurkan program Mahasiswa Robbani yang bertempat di Pulara Resort, Taiping, Perak. Tujuan program ini diadakan adalah bagi membina tautan-tautan hati dan mengeratkan silaturrahim antara peserta, di samping membentuk jiwa-jiwa robbani..

    Sebelum ini aku ada mempromosikan program ini di blog ini, di bahagian header. Dan penyertaan dari UUM termasuk aku adalah 4 orang, dan hasrat melihat penyertaan dari sahabat dari UUM tidak tercapai.

    Itu secara konkrit sahaja. Secara abstraknya, jauh di sudut hati, program ni banyak memberi ilmu dan pengalaman buat aku. Pada aku, program ni telahpun berjalan seawal aku mencari peserta dan mencari jalan tentang urusan pengangkutan.Pengangkutan ditaja oleh akh Fadhli, dan pemandu diimport dari KUIN. Terima kasih dan Jazakillah buat Kak Aisyah.. =) Ada rezeki nanti aku ambil lesen, Insya-Allah..

    Pengisian program kali ni penuh, dan banyak input yang aku peroleh. Belajar dari kesilapan, aku tak tidur masa program..alhamdulillah... coz masa kat Mar'ah, buat rugi je aku ter-'syahid' masa program, jadi banyak pengisian yang aku 'tak dapat'.. masa kena say something untuk kalimah akhirah, aku tak sedia, jadi aku rasa macam cara aku cakap macam kasar je.. bila dah duduk, baru aku rasa ada yang aku nak ucapkan..hmm..

     Masa kat program aku banyak bercakap..[hakikatnya aku memang perempuan yang banyak cakap, okeh] dan aku teringat juga yang suatu hari nanti akan tiba masanya kita diuji dengan kata-kata kita sendiri..  Semoga pada waktu tu, Allah bantu aku untuk mengingatkan aku tentang kata-kata aku..

    Seronok sangat program kali ni, terlalu pantas masa berlalu. Apa yang bestnya, tak dapat diungkapkan dengan kata-kata. Aku rasa aku dah kenal erti ukhuwwah, dan aku teringin nak kongsi perasaan tu..

    Waktu jungle tracking, aku digigit pacat. Selama ni aku rasa geli dengan pacat, dan makhluk-makhluk yang seangkatan: ulat bulu, ulat beluncas, gonggok, lipan, lintah.. tapi rupa-rupanya digigit lintah bukanlah hal yang menyakitkan..sedar-sedar je lipan tu dah takdek..mesti dia sangat kenyang makan darah aku..hehe..

    Hari kedua kami kena duduk dalam air sungai selama satu jam..dengan sangat sejuk..baca al-ma'thurat.. Bukan disebabkan tak bangun, tapi memang ada dalam perancangan. Kalut juga masa diberitahu tu.. Selepas tu, ada kalimah akhirah..dalam kalimah akhirah tu, ada disebut tentang suruhan membina istijam, iaitu keserasian dengan jiwa supaya kita tidak kekok, tak menjadi dagang dan pelik dengan Islam. Waktu ni, aku sangat teringatkan tugas aku sebagai seketariat Kaunseling.. naluri aku mengatakan yang keputusan aku menyertai seketariat ini di luar kesukaan Islam..Aku bertanya pendapat akh Fadhli, dan katanya bagus menyertai seketariat kaunseling, cuma aku akan melalui keadaan-keadaan yangaku t ak suka.. mungkin sebab tu, aku rasa tak senang dengan keputusan aku sendiri. Betul, akan sampai masanya aku diuji dengan kata-kata aku sendiri..

    Program dah berakhir, bermakna suatu waktu telah berlalu.Kalau aku hanya soleh masa program je, program telahpun berlalu. Tapi kalau aku soleh kerana Allah, Allah akan membantu aku untuk istiqamah.

    Aku amat mengharapkan pengertian Robbani terserap ke dalam jiwa ini..

    Sunday, January 03, 2010

    Untuk kita; yang mempersoalkan hipokrit dalam pelaksanaan ibadah

    di tulis oleh norashikin rahmat pada Sunday, January 03, 2010 0 komen best
    Hari ini aku ingin berkongsi artikel yang menjadi persoalan perempuan mahupun lelaki.. sebabnya, aku sendiri pun pernah tersepit dalam persoalan yang dibincangkan. Mudah-mudahan bermanfaat, dan membantu kita menyempurnakan ibadah. Artikel dipetik daripada laman web Ustaz Zaharuddin di zaharuddin.net yang bertajuk "Tak mahu hipokrit, akhirnya bertambah dosa."



    SOALAN
     
    Untuk pengetahuan ustaz,ibu saya telah menyuruh saya memakai tudung ketika saya berumur 13 tahun lagi. Saya hanya menurut katanya kerana bimbang dimarahi. Walaupun begitu, sekarang saya tidak lekat memakai tudung. Ini diketahui oleh ibu saya, dia hanya mampu membebel dan berkata, adik nak buat dosa, adik tanggung la sendiri, ibu dah buat apa yang patut.

     
    Sekarang saya sudah bekerja dan hanya memakai tudung di tempat kerja sahaja kerana di tempat saya, tindakan undang-undang akan dikenakan sekiranya pekerja tidak memakai tudung. Saya tahu hukum tidak menutup aurat, tetapi buat waktu sekarang, hati saya tidak terbuka lagi untuk terus menutup aurat (rambut dan leher).

     
    Cara pemakaian saya tidak seperti rakan-rakan saya yang menutup aurat. Mereka bertudung tetapi pemakaian mereka tidak melambangkan imej mereka. Baju, seluar ketat yang menampakkan susuk tubuh.

     
    Bagi yang memakai baju kurung, ada yang dari kain yang nipis dan jarang. Bagi yang berbaju kebaya, ianya terlalu ketat, berkain belah sehingga menampakkan betis dan jarang. Ada yang tidak memakai seluar tetapi memakai skirt panjang. Walaupun begitu, ianya ketat dan menampakkan garis pakaian dalam yang dipakainya.

     
    Tudung yang dipakai pula tidak menutupi dada. Lelaki-lelaki yang memandang tidak berkelip melihat mereka. Ada juga rakan saya yang betul-betul menutup aurat tetapi perangai dan kelakuan mereka lebih teruk dari perempuan yang tidak memakai tudung. Tidak menunaikan solat, panjang tangan, mengumpat, melayan lelaki yang bukan muhrim, pengotor dan pelbagai karenah lagi. Walaupun saya tidak memakai tudung, saya menjaga solat, pemakaian dan tingkah laku saya.

     
    Kawan-kawan saya ini ada menyuruh saya supaya terus memakai tudung tetapi saya tidak mahu menjadi hipokrit. Saya mahu berubah kerana saya sendiri yang ingin berubah. Saya mahu melakukannya dengan ikhlas, bukan kerana disuruh. Saya tahu hari itu akan tiba tetapi bukan sekarang.

     
    Semoga ALLAH membuka hati saya untuk terus memakai tudung. Amiin...

     
    - Diera -

     

     

     
    JAWAPAN

     
    Ada beberapa perkara yang saudari utarakan dalam soalan dan ingin saya berikan respon ringkas. Iaitu :-

     
    1) Isu tidak mahu bertudung ( menutup aurat) tanpa ikhlas kerana tidak mahu hipokrit serta tidak mahu berubah kerana disuruh.

     
    Sebenarnya isu ini telah agak banyak saya sentuh di dalam artikel-artikel yang lalu seperti berikut :-

     

     

     
    Namun demikian, disebabkan soalan ini ada menyentuh beberapa isu yang agak semasa dan kerap, saya berasa perlu untuk memberikan ulasan tambahan.

     
    Begini ulasannya, Allah swt dan RasulNya telah mengarahkan seluruh wanita muslimah untuk menutup aurat dan bukan hanya bertudung.

     
    Justeru, sama ada seseorang itu ikhlas atau tidak, suka atau tidak, disuruh oleh orang lain atau terbit dari hatinya sendiri, dia tetap WAJIB di sisi Allah untuk melaksanakan kewajiban itu.

     
    Sebagaimana seorang pemandu tidak berhemah warganegara Malaysia yang menetap di United Kingdom (UK), dia akan terpaksa mengubah cara pemanduannya kerana hemah pemandu di UK amat tinggi, sesiapa sahaja yang kurang berhemah akan segera mendapat teguran pemandu lain, malah adakalanya pemandu lain akan segera menelefon polis atau mencatat nombor plat kereta untuk diadukan kepada polis.

     
    Atas sebab itu, pemandu yang asalnya ‘brutal' di Malaysia, TERPAKSA berubah di UK. Tidak kiralah sama ada dia berubah kerana hipokrit, terpaksa, tidak ikhlas atau apa jua sebab lauaran. Hakikatnya, dia MESTI berubah, kerana itu adalah system dan regulasinya. Mengabaikannya akan membawa mudarat kepada diri sendiri dan pemandu orang lain.

     
    Sama seperti menutup aurat dan bertudung, itu adalah regulasi oleh agama Islam, mengabaikannya akan membawa mudarat spiritual kepada diri sendiri dan juga orang lain (kerana setiap lelaki yang melihat aurat wanita bukan mahram, akan berdosa dan dosanya dikongsi bersama oleh wanita tersebut).!

     
    Justeru itu, hipokrit tidak boleh sama sekali menjadi PENGHALANG untuk mengerjakan semua KEWAJIBAN agama, termasuk menutup aurat. Ia adalah arahan Allah dan hak Allah untuk menguji hambanya.

     
    Sama seperti mendirikan solat, membayar zakat, puasa Ramadhan dan semua arahan serta larangan Islam yang lain, sama ada seseorang itu ikhlas atau tidak, terpaksa atau tidak. Kewajiban untuk melakukan semua arahan wajib dan menjauhi larangan yang diharam tetap tertanggung di atas bahunya, walaupun dia tidak ikhlas atau masih gagal mencapai tahap Ikhlas.

     
    Apa yang perlu diusahakan adalah terus menerus berusaha memperoleh ikhlas semasa melaksanakan perintah dan menjauhi larangan itu. Itu boleh dianggap sebagai adalah level kedua kesempurnaan ibadah. Level pertama adalah mesti melaksanakan tuntutan Islam.

     
    Perlu diingat, jika seseorang menutup aurat dan menunaikan solat secara ikhlas atau separa ikhlas, maka dia akan beroleh ganjaran sekadar keikhlasannya. Namun tanggungjawab fizikal yang diwajibkan oleh agama dikira sudah terlaksana secara zahirnya. ATAU kata lainnya, tatkala itu dia hanya BERDOSA SEKALI iaitu kerana tidak melaksanakannya secara ikhlas, tetapi dia terhindar dari dosa tidak mengerjakan yang wajib ke atasnya secara zahir.

     
    Namun jika dia degil dan tidak menutup aurat, tidak juga solat atas alasan TIDAK IKHLAS, TIDAK MAHU HIPOKRIT dan sebagainya. Tindakannya itu menjadikannya BERDOSA di sisi Allah secara fizikal dan juga spiritual, atau dalam kata lainnya, dia berdosa DUA KALI. Dosa di level pertama dan kedua sekaligus, malah lebih musnah apabila dosa level pertama itu sangat mudah bercambah apabila ia berjangkit kepada orang lain, seperti apabila sahaja ada mata lelaki bukan mahram yang melihat, ketika itu dosa bukan hanya dua kali tetapi sebanyak mata lelaki yang melihat.

     
    Adapun bagi mereka yang tidak ikhlas tadi, at least dia sudah terselamat dari cambahan dosa dari mata lelaki.

     
    Kesimpulannya, ‘ingin berubah hasil hati sendiri', ‘tidak ikhlas' dan ‘tidak mahu hipokrit' itu semuanya hanya bisikan syaitan yang ingin menyesatkan hamba Allah agar terus menerus menjauhi kewajibannya. Sedarlah agar jangan lagi terpedaya, ingatlah berterusan dalam dosa sedang mengetahui hukumnya akan terus menerus menambah besar kemurkaan Allah swt dan akan menjadikan diri sama sekali TIDAK MAMPU berubah di satu hari nanti yang diharapkan.

     

     

     
    2) MEREKA YANG BERTUDUNG TAPI TIDAK SEMPURNA DAN BERAKHLAK BURUK.

     
    Sebelum mengulas, isu sebegini telah pernah saya ulas sbeelum ini di artikel : Bertudung Sambil Hina Hukum

     
    Kembali kepada persoalan saudari, dari bait-bait ayat saudari, kelihatan saudari begitu benci dan terganggu serta terkesan dengan keburukan akhlak dan cara tutupan aurat rakan sekerja yang lain yang dikatakan memakai tudung tetapi ketat dan sebagainya. Sehingga saudari merasa mereka semua hipokrit, buruk perangai, pengotor dan sebagainya, walau bertudung.

     
    Sebelum itu, saya perlu ingatkan saudari dikira bertuah kerana mendapat kerja di sebuah syarikat yang begitu perihatin dalam masalah agama sehingga mewajibkan kakitangan mereka untuk menutup aurat.

     
    Satu perkara mesti jelas juga, semua wanita yang bertudung tetapi berbaju ketat, skirt panjang terbelah, berbaju kebaya sempit dan sebagainya, semua mereka berada di satu level pada pandangan Islam. Iaitu SEMUA SEDANG MELAKUKAN DOSA DAN SEMUA TIDAK MENUTUP AURAT.

     
    Justeru, adalah SALAH bagi saudari menganggap ‘rakan sekerja itu' SEBAGAI MENUTUP AURAT TETAPI BURUK AKHLAK DAN BEROSA. Sebabnya, mereka juga TIDAK MENUTUP AURAT.

     
    Malah jika mereka benar-benar menutup aurat sekalipun, adalah SALAH untuk merujuk kepada mereka dalam menetap pendirian sama ada saudari perlu sudah sampai masa untuk menutup aurat atau tidak.

     
    Ingatlah bahawa yang diwajibkan oleh Allah bukanlah hanya bertudung kepala dan menutup leher, tetapi menutup seluruh bahagian aurat tubuh sebagaimana yang telah saya terangkan di dalam artikel ‘Aurat Wanita Apa Sudah Jadi'

     
    Selain itu, adalah salah sama sekali dalam hal ehwal agama, untuk kita membandingkan diri kita dengan mereka yang lebih buruk agama dan akhlak. Ia adalah teknik Syaitan uuntuk menghentikan seseorang dari melakukan usaha pemulihan diri kepada yang lebih baik.

     
    Jelas dari hadis Nabi s.a.w, dalam hal agama dan kepatuhannya, kita mesti sentiasa melihat mereka yang lebih dari kita, agar kita terus berusaha

     
    Manakala dalam hal keduniaan, barulah kita disuruh oleh Islam untuk melihat mereka yang kurang berbanding kita, agar kita lebih tahu untuk bersyukur dan tidak dijangkiti penyakit tamak.

     
    Sabda Nabi :-

     
    خَصْلَتَانِ من كَانَتَا فيه كَتَبَهُ الله شَاكِرًا صَابِرًا وَمَنْ لم تَكُونَا فيه لم يَكْتُبْهُ الله شَاكِرًا ولا صَابِرًا من نَظَرَ في دِينِهِ إلى من هو فَوْقَهُ فَاقْتَدَى بِهِ ونظر في دُنْيَاهُ إلى من هو دُونَهُ فَحَمِدَ اللَّهَ على ما فَضَّلَهُ بِهِ عليه ..

     
    Ertinya : Dua perkara yang sesiapa dapat perolehinya akan ditulis dirinya sebagai hamba yang bersyukur dan sabar, sesiapa yang gagal dalamnya, tidak akan ditulis sebagai orang bersyukur dan sabar. Iaitu sesiapa yang melihat tentang agamanya kepada mereka yang jauh lebih baik darinya, lalu ia berusaha mengikutinya, dan dalam hal keduniaan mereka melihat kepada orang-orang yang kurang darinya sehingga ia memuji Allah atas nikmat yang diperolehinya .. ( Riwayat At-Tirmidzi, 4/665 ; Hadis Sohih menurut Tirmidzi dan Albani)

     

     

     
    3) WALAUPUN TIDAK MEMAKAI TUDUNG (MENUTUP AURAT) TETAPI MASIH JAGA SOLAT DAN MAMPU MENJAGA TINGKAH LAKU.

     
    Tahniah atas kemampuan saudari untuk terus menjaga solat dan menjaga tingkah laku, namun solat yang hakiki dan ikhlas akan menghasilkan seorang yang gerun melakukan dosa, serta akan mendorong sesoerang untuk tanpa lengah menunaikan tanggungjawab yang diarahkan Allah.

     
    Namun apabila saudari terus redha dalam pembukaan aurat sedangkan saudari menunaikan solat, ia bermakna solat saudari juga bermasalah. Tapi jangan pula mengatakan, "kalau begitu saya tak mahu solat kerana tak mahu hipokrit", ia telah kita bincang di atas tadi.

     
    Juga, buktikan kepada diri bahawa jagaan solat saudari adalah benar-benar sebuah ketaatan dan bukan hanya kosong tanpa isi. Tanda awal ia adalah benar-benar sebuah solat adalah saudari akan terbuka hati dengan cepat untuk menutup aurat tanpa terkesan dek buruk perangai orang sekitar yang kononnya menutup aurat tetapi buruk.

     
    Justeru, saya menasihatkan saudari agar segera keluar dari jenis individu yang saudari sendiri benci (bertudung atau tutup aurat tapi tak solat, mengumpat dsbgnya). Saudari membenci perangai mereka tetapi dari sudut pandangan agama, saudari sebenanrya adalah sebahagian dari mereka kerana :

     
    Mereka yang menutup aurat dan buruk perangai adalah sama darjatnya dengan mereka yang solat tapi tidak menutup aurat.

     
    Kedua-duanya tidak bertanggungjawab terhadap Allah dan sedang melakukan dosa.

     
    Malah saudari juga patut bersyukur mendapat ibu yang prihatin soal kewajiban agama, terlalu ramai ibu di zaman ini yang hanyut dan lebih suka anak perempuan mereka mengikuti gaya yang disukai syaitan iaitu seksi.

     
    Lalu apabila ibu menyuruh, Allah juga mengarahkan, maka saudari bukan sahaja berdosa kerana aurat saudari yang terbuka, malah juga berdosa kerana tidak mematuhi suruhan dan harapan ibu, selain berdosa melanggar arahan Allah.

     
    Bukankah mentaati ibu dalam hal yang tidak membawa dosa adalah WAJIB?. Dan jatuh derhaka bagi seorang anak yang mengguris perasaan ibu, khususnya dalam hal nasihat ibu untuk kita mentaati arahan Allah swt.

     

     

     
    4) BUKAN SEKARANG MASA UNTUK BERUBAH.?

     
    Jika bukan sekarang, maka adakah apabila sudah terlantar di rumah mayat baru ingin beurbah. Sedarilah wahai diri, bahawa kematian akan datang secara tiba-tiba dan tiada sebarang jaminan umur masih panjang beberapa minggu lagi.

     
    Kebaikan dan pelaksanaan tanggungjawab jangan sesekali ditangguhkan, kelak tidak kempunan di hadapan Allah.

     
    Moga Allah membantu saudari untuk segera berubah dan terbuka untuk menerima jawapan ini.

     
    Saya juga doakan saudari untuk segera berHIJRAH KE ARAH kebaikan, dan teruslah kita semua berusaha untuk ikhlas dalam semua amalan kita.

     

     

    Friday, January 01, 2010

    hari ini 1 Januari 2010 [edited]

    di tulis oleh norashikin rahmat pada Friday, January 01, 2010 0 komen best
    semua orang tahu kalau hari ini 1 Januari 2010.

    Ada apa dengan tarikh ini sebenarnya? aku pun tatahu. cuma tadi aku tengok ramai orang tunggu kat perhentian bas untuk ke Changlun. mungkin ke Jitra. Atau Alor Setar. Maklum, hari cuti umum. Dengar-dengar khabar, duit PTPTN pun dah masuk(aku tak pinjam PTPTN), jadi mungkin mereka keluar beli barang keperluan..buku2, baju2, kasut...

    Aku pun ada rancangan nak keluar lepas ni, pergi rumah Makcik Zurina..(dia lecturer UUM, tapi aku kenal sebab dia jiran aku kat Nilai). saja nak ziarah, ingatkan nak pergi sendiri, tapi takdek bas plak..jadi, Cik Ina akan fetch..

    Cerita di atas cumalah sekadar picisan. Sebenarnya aku nak citer pasal tahun yang baru berlalu dan tahun baru.

    Tahun 2009: sempat memberi begitu banyak peluang untuk aku. Aku menghabiskan sesi pembelajaran di matrikulasi, menghabiskan 3 bulan penuh di rumah, memasuki UUM, serta sempat memulakan semester kedua. semuanya berlaku dalam Tahun 2009. Pantasnya masa berlalu, ia telah jauh-sangat jauh meninggalkan kita.. adakah kita masih sama seperti kita pada tahun 2008? atau sudah jauh lebih baik?

    Biasanya kita mengisi tahun baru dengan pelbagai azam baru. Kita berazam menjadi bagus, menjadi lebih baik, dan 1001 lagi azam yang tak tertulis dah.. Bagus sebenarnya berazam ni.. membantu kita perbaiki diri.. berazam memang mudah, tapi melaksanakannya pula bukan mudah... Kalau melaksanakannya pula mudah, mengekalkannya pula menjadi satu dugaan luar biasa.

    Aku nak kongsi lagi satu ilmu yang aku dapat dari TV masa Maal Hijrah tempoh hari..(waktu Maal Hijrah aku tak blogging..=)  )

    Untuk mengekalkan usaha untuk mempertingkat dan melaksanakan azam, pertama sekali kita mestilah sentiasa menyemak dan memantau azam... terdekat Beritahu kepada orang terdekat tentang azam kita, supaya kita sentiasa diingatkan...kemudian tulis dan tampal azam kita di tempat yang senang dilihat; contohnya kat cermin almari, meja belajar, sofboard bilik, kat pintu... Kemudian sertakan istiqamah bersama azam kita...

    Bagaimana pula kalau mahu azam kita disertai istiqamah?
    • perlu perbaiki diri, sebabnya tidak ada perpindahan selepas hijrah Rasulullah dan para sahabat, kecuali hijrah ke arah menjadi yang lebih baik.
    • antara rahsia untuk menjadi lebih baik: menjadikan Allah lebih utama, ada prospek dalam hidup(ada tekad), bekerja secara berpasukan dan bertanya kepada orang yang tahu.
    • doa memainkan peranan penting jika menginginkan istiqamah; kerana pada zaman Rasulullah, sahabat nabi bernama Abu Umamah telah diajarkan doa menjauhi hutang (yang terkandung dalam al-ma'thurat). Berkat doa yang diamalkan ini, akhirnya hutang yang banyak yang dirasakannya tidak mampu dibayar akhirnya langsai dibayar sedikit demi sedikit...(doa yang disertakan dengan usaha akan membuahkan kejayaan..insyaAllah!)

    ini point penting untuk orang yang ingin berhenti merokok:
    • Pada suatu hari, ada seorang lelaki yang suka mencuri menemui Rasulullah untuk menyatakan keimanannya. Dia berkata; "Ya Rasulullah, aku ingin memeluk Islam, tetapi aku suka mencuri. Aku mengetahui bahawa Islam melarang pencurian, dan balasannya potong tangan. Bagaimana, Ya Rasulullah?" Rasulullah menjawab,"Takpe, tapi jangan berbohong." Apabila lelaki itu menyatakan keislamannya, beliau patuh dengan suruhan Rasulullah supaya tidak berbohong, dan akhirnya beliau tidak lagi mencuri kerana kalau mencuri, takut-takut apabila Rasulullah bertanya, dia tidak boleh menipu tentang pencuriannya...Wallahu a'lam.
    • Natijahnya dari kisah diatas ialah, pendekatan perlulah pelbagai, bukan setakat larangan biasa je..
    • berdoa supaya keinginan yang baik dibantu Allah, dan meminta orang lain turut mendoakan kita.
    • Apabila berjumpa dengan orang yang soleh, minta didoakan mereka.

    Thursday, December 31, 2009

    antara hormat, takut dan menyampah

    di tulis oleh norashikin rahmat pada Thursday, December 31, 2009 7 komen best
    aku belum pandai nak post mende-mende gini.

    dulu masa kecik, kalau kene marah, kita mudah nak terdiam. kita tak membalas, kita tak melawan, apatah lagi bertindak agresif terhadap orang yang marah. yang hanya kita buat cumalah memandang muka si pemarah sebab kalau tak pandang nanti lagi dia bertambah marah. tak kisahlah si pemarah itu siapa, yang penting dia orang dewasa. tapi aku tak paham nape dulu kalo aku pandang je orang yang marah tu sambil terdiam aku dikatakan melawan dalam hati. sebabnya aku tak faham pun melawan itu adalah frasa jenis apa... Masa kecil kita takut kerana berbuat salah, memang patut pun kene marah..

    waktu bersekolah, aku paling banyak belajar adab masa di sekolah asrama. Di asrama perlu berkongsi, dan kita selalu teringin untuk mempunyai ruang sendiri dalam keadaan berkongsi. Tanpa kita sedar, dalam masa yang sama, orang lain juga begitu. Apabila kita ingin menggunakan hak seseorang, kita perlu meminta izin. Ini dinamakan memberikan orang lain haknya..kerana kalau kita tidak melaksanakan hak seseorang itu, bermakna kita tidak menghormati dia sebagai sesuatu yang dipanggil 'human being'. Kita juga banyak belajar menghormati orang-orang yang lebih tua daripada kita. Kita belajar hormatkan guru, ibu bapa, mak cik tukang sapu, pak guard, hatta kucing di jalanan pun kita hormat dengan tidak menzaliminya... Tapi kita lupa, kita selalu tidak hormat pada orang yang dekat dengan kita: kawan-kawan kita. Kenapa kita hilang hormat kepada seseorang? Biasanya kerana kita rasa dikhianati.. Tapi, benarkah kita benar-benar dikhianati, atau kita sendiri yang mengkhianati dia atau kita pernah mengkhianati orang lain lalu dibalas Tuhan dengan pengkhianatan kembali? Apa-apapun, kita masih insan lemah yang tidak tahu kenapa Allah mengatur sesuatu menjadi apa yang terjadi.

    bila kita besar sedikit daripada kecil, kita semakin banyak belajar. Kita jumpa dengan banyak orang, pelbagai rupa, pelbagai jenis, berbilang bangsa, kaum, asal dan sebagainya. Kadang-kadang kita tak faham kenapa seseorang itu melakukan sesuatu, dan bila seseorang itu melakukan sesuatu yang diluar kesukaan kita, Ada kalanya kita tegur. Biasanya kita biar je.. Kadang-kadang kita pandang tempat lain. Biasanya kita menegur seseorang supaya dia tidak lagi melakukan hal yang sama, dan biasanya kita cuma menegur orang yang kita kenal. Selalunya kita biarkan seseorang itu terus melakukan sesuatu tanpa menegur kerana kita malas dan menyampah dengan hal yang dilakukan. Kadangkala kita pandang tempat lain kerana meluat dan bencikan sesuatu yang tidak mahu dilihat. Benarkah kita menyampah akan sesuatu, atau kita tidak tahu nak buat apa bila berlaku sesuatu hal yang menjelikkan di hadapan mata?

    Kita sebagai manusia yang tidak kiralah berhati lembut, keras atau kasar, kita tetap tidak suka dimarah, dicaci mahupun dihina. Tapi kita adalah manusia yang senantiasa berbuat kesilapan. Akhbar hari ini ada memaparkan tentang kes buang bayi, bunuh mak sendiri, kahwin dengan mertua, pusat maksiat digeledah dan pelbagai lagi hal haram lagi dimurkai Allah. tapi, layakkah kita sebagai manusia untuk mengeji segala perbuatan dan hal? Lihat, kita sendiri tahu kalau mengeji itu salah.

    Memang manusia susah menerima kelemahan diri, dan kadang-kadang kita tidak mampu mengerti dan menafsirkan sama ada kata-kata yang terbit dari orang lain adalah teguran, cacian, nasihat, sindiran atau apapun. Mungkin kerana kita sendiri sudah terbiasa menyindir orang, memarahi orang, berkata yang bukan-bukan, lantas bila berlaku sesuatu hal, kita tidak berfikir panjang dan jauh...

    Kat rumah, aku selalu marahkan adik-adik. Kadang-kadang untuk hal yang tak perlu pun. Dalam marah aku, terselit kebimbangan kalau hanya diorang menuruti kata-kata aku hanya kerana takut dan menyampah, pada masa yang sama hilang hormatnya pada aku. Aku juga bimbang, kalau-kalau marahku membantutkan keinginan dan peluang mereka untuk mendapatkan sesuatu yang lebih. Takut-takut juga aku kalau marah aku salah, menjadikan mereka lebih degil dari sebelumnya (korang memang degil: kata hati aku)

    Ketahuilah adikku, sebenarnya kakak sayang.

    Tuesday, December 29, 2009

    memberi

    di tulis oleh norashikin rahmat pada Tuesday, December 29, 2009 2 komen best
    sekadar sedikit perkongsian dari apa yang aku dapat sewaktu menonton TV kat rumah.

    pernah dengar tak kisah Saidina Ali dengan buah delima?

    alkisahnya begini.. Sewaktu isterinya, Fatimah Azzahra r.a. mengandung, beliau sangat berhajat untuk makan buah delima.. Jadi, dengan kasih sayang dan keinginan untuk memenuhi hajat si isteri, maka Saidina Ali pun bekerja keras, berusaha mengambil upah menimba air demi membeli buah delima... Setelah  membeli buah delima yang dihajati, di tengah perjalanan Saidina Ali pun terjumpa dengan seorang tua yang amat kurus, mengatakan dirinya sudah 3 hari tidak makan.. Lalu Saidina Ali pun memberikan buah delima yang dibelikan untuk Fatimah kepada lelaki tua tadi...

    Sampai saja di rumah, Saidina Ali bercerita kepada isterinya bahawa buah delima itu sudah dibeli, tetapi diberikan kepada orang tua yang sudah tiga hari tak makan... Dalam masa yang sama, dari sebuah pasar berdekatan rumah Saidina Ali, muncul seorang lelaki berjubah putih membawa 10 biji buah delima..lelaki itu memberikan talam itu kepada Salman Al-Farisi, supaya delima itu diserahkan kepada Saidina Ali. (dikatakan lelaki itu adalah malaikat)..Salman al-Farisi mencukai sebiji buah delima, tinggallah 9 biji je delimanya.. sampai sahaja di tangan Saidina Ali, beliau pun mengira...1, 2, 3, 4, 5, 6,7,8,9,... "aku tak mau amiklah" kata saidina Ali. "Lorh..Nape?" Salman al-Farisi berkata. dalam hatinya:(aik..tau pulok dia kalo aku cukai satu..)  Saidina Ali menjawab: "Allah janji kalau bagi satu balas sepuluh, ni ada sembilan je, taknaklah aku".. Salman al-Farisi terkesima, lalu memulangkan semula sebiji delima yang dicukainya tadi...

    Begitulah yakinnya Saidina Ali dengan janji Allah.. :)
    wallahu a'lam..(dialog diolah sendiri je..)
    ...................................................................

    antara 3 waktu yang paling afdhal untuk bersedekah ialah ketika sihat, ketika sangat menginginkan kekayaan, dan ketika terasa diri amat susah untuk bersedekah..

    ketika kita sihat afdhal kita bersedekah kerana waktu sakit kita akan susah bersedekah, malah memerlukan pula.

    ketika diri sangat menginginkan kekayaan, menjadi pemurah adalah terbaik. kerana janji Allah: beri satu dibalas 10 pahala amalan..

    ketika diri amat susah bersedekah menjadi waktu yang paling afdhal kerana dapat membantu diri menghakis sifat kikir dalam diri..

    • Dalam perang tabuk, Uthman bin Affan merupakan orang yang paling dermawan..dia memberi sedekah 100 ekor unta dan kuda dengan kelengkapan perangnya sekali...

    Tuesday, November 17, 2009

    amal=niat=amal=niat

    di tulis oleh norashikin rahmat pada Tuesday, November 17, 2009 4 komen best


    entri diambil daripada laman web HALUANSiswa..yang bertajuk Jagalah Niatmu wahai saudaraku yang budiman..

    semoga mendapat manfaat.

    Saya teringat satu kisah yang amat terkesan dihati sehingga kini. Kisah tentang 2 orang adik kandung dan ia berkait rapat dengan kehidupan kita. Kisahnya begini. Ada dua orang lelaki dan keduanya adalah saudara kandung.

    Seorang adik, seorang lagi adalah abang. Keduanya lahir di dalam keluarga yang saat patuh dan taat dalam beragama. Namun perilaku dua saudara kandung ini berbeza dan akhir hidup mereka juga berbeza.


    Si Abang, sejak kecil dikenali baik, alim, soleh dan sangat taat melakukan ibadah. Ia tidak suka menyakiti hati orang lain.Tidak suka bergaduh dan mencari pasal dengan orang lain. Waktu mudanya dihabiskan di masjid. Dia tidak suka bergaul dengan wanita yang bukan mahramnya. Pernah satu ketika dia digoda dan dipujuk rayu oleh sepupunya cantik menawan namun ia tetap teguh dalam keimanannya. Kerana amalnya serta perbuatan berakhlak mulia ini, ia dicintai oleh keluarga dan dikasihi oleh kebanyakkan orang disekelilingnya. Sedangkan adiknya, sangat berbeza dengan abangnya. Sejak kecil si adik terkenal dengan kenakalannya. Alam remajanya dipenuhi dengan segala bentuk maksiat dan dosa. Rumah pelacuran adalah tempat biasa baginya. Hampir setiap hari ia mabuk dan melakukan pelbagai macam maksiat di rumah pelacuran miliknya. Kadang-kadang ia juga melakukan rompakan bersama teman-temannya bahkan ia juga terlibat dengan aktiviti yang tidak bermaruah. Hampir segala jenis maksiat dan perbuatan yang menjijik telah dilakukan untuk memuaskan hawa nafsunya. Perbuatannya yang jahat itu membuatkan dirinya terus menerus dibenci oleh keluarga dan masyarakat.


    Suatu hari, sang abang yang alim dan ahli ibadah itu merenung ketika bersendirian. Tiba-tiba dengan halus nafsunya berkata kepadanya :


    ” Sejak kecil kau selalu berbuat kebaikan dan beribadah. Kau telah mendapat tempat dihati masyarakat dan dikenal sebagai orang yang baik. Namun kau tidak pernah merasakan nikmat hidup sedikit pun. Kenapa tidak sesekali kau datang ke tempat adikmu menghiburkan diri di rumah pelacurannya. Sesekali sahaja. Setelah itu kau boleh bertaubat. Kau boleh membaca istighfar ribuan kali dalam solat tahajjud. Bukankan Allah itu Maha Pengampun?”


    Pujukan hawa nafsunya itu ternyata masuk dalam pemikirannya dan hatinya. Syaitan pun dengan sangat halus masuk aliran darahnya dan lantas ia berkata kepada diri sendiri :


    ” Benar juga. Kenapa aku tidak sesekali menghibur diri? Hidup Cuma sekali. Malam nanti aku mahu menari dan bersenang-senang bersama wanita cantik di rumah pelacuran adikku. Setelah itu aku pulang dan bertaubat kepada Allah SWT. Dia Maha Pengasih lagi Maha Pengampun.


    Sementara itu dirumah pelacuran. Adiknya juga merenung. Ia merasa amat kekosongan dengan hidup yang dijalaninya. Nuraninya berkata:


    ”Sudah bertahun-tahun aku hidup bergelimang dosa. Bermacam maksiat telah aku lakukan. Apakah aku akan hidup begini terus? Keluarga membenciku kerana perbuatanku. Juga masyarakat, mereka memusuhiku kerana kejahatanku. Kenapa aku tidak mencuba hidup baik-baik seperti abang. Ah, bagaimanakah besok kalau aku telah mati. Bagaimanakah aku harus mem-pertanggungjawabkan perbuatanku. Kalau begini terus, kelak aku akan masuk neraka. Hidup susah di akhirat sana. Sementara abangku akan hidup nikmat di syurga.Tidak! Aku tidak boleh terus hidup dalam lembah maksiat. Aku harus mencuba hidup di jalan lurus. Malam nanti selepas Maghrib aku akan ke masjid tempat abang beribadah. Aku mahu bertaubat dan ikut solat. Aku mahu kembali ke pangkuan Allah SWT. Aku mahu beribadah sepanjang sisa hidupku. Semoga Allah mahu mengampuni dosa-dosaku yang lalu.”


    Dan benarlah. Ketika malam tiba, kedua saudara itu melaksanakan niat mereka masing-masing. Selesai solat Maghrib di masjid, sang abang kembali ke rumah, ganti pakaian dan bergegas menuju rumah pelacuran. Adapun sang adik, telah pergi meninggalkan rumah pelacuran sebaik mendengar suara azan Maghrib. Jalan yang diambil dua saudara itu tidak sama sehingga keduanya tidak berjumpa di tengah jalan.


    Sampai di rumah pelacuran sang abang mencari adiknya. Namun tidak ada. Orang-orang yang ada di rumah pelacuran tidak ada yang tahu ke mana adiknya itu pergi. Meskipun adiknya tidak ada ia tetap melaksanakan niatnya. Nafsu telah menguasai seluruh akal fikirannya. Ia pun menuruti segala yang diinginkan nafsunya di rumah pelacuran itu bersama para penari dan pelacur.


    Di tempat lain, sang adik sampai di masjid tempat abangnya biasa beribadah. Ia sudah bertekad bulat untuk bertaubat meninggalkan semua perbuatan buruknya. Ia mengambil whuduk dan masuk ke dalam masjid. Ia mencari-cari abangnya, ternyata tidak ada. Padahal biasanya abangnya selalu beriktikaf di masjid selepas Maghrib sampai Isyak. Ia bertanya pada penjaga masjid, namun ia tidak tahu ke mana perginya. Meskipun tidak ada abangnya, niatnya telah nekad. Ia melakukan solat dan beristifar sebanyak-banyaknya dengan bercucuran air mata.
    Tiba-tiba bumi bergoncang dengan hebatnya.


    ” Awas , ada gempa! Ada gempa!” teriak orang-orang di jalan. Orang-orang panik keluar dari rumah untuk menyelamatkan diri. Takut kalau-kalau rumah mereka runtuh. Sang adik yang sedang larut malam kenikmatan taubatnya tidak berganjak dari dalam masjid. Ia tidak merasakan ada gempa. Demikian juga sang abang yang saat itu terlena di rumah pelacuran. Ia sama sekali tidak merasakan gempa. Goncangan gempa malam itu cukup kuat. Beberapa bangunan roboh. Termasuk masjid dan rumah pelacuran.


    Keesokan harinya. Sang abang ditemui mati di antara runtuhan rumah pelacuran di samping mayat seorang penari wanita dalam keadaan yang memalukan. Sedangkan adiknya juga ditemui mati diantara runtuhan masjid. Kedua tangannya mendakap sebuah mushaf di dada.


    Masyarakat yang tahu keadaan kedua adik-beradik itu menitiskan air mata. Meraka tidak henti berfikir, orang yang selama ini dikenali sebagai ahli ibadah kenapa boleh mati dengan cara yang sedemikian tragisnya. Sedangkan adiknya yang selama ini dikenali sebagai ahli maksiat kenapa boleh husnul khatimah. Dengan peristiwa ini orang-orang diberi pelajaran yang sangat berharga. Bahawa kematian boleh datang bila-bila saja. Hanya Allah yang tahu. Maka jangan sekali-kali saja-saja menuruti hawa nafsu. Siapa tahu saat sedang menuruti hawa nafsu itulah maut menjemput. Nakudzubillahi min dzalik. Bahawa niat baik harus selalu dijaga, agar Allah SWT menganugerahkan akhir hidup yang indah. Akhir hidup yang diredhaiNYA.


    ”Ya Allah, kuniakanlah kepada kami keteguhan dan keistiqamahan berada dalam jalanMU. Kurniakanlah kepada kami husnul khatimah. Amin, ya Rabbal Alamin.”


    Demikianlah kisah yang ingin saya kongsikan dengan para pembaca sekalian. Kisah ini mengajar kita tentang pentingnya niat kita dalam beramal. Amal kita berkualiti kerana niat kita yang tulus kerana Allah SWT. Beramal kita bukan kerana inginkan pujian atau dipandang hormat oleh manusia lain. Tidak sesekali. Bukan itu yang kita harapkan. Carilah redha Allah SWT yang pastikan akan memberi kepuasan kepada diri kita. Harapan saya kisah ini, menjadi pengajaran dan sempadan untuk semua..



    Oleh : Ustaz Ali Irfan
    AJK Kelab Siswa Zon Utara

    Monday, November 16, 2009

    semoga menjadi santapan hati..

    di tulis oleh norashikin rahmat pada Monday, November 16, 2009 0 komen best
    dipetik dari laman web HALUAN yang bertajuk pengaruh maksiat dalam kehidupan

    Maksiat lawannya taat. Kedua-duanya, hanya Allah swt yang tahu. Maksiat ada kesannya, taat pun ada kesannya tersendiri. Ketaatan menjadi suatu yang manis bagi seorang Mukmin, manakala maksiat adalah suatu kelazatan bagi mereka yang engkar. Sesungguhnya maksiat dan pengaruhnya sangat membahayakan insan di dunia dan akhirat. Seorang Mukmin sentiasa berhati-hati dalam kehidupan hariannya agar tidak terperangkap dalam kemaksiatan.

    Walaupun hanya Allah swt yang tahu semua tindakan ketaatan dan juga kemaksiatan insan, kesan dan pengaruhnya dapat dilihat semasa hidup di dunia.


    1. Tidak Mendapatkan Ilmu
    Ilmu adalah sinar yang diletakkan Allah swt ke dalam hati. Sedangkan maksiat memadamkan sinar tersebut. Pernah Imam Malik menasihatkan Imam Syafie yang belajar dengarnya, "Saya melihat Allah swt telah meletakkan sinar dalam hatimu. Jangan engkau padamkan dengan kegelapan maksiat." Imam Syafie juga pernah mengeluh, "Saya mengeluh kepada Waki', hafalanku tidak baik; lalu dia menasihatiku untuk meninggalkan maksiat." Sambung Waki', "Ketahuilah bahawa ilmu itu anugerah, dan Allah swt tidak berikan kepada pelaku maksiat."

    2. Tidak Mendapatkan Rezeki
    Dalam Musnad Imam Ahmad, "Sesungguhnya seorang hamba tidak mendapatkan rezeki kerana dosa yang diperbuat." Sememangnya jelas bahawa taqwa kepada Allah swt itu mendapatkan rezeki, sedangkan meninggalkan taqwa mendatangkan kefakiran dan kemiskinan.

    3. Kerisauan dan Kesepian di Hati
    Antara hati seorang insan pelaku maksiat dengan Allah swt, tidak ada keseimbangan dan keterkaitan yang dirasai sebagai kenikmatan, malahan yang terbit dari hatinya hanyalah kegelisahan dan kesepian. Sekiranya kenikmatan dunia seisinya diberikan kepadanya, tidak akan mampu mengimbangi keresahan tersebut.

    Tidak ada yang lebih pahit dalam hati insan daripada kerisauan kerana kesepian atau keterasingan antara dirinya dengan orang lain, lebih-lebih lagi dari orang-orang yang sebelumnya baik dengannya. Bilamana perasaan keterasingan itu menjadi kuat, maka dia akan menjauhkan dirinya dari lingkungan orang-orang tadi. Akhirnya, jika hati yang terasa terasing itu banyak melakukan maksiat, dia akan mendekati kelompok syaitan, dan jauh dari kelompok yang dekat dengan Allah swt. Kesan seterusnya, perasaan keterasingan itu akan menguasai dirinya dan dia akan mula terasa terasing dari keluarganya serta anak-anaknya, dan ini akan terus menambahkan kerisauan dan tertekan dalam dirinya.

    4. Banyak mendapat kesulitan
    Orang yang tidak bertaqwa akan mendapat kesukaran dalam berbagai urusannya. Kehidupannya banyak menemui kesulitan, jalan buntu dan jalan penyelesaian yang serba sulit.

    5. Kegelapan dalam hatinya
    Kegelapan dalam hatinya akan sungguh-sungguh membuatkan dia rasakan seperti gelap pekatnya malam. Bila dia diberi petunjuk, maka kegelapan maksiatnya itu masuk menutupi hatinya. Berkata Abdullah bin Abbas, "Sesungguhnya pada kebaikan itu ada cahaya pada wajah, sinar pada hati, kelapangan pada rezeki dan kekuatan pada badan serta kecintaan di hati ramai orang terhadap dirinya.

    Adapun pada perbuatan buruk terdapat warna hitam pada wajah, kegelapan dalam hati, kelemahan badan, kekurangan rezeki dan rasa benci kepadanya di hati ramai orang."

    6. Melemahkan hati dan badan
    Orang Mukmin itu kekuatannya terletak pada hati. Bilamana hatinya kuat, badannya pun menjadi kuat. Sedangkan orang yang jahat dan penuh dengan maksiat, walaupun badannya kuat, namun hatinya paling lemah. Bayangkan, kekuatan badan orang-orang Persia dan Romawi dapat dihancurkan oleh orang-orang Mukmin dengan kekuatan hati yang kuat imannya kepada Allah swt.

    7. Kehilangan ketaatan
    Tidak ada hukuman bagi suatu dosa, kecuali hukuman itu adalah terhalangnya seseorang dari ketaatan terhadap Allah swt. Juga akan terputuslah jalan-jalan kebaikan yang lainnya, sedangkan ketaatan itu lebih baik daripada dunia seisinya.

    8. Mengurangi umur dan mengikis keberkatan
    Sebahagian ulama mengatakan, bahawa kurangnya umur orang yang suka melakukan maksiat ialah kerana hilangnya keberkatan umurnya. Hidup ini sebenarnya adalah kehidupan hati. Umur manusia selama waktu-waktu hidupnya sentiasa bersama Allah swt, itulah yang merupakan waktu-waktu umurnya. Bila hidupnya berpaling dari Allah swt dan sibuk dalam kemaksiatan, akan hilanglah hari-hari hidupnya yang hakiki. Sehingga pada akhirnya orang itu akan berkata:

    "Aduhai, sekiranya dulu saya berbuat untuk hidupku sekarang ini."
    (Al-Fajr:24).

    Susunan Akhi Rakaiz (Universiti Yarmouk, Jordan)

    Saturday, November 14, 2009

    seperti pohon rendang...

    di tulis oleh norashikin rahmat pada Saturday, November 14, 2009 0 komen best

    Dapatkan Mesej Bergambar di Sini



    islamic testi - testimonials and greetings
    Get More Islamic Testi Here!


    dipetik dari HALUAN Tarbawi:

    Tarbiyah Akhirat Mendidik Hati

    Sabda Rasulullah SAW, “Barangsiapa akhirat menjadi obsesinya, maka Allah menjadikan semua urusannya lancar, hatinya kaya dan dunia datang kepadanya dalam keadaan tunduk. Dan, barangsiapa dunia menjadi obsesinya, maka Allah mengacaukan semua urusannya, menjadikannya miskin dan dunia datang kepadanya sebatas yang ditakdirkan untuknya.” Ibnu Majah meriwayatkan dengan sanad shahih.
     

    Missleonora's~ Template by Ipietoon Blogger Template | Gift Idea