Showing posts with label ilhami. Show all posts
Showing posts with label ilhami. Show all posts

Friday, September 24, 2010

cinta tanpa syarat

di tulis oleh norashikin rahmat pada Friday, September 24, 2010 5 komen best
sudahkah kau katakan
"maafkan aku"
telahkah kau ucapkan
"aku sayangimu"
pernahkah kau cium pipinya tanda sayang
pernahkah kau urutkan kakinya
tatkala dia lelah
pernahkah kau taat mendengar keluhannya
dan melaksanakan setiap sesuatu yang bisa membuat dia bahagia?

tatkala kau masih belum mengerti...
dia setia mendengar celoteh kecilmu.
melayan tangisanmu
memenuhi kehendakmu
tanpa syarat

tatkala kau marah-marah
kerana disakiti dan tidak mengerti
kerana disuruh melakukan yang kau tak sukai
dan hatinya terluka kerana itu
dia sentiasa memaafkanmu
tanpa syarat

dia sentiasa mendoakan kebahagiaanmu
memenuhi keperluanmu
menggembirakan hatimu
memasak apa yang engkau sukai
dengan senang hati
tanpa syarat

tidakkah kau sedar kau sentiasa disayangi tanpa syarat?

tatkala kau semakin mengerti
dia tidak pernah lelah memberi  ajaran
yang tidak dapat kau peroleh di sekolah
dia penuh pengertian
tidakkah kau sedar?

tatkala kau sudah besar dan mula berjauhan
katanya "anakku sudah besar rupanya"
melepaskanmu
kau sentiasa dalam doa kudusnya
pengertiannya
bisa membuatmu berjalan jauh dan berdiri teguh

adakah kau tahu bahawa dia merinduimu ?
dia sentiasa merindui senyummu..


kasih tanpa syarat
sayang berpanjangan
cinta yang menenangkan

tidakkah kau sedar?
"aduhai anak,
adakah engkau tahu
betapa deritanya ibu melahirkanmu..."


telahkah kau ucapkan sayangmu pada si dia, jantung hatimu?

semoga kita bisa menjadi anak
yang senang dan menyenangkan,
tenang dan menenangkan
bukan yang melelahkan

semoga kita bukan anak
yang menyeret ibubapa ke neraka Allah
Nauzubillah.


*puisi ini amat istimewa, kerana saya mengarangnya dengan ibu di ingatan.. 
Photobucket

Monday, March 29, 2010

sedih rasanya tak dapat naik bas

di tulis oleh norashikin rahmat pada Monday, March 29, 2010 4 komen best
Hidup ni macam naik bas.

Kita boleh pilih nak naik bas jenis apa ke destinasi mana. Bas besar, kecil atau sederhana. Kadang-kadang, kalau nasib baik, dapat bas first class macam Pancaran Matahari,  atau kalau nasib tak menyebelahi dapatlah Hari-hari Bas Rosak (HBR). kadang-kadang basnya cepat, atau kadang-kadang lembab macam Cepat Ekspres ataupun The arrogant Transnasional. ah. mengutuk syarikat bas pula saya. 

Kalau nak naik bas, kita kena beli tiket, atau bayar kat atendan bas. Kadang-kadang tiket habis. Kadang-kadang ada tiket takdek bas-ni kes-kes ulat tiket penipu. Kalau kat UUM, bas kitaran sentiasa ada setiap 15 minit, tapi pelajar UUM yang tak reti sabar macam saya, sentiasa nak cepat selalu berebut naik bas---dah macam budak sekolah.. Selalunya saya menyelinap tak beratur: maklum badan kecil dan muka selamba.

Ada orang kata biar lambat asal selamat. Atau biar cepat tapi cermat. Atau biar cepat tapi selamat. Saya  dah tanak bas. Kereta pun dah tak mau.  Saya nak bullet train-atas landasan, takdek traffic jam, dan confirm sampai. Ah. tapi tak mencabar, dan bullet train hanya ada di Jepun aja. KTM taknak. lembab.





Itulah hidup. Kita kena berebut untuk mencapai apa yang kita mahu. Kadang-kadang kita tak dapat menaiki bas untuk sampai ke destinasi kita, tapi ada alternatif lain untuk ke tempat yang nak dituju, hatta jalan kaki sekalipun.

Kadang-kadang kita terlepas bas, dan terpaksa menunggu bas yang lain pula. Ini melibatkan masa yang banyak dan kos yang besar. Kadang-kadang kita dah naik bas, tapi kita tak sampai juga ke destinasi kerana kita tersilap naik bas, atau bas yang dinaiki eksiden pula-matilah kita dalam perjalanan.. jadi, sebelum naik bas, jangan lupa baca doa naik kenderaan, hatta setakat pergi kuliah sekalipun..

Pernah dengar tak cerita Daniel  terlepas kapalterbang?
Daniel ni berasal daripada Indonesia, tapi bekerja di Malaysia sebagai tukang kasut.. Sudah 5 tahun dia bekerja di Malaysia, jadi dia pun nak balik ke negara asalnya dengan menaiki kapal terbang-dulu naik kapal laut, teringin la pula nak balik dengan flight.. Jadi dia pun kumpul duit untuk beli tiket flight..masa tu Air Asia takdek wujud lagi, jadi tiket MAS memang mahal la kan.. kumpul punya kumpul duit dia sambil teringat kat keluarga tercinta di Jakarta, akhirnya dia pun dapat beli tiket kapal terbang..punyalah susah nak kumpul duit buat beli tiket flight.. maklumlah, kerja pun tukang kasut aje.. Pada hari dia sepatutnya balik ke Indonesia, dia tiba 3 jam lebih awal di KLIA. Dia memastikan semua keperluannya cukup, dan memastikan dirinya betul-betul bersedia supaya nanti takdek halangan nak naik kapalterbang. Penjaga kaunter pertanyaan pun dah kenal dengan Daniel ni kerana banyak kali bertanya bila boleh naik flight. tak sabar sangat nampaknya. Punyalah penat menunggu, akhirnya Daniel ni tertidur..

Kerana tertidur, Daniel terlepas kapalterbang. Apabila tersedar, kapalterbang baru sahaja berlepas, dan dia menyumpah-nyumpah banyak kali. Dia tak segan-segan menangis di kerusi tempat dia tertidur tadi. Dengan takdir Tuhan, kapalterbang yang sepatutnya dinaiki menghadapi masalah dan meletup di udara. Daniel amat bersyukur kerana masih hidup dan masih mempunyai peluang untuk menaiki kapalterbang lain untuk bertemu keluarganya, walaupun terpaksa mengumpulwang semula untuk membeli tiket kapalterbang.

Analoginya dengan bas dan kehidupan, terlalu panjang rasanya untuk dihuraikan. Cukuplah anda membaca analogi ini dengan tafsiran sendiri.

Sebenarnya cerita saya pendek je. Pagi tadi saya nak daftar kelas Bahasa Mandarin sebagai subjek elektif semester depan. Tapi masa tengok notis entah kenapa mata saya terhijab dari melihat nota yang tertulis bahawa ia cuma untuk pelajar program Marketing saja. Dah lama saya tanam niat untuk belajar bahasa Mandarin, sejak tahun lepas lagi-ini kerana saya teringin sekali bertutur dalam bahasa selain Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris. Jadi masa nak mendaftarkan diri, saya sanggup meloloskan diri selama 10 minit dari kelas Sains Pemikiran ke bangunan FKBM (padahal tadi giliran kumpulan saya membentang dan saya jurucakap-nasib baik sempat). Sayangnya, bukan rezeki saya. Tapi, kalau saya betul-betul nak belajar subjek tu, mesti ada caranya, kan...

"Hidup ni macam berebut naik bas aje, kan. Tapi kadang-kadang kita tak boleh naik bas tu bukan sebab bas tu penuh, tapi sebab bas tu khas untuk budak sekolah-jadi pelajar universiti tak boleh naik, kena cari bas lain. Kalau takdek bas nak pergi Nilai, saya sanggup jalan kaki! atau naik lori ayam pun OK~"

hakikatnya saya masih bersedih dan hati meronta-ronta bertanya kenapa...
Photobucket

Monday, February 08, 2010

my feveret things list

di tulis oleh norashikin rahmat pada Monday, February 08, 2010 0 komen best
1. my favourite blogs (i will read every update of these blogs)
  • saifulislam.com
  • ummusaif
  • ummuhusna
  • UZAR
  • beliamuda
  • penaberkala
  • aliff afira
  • kak fahana
  • kak aiza
  • penampalposter
2. my recent favourite books
  • Marketing principle(becoz tomorrow have mid-sem.hehhe)
  • Danielle Steel: Johnny Angel(not yet half read)
  • Sains Pemikiran dan Etika [this is kinda unique subject, so thoughtful]
  • my little notebook with messy handwriting [this one always in my pocket]
3. my favourite food [recently]
  • nasi kerabu kat foodcourt Nongka (pernah sanggup tak makan sbb dah habis)
  • recently always eat at LEGO, the fried bananas really impress me!
4. favourite drink
  • nestlo ais
5. my beloved gadget
  • of course la laptop buruk dan tua nih [its a present from my sis n mum]
6.my favourite activity
  • blogging for sure
  • reading
7. my favourite class
  • hubungan etnik (this class always give out comprehensive discussion, at the very first time muslimin voice out their bravery and brilliant head..kalau tak dalam kelas2 lain sume duk blakang je...)
  • Management of  Transport-principle and theories (Mr.Fadzil did not teach what is in the book, but what we must know; i respect his eagerness to let us know everything of transport. )
  • Marketing-theres no reason for bussiness student for not having interest to this class.[Haji Romle is my dad's age, and sometimes i see 'my father's shadow' in him when he talk-his action makes me remember abah a lot]
  • i dont like my ko-k [PRS whatsoeva. b.o.r.i.n.g. this is the very first time i regret my very own choice]
8. my favourite song (or, melody?)
  • recently i always hear to a song without a lyric. i download this without knowing whats the title. Later i download in this blog to share.
  • Hadiah buatmu Teman
  • 25 minutes too late-Micheal Learns to Rock
9. my favourite place of interest
  • my very own room
  • PSB of course (rarely go there recently, sorry my darl)
10. my best quote
  • no secret. everyone knows already :p
ashikin: rather than writing sad thing, its better for me to write something i like, rite? so i expel previous entry.

Thursday, February 04, 2010

kenapa saya sepohon kayu mati?

di tulis oleh norashikin rahmat pada Thursday, February 04, 2010 4 komen best
Seorang perempuan remaja berumur dalam lingkungan belasan tahun termenung. Dia memandang ke luar tingkap bas, membuang ingatannya yang sarat tertumpu pada tugasan-tugasan kuliah yang tidak kunjung habis. Ditambah dengan aktiviti-aktiviti luar kuliah, semua itu, walaupun kesukaannya, kadang-kadang membuat dia terasa lelah. Di sepanjang perjalanan, mujur ada pohon-pohon yang saujana menghijau, mendamaikan hatinya. Nun di hujung pandangan, langit petang yang menabiri alam sungguh indah.Hatinya berbisik halus,

"Meski jauhnya jurang antara langit dan bumi, kedua-duanya tetap saling memerlukan. Apalah ertinya bumi tanpa langit, bermaknakah langit tanpa bumi. Hijau dunia tanpa biru langit membosankan, Biru alam tanpa kehijauan bumi cukup menjemukan."                                                 [diilhamkan daripada 'ikatan langit dan bumi']

Perjalanannya petang itu jauh, dia menanti ketibaannya ke kampung yang dirindui.Entah kenapa, kali ini matanya tidak mahu lena. Dalam perjalanan itu, dia melalui sebuah jambatan yang menyeberangi muara. Air di muara itu, dari hulu sungai menuju ke laut lepas. Alangkah ajaibnya, di muara itu warnanya seperti kuning keperangan, tetapi dihujung matanya laut lepas berwarna biru kehijauan. Hatinya berzikir memuji Ilahi. Dia teringatkan tafsir ayat terakhir dari surah Al-Mulk yang bermaksud, 
"Adakah kau lihat jika airmu terbenam (ke dalam bumi), maka siapakah yang memberimu air yang mengalir?" [al-Mulk:30]
Maha Suci Allah.. Dia tahu bahawa sifat bumi itu menyerap air, ajaibnya, air sungai yang mengalir tidak pula diserap bumi.. Dan air ini digunakan manusia buat meneruskan sistem kehidupan..Subhanallah.. hatinya memuji lagi. Kalau tidak Allah yang mengalirkan air ini menjadi sungai, pasti manusia sudah mati kehausan..

Melepasi jambatan tadi, bas yang dinaikinya terus bergerak melintasi sebuah padang. Matanya tertumpu pada sepohon pokok tunggal di tengahnya. Hatinya tersentuh, kerana kasihankan pokok itu yang tunggal, tidak ada pohon-pohon lain di sekelilingnya. Pohon itu bagaikan menahan terik mentari. Tiba-tiba airmatanya mengalir. Dia rasa malu dengan pokok itu.Hatinya merintih;

"Pohon itu tidak rebah tatkala sepanjang hayatnya ia sendirian ditiup angin, malah ia redha daunnya gugur jatuh ke bumi. Tatkala menahan terik mentari, ia tidak mati malah subur. Ia tak mengeluh penat seperti aku. Tatkala ditimpa hujan, pokok itu tidak menepis, malah menerimanya sebagai anugerah di hujung panas. Tidakkah pokok itu lebih bersyukur daripada aku? daunnya, segan mahu gugur selagi tidak diizinkan Allah."
 Hari menjelang senja, dan matanya tertumpu ke langit. Di awanan, sekawan burung terbang, pulang ke sarang agaknya. Akalnya memberi pandangan; sedangkan manusia pun tidak mempu bermuafakat berjalan seiring pada waktu mereka menuju ke arah yang sama.. Tetapi, burung tak berakal, berjiwa kecil di langit yang tebentang luas, namun mereka mampu untuk seiring.. Laa ilaaha illallahh..
Dan tidaklah Kami jadikan langit dan bumi dan apa yang ada di antara keduanya sebagai mainan.[al-anbya';16]
Sejenak, dia terlelap dalam fikirannya tentang burung-burung kecil tadi. Tidurnya tidak lena, dan dia tersedar tiba-tiba.. Apabila tersedar, destinasinya masih jauh. Kakinya kebas. Perjalanan yang mengambil masa hampir lima jam itu membuatkan dia terasa penantiannya terlalu panjang. Hatinya sebak, dia terasa di tubir matanya ada air bergenang. Dia teringat mimpinya tadi. Dalam mimpinya, dia merupakan sepohon kayu mati..

-----------------------------------------------------------------------------------------------

ikin: Bayangkan anda adalah si gadis yang diceritakan di atas. Apakah yang anda fikirkan setelah bangun daripada tidur dengan termimpikan diri anda sebagai sepohon kayu mati? Apakah analoginya?

Friday, November 20, 2009

ilham hening malam..

di tulis oleh norashikin rahmat pada Friday, November 20, 2009 6 komen best
Malam begini setelah lelah menghadap sekalian kertas dan nombor, aku menghadap laptop ini pula. sebenarnya hendak menge-post satu puisi yang ditulis dalam perjalanan pulang dari admin ke DPP tadi...oleh sebab sedang berjalan, maka aku hanya menulisnya dalam telefon bimbit...takut tak dapat menulisnya saat duduk dan menghadap kertas dan memegang pen. dalam erti kata lain, takut hilang ilhamnya... apa-apapun, hayatilah...

Musim tidak lagi menjadikan kita camar hitam
Dan segala awan pun tak dapat menandingi awan mendungnya..
tak tersangka,
pasir juga yang selama ini dia gilap.
silap.
Dalam sepantai pasir, tak terjumpakan si mutiara sebutir yang selama ini digilainya
Impian.
Tinggal jadi harapan bodoh cuma.
Masihkah pelangi dapat menyinar?
Ah..Tertipu lagi rupanya.

Dia menutur langkahnya lagi.
Kasihan dia, pincang.
Ada satu bunyi bergelantangan dari langit,
terus tulinya bersuara...
"Pekakmu, butamu, bisumu, tempangmu, kudungmu...
..itu semua alasanmu untuk menjadi cacat.
Menjadi normallah,
kerana Tuhan tidak zalim..."

Wednesday, November 18, 2009

Pada Sebuah Watan: Rejab F.I.

di tulis oleh norashikin rahmat pada Wednesday, November 18, 2009 2 komen best
Jati diri bangsa bagaikan pepohon
pada sebuah watan
akarnya kedaulatan bahasa
batangnya keagungan nilai budaya
dedahannya semangat kecintaan dan perpaduan
dedaunnya rimbunan ketaatan dan kesetiaan.
Pepohon negara yang merdeka dan berdaulat
bahasa adalah akar peribadi bangsa
menjalar pada nurani kehidupan
menyuburkan dedahan pendidikan
menaungi daunan kesejahteraan
pada sebuah negara bangsa.
Batang budaya yang tertegak pada sebuah watan
adalah peribadi yang luhur dan murni
menjulang kecintaan nusa bangsa
di mana bumi dipijak
di situ langit dijunjung.
Dedahan pada sebuah bangsa merdeka
menegakkan pepohon nurani padu dan utuh
membangun ekonomi menyuburkan watan
menyemarakkan ranting perpaduan dan persefahaman.
Dedaunan yang menghijau dan rendang
menyuburkan maruah dan semangat waja
memartabatkan bahasa dan keluhuran perlembagaan
membendung tekad dan keazaman
membasmi hujan petualangan
menaungi mentari keganasan
yang merobek nurani bangsa.
Pupuslah jati diri bangsa
jika akar bahasa tercabut dari pepohon watan
tumbanglah jati diri bangsa
jika batang budaya terbongkar dari perdu perpaduan
terkulailah jati diri bangsa
jika dedahan kecintaan sekah dan patah
kontanglah jati diri bangsa
jika dedaunan ketaatan dan kesetiaan
kering dan kelayuan.

................................................................................................

aku dan pengarang ini--->Rejab F.I.
Rejab F.I. menemani zaman kecilku yang tidak seperti anak kampung lain yang sibuk bermain becak, main tanah, keliling kampung dan dimanjai. Aku membaca buku-buku Rejab F.I semasa berumur 9-11, kerana tidak ada lain yang aku buat semasa umur itu semasa bersekolah rendah di SK Bukit Tunggal. Tapi sejak berpindah sekolah dan menjadi 'orang dewasa', aku tak terjumpa lagi buku dia. Dan, kalau dia masih ada, aku ingin mengucapkan terima kasih. :)

Friday, October 30, 2009

dan aku tinggalkan masa kelabu...

di tulis oleh norashikin rahmat pada Friday, October 30, 2009 6 komen best
Hari ini 30 oktober, dan bulan ini banyak hal yang berlaku pada aku.
Imam Al-Ghazali pernah bertanya kepada muridnya: "apakah yang paling jauh?"
Jawab anak muridnya: "matahari, bulan, bintang.." Jawab Imam Al-Ghazali, "benar, tapi yang paling jauh ialah masa lalu."


Masa yang telah berlalu telah jauh meninggalkan aku. Yang tinggal cumalah kenangan dan kesannya dari masa lalu.



“kelmarin hanya tinggal kenangan
Bersama peristiwa semalam
Adakah hari ini yang kutempuh
Kan bersinar menempuh hari esok?...”-Cinta dan Harapan, Firdaus.


Apa yang aku temukan dalam bulan ini, terlalu banyak untuk diungkapkan. Kesedihan, kesakitan, kebahagiaan dan keceriaan. Hakikatnya itulah yang aku tempuh setiap hari, setiap masa dan setiap saat. Bergantung kepada bagaimana cara aku menerima dan mengurusnya. Orang yang tidak tahu erti syukur, mengenal kesakitan sebagai bala, dan orang yang berada di dalam rahmat Allah menerima kesusahan sebagai rahmat, supaya kita kembali kepada kefitrahan yang sebenar. Allah memberi kita dugaan supaya kita mengingati-Nya. Orang yang mengingati Allah, bererti Allah ingat kepadanya. Bersyukurlah bila kita kesakitan:orang sakit mengingati Allah, dan diingati Allah.


Terkadang hati terlalu sakit untuk menerima dugaan, tetapi telah Allah sebutkan dalam al-Qur’an: Allah menguji manusia sesuai dengan kemampuannya.



Selama jantung berdetak, selama itu ku takkan berhenti berlari wujudkan mimpi
Terus berlari agar hidup ini bererti -Ku Berlari, Firdaus.



Di awal bulan Oktober aku menerima tamparan besar kerana merasa disakiti dan ditinggalkan. Dan ditengahnya aku seperti beroleh rahmat bila pertemuan demi pertemuan diaturkan Allah.



Tatkala lidah dan hati ingin mengucapkan syukur kepada Allah kerana semuanya berjalan lancar dan berlalu dengan baik, Allah telahpun merahmatimu...


Di akhirnya pula, walau sekarang sedang melalui pergelutan dengan peperiksaan semester pertama, aku menerima suatu tugas yang kurasakan agak besar dan berat, yang menerima spekulasi pelbagai pihak; spekulasi pertama yang aku terima amat membimbangkan dan cukup meresahkan, seterusnya kedua..dan ketiga..dan seterusnya.

Tugas ini menerima ketidakselesaan pelbagai pihak.

Kerana Allah mengilhamkan seseorang untuk memberi tugas ini kepada aku, dan kerana Allah tahu aku mampu, dan kerana kelayakan itu Allah beri kepada aku.

Amanah bukanlah suatu permainan bodoh, ia bagai anak kecil yang fragile yang perlu dijaga kebajikannya.

Ada apa pada ketenangan kalau kita tidak mengecap nikmatnya melalui kesusahan?

Doakan aku menjadi manusia yang tegar dalam kelembutan, bukan kelemahan!

Wednesday, October 28, 2009

buat Aiman

di tulis oleh norashikin rahmat pada Wednesday, October 28, 2009 6 komen best
“Abang..tunggulah adik..” Aiman berlari-lari anak, mengejar abangnya di hadapan.

“Cepatlah sikit...lambat betul...” si abang yang di hadapan hanya menoleh sekilas ke belakang tanpa menghentikan langkah. Hari sudah gelap. Mereka terlambat untuk mengaji. Hatinya marah, kerana tadi dia dimarah Mak Siti kerana membiarkan adiknya masih bermain diluar tatkala senja sudah melabuhkan tirai. Bukan dia marahkan Mak Siti, tetapi..entahlah. Dia merasa geram. Sudah diingatkan Aiman supaya mandi cepat tadi...

Mereka tiba di rumah Pak Lang Yusof. Pak Lang mengajar mereka mengaji, dan kadang-kadang menceritakan kisah-kisah para nabi. Dulu Pak Lang merupakan guru agama, tetapi setelah pencen, dia hanya mengajar mengaji kepada anak-anak kampung.

“Kenapa lambat, Mir?” Pak Lang bertanya, mencari tahu sebab. Biasanya dia bertegas terhadap anak saudaranya yang berdua itu, tetapi melihatkan wajah Amir yang kesayuan kerana takut dimarah, Pak Lang berlembut. Dia tidak mahu semangat mengaji budak itu hilang.

“Amir tunggu Aiman. Dia terlambat tadi. Maafkan Amir dengan Aiman ye, Pak Lang.” Pak Lang yang mengajarnya supaya sentiasa memohon maaf atas kesilapan, dan bersopan dengan orangtua. Amir berasa sedikit lega. Dia duduk bersila menghadap Pak Lang, membuka Al-Qur’an. Hari ini dia akan menyambung baca surah Al-Ahzab..dan adiknya Aiman masih Juz ‘Amma. Amir sudah dua kali khatam. Dan dia sekarang diajar Pak Lang Yusof menghafal surah. Pada umur 10 tahun, kadang-kadang Amir sudah boleh membantu rakan-rakan membaca Al-Qur’an dan membetulkan bacaan mereka. Kalau dia juga tidak pasti, cepat-cepat dirujuknya kepada tuk gurunya itu.

Pembacaan Amir didengar dengan teliti oleh Pak Lang. Aiman di sebelah membaca sendiri iqra’ yang sudah, semasa menanti giliran. Rakan-rakan yang lain, sudah beransur pulang. Yang perempuan masih ada di belakang, mengaji dengan Umi Zulaikha, atau dipanggil Umi, isteri Pak Lang.

Sesudah mengaji, sementara menunggu Aiman mengaji, Amir duduk di sisi Pak Lang. Dia membelek buku Kisah Nabi Hud dengan Kaum Ad. Memang sudah menjadi kebiasaannya membaca buku-buku kepunyaan Pak Lang. Jika tidak dapat menghabiskannya hari ini, dia menyambung pembacaannya pada esoknya pula. Kadang-kadang dia membawa pulang buku cerita yang disukainya, atas izin Pak Lang.

Setelah menyalami Umi dan Pak Lang, mereka pulang. Berbekalkan lampu suluh kecil, mereka berjalan dengan berhati-hati. Tanah becak, beberapa hari ini hujan turun lebat. Aiman yang di belakang, melompat beberapa kali supaya dapat berjalan seiring dengan Amir. “Aiman minta maaf, abang..” dia berjalan rapat dengan abangnya. Dia bagaikan tahu, abangnya sengaja berjalan cepat kerana masih tidak puas hati. “Lain kali Aiman cepatlah sikit.. Aiman suka abang kena marah dengan Mak Siti?” Dia tahu, adiknya rasa bersalah. “Tak.. Aiman janji, lepasni, Aiman cepat-cepat. Esok kalau Aiman cepat, abang belanja Aiman aiskrim kedai Tok Awa tau.” Eh..adik akuu nii...pandai brjanji pulakk... “Amboi..banyak cantik.. kalau berjanji, kena tepati, tahu. Orang mungkir janji sama macam ..?” “..munafik” Aiman menjawab. Si kecil itu banyak mengikut abangnya. Dia berhajat untuk khatam cepat seperti abangnya. Kalau boleh, tahun ini juga dia mahu khatam. Pelajaran iqra’nya pun sudah hampir habis.

“Aiman dah hafal doa qunut?” Amir bertanya. Adiknya itu, sejak bersekolah Darjah Satu dikejutnya bangun Subuh. “Er..sikit je..” Aiman tersengih-sengih. “sekejap lagi Aiman hafal sebelum tidur ye. Kalau Aiman hafal doa qunut, baru abang belanja nanti.” “Okay!” Aiman mengangkat tangannya, menunjukkan isyarat ok-nya.

Mak Siti berada di dapur ketika mereka berdua sampai. Jam sudah menunjukkan pukul 8.45 malam. Hampir pukul 9. Aiman terus naik ke rumah, menghadap tv. Amir menyusun selipar, kemudian masuk ke rumah. Mak Siti yang ternampak kelibat Amir, memanggilnya. “Kamu dah makan?” Amir menggeleng. Dia masih terasa hati. “Mari makan, ajak Aiman.” Mak Siti memujuk. Amir bergerak malas, mendaki tangga ke rumah sebelah atas, masuk ke bilik meletakkan Juz’Amma dan al-Qur’an, lalu memanggil adiknya. Sudah malam begini, bukannya ada cerita budak-budak. Semuanya drama. Dan entah apa-apa rancangan.

Mereka bersila menghadap makanan. Lauk malam itu, sama seperti tengah hari tadi. Nasi, ikan goreng dan sayur bayam. Amir tidak berkira. Dia dan Aiman makan sahaja apa-apa yang dimasak Mak Siti. Baginya, apa yang dimasak Mak Siti, itulah masakan paling lazat. Adiknya makan tanpa bersuara. Aiman mahu makan cepat-cepat, kerana Mak Siti tidak akan membenarkan mereka menonton tv selepas pukul 10. Dia teringat pesan abangnya supaya menghafal doa qunut. Pukul 10, mesti tidur.

Mak Siti menemankan mereka makan. Jauh di sudut hatinya, dia sayang kepada dua beradik itu. Kepada siapa dia hendak mencurahkan kasih kalau bukan kepada mereka. Mereka berdua anak kepada adiknya yang telah meninggal dunia ketika melahirkan Aiman. Aiman dan Amir diasuhnya sejak Aiman masih dalam hari, dan ketika Amir berumur tiga tahun. Bapa kepada Amir dan Aiman meninggal dunia dalam kemalangan dua tahun selepas kematian ibu mereka, ketika pergi membelikan Amir baju sekolah tadikanya. Amir yang ketika itu sudah mengerti tentang kematian, tidak mahu ke sekolah tadika. Pak Lang Yusof mereka itulah yang mendidik Amir, membawa Amir belajar di sekolah tempatnya mengajar dahulu, di Sungai Siput, Segamat.

Mak Siti sendiri, sudah lama hidup sendirian. Suaminya meninggal ketika usia perkahwinan mereka belum mencapai usia setahun. Pada usia 30-an, Mak Siti masih cantik, dan ada juga yang merisik khabarnya, tetapi dia masih tidak dapat melupakan arwah suaminya yang penyayang itu. Cukuplah dia mempunyai Amir dan Aiman untuk diasuh dan dididik, sudah dianggapnya mereka itu seperti anak sendiri. Demi menyara kehidupannya dan dua beradik itu, Mak Siti tidak perlu bekerja keras. Harta peninggalan arwah suaminya, hasil tanaman dua bidang kebun kelapa sawit di Pulau Jering cukup buatnya. Cuma dia perlu mengupah orang untuk mengerjakannya. Amran, arwah iparnya, bapa kepada dua beradik itu juga pernah mewasiatkan hartanya buat Amir dan Aiman. Bukan sedikit harta peninggalan Amran, dia berasal dari keluarga yang kaya-raya. Tetapi sayang, cuma dialah saja anak, dan pewaris tunggal. Jika tidak, pasti anak-anaknya itu diamanahkan buat adik beradik Amran. Namun begitu, Mak Siti tidak mahu mendidik Amir dan Aiman dengan kesenangan. Biarlah mereka hidup dengan bersederhana.

Amir sudah tidak ada di pandangan. Dilihatnya pinggan makan Amir dan Aiman sudah berbasuh, tinggal pinggan mangkuk yang berisi lauk-pauk sahaja. Memang diajarnya Amir supaya membasuh pinggan makan dan cawan sendiri. Amir juga dilihatnya pandai menjaga adik, biasanya dia akan membasuhkan pinggan adiknya tanpa banyak berkira. Mak Siti mengemaskan dapur, kemudian menutup suis lampu.

......................................


“Mak, bila abang balik?” Tanya Aiman. Sudah dua bulan dia tidak berjumpa Amir. Hatinya rindu. Dia sunyi. Mak Siti hanya diam. Dia tahu anak manja itu rindukan abangnya. Balik-balik, itu juga soalan yang ditanya. “Mak, abang Amir ada telefon tak? Aiman rindulah...” akhirnya terpacul jua isi hati anak itu. Mak Siti tersenyum. Lucu juga melihat wajah monyok Aiman. Selalu ada Amir, dia tidak begitu. Terpancar sungguh kegusaran hati Aiman di wajahnya, dia tidak keruan. Sudah dua hari Aiman tidak keluar bermain seperti selalu, dan makan pun sekadarnya sahaja. Mak Siti kasihankan Aiman. “Nanti kita pergi jenguk abang Amir di asrama ya” serta merta wajah Aiman berubah. Dia ceria. “betulke mak? Yayay!” Aiman mencium pipi Mak Siti, kemudian dia berlari keluar. Sudah dua bulan Amir belajar di sekolah asrama aliran agama di Negeri Sembilan. Memang itu cita-cita Amir, jadi Mak Siti tidaklah menghalang, malah menggalakkan. Lagipun, bimbingan Pak Lang Yusof sebagai ustaz banyak memberi Amir inspirasi dan pengaruh. Amir, walaupun masih muda, tetapi matang dalam berfikir. Tidak seperti adiknya Aiman, yang manja dan memang dimanjakan Amir.

......................

“Bila mak sampai?” Tanya Amir. Suka betul hatinya menerima kunjungan itu. Dirasakannya kunjungan itu agak mengejut. Turut bersama Mak Siti dan Aiman ialah Pak Lang Yusof dan Umi Zulaikha. Aiman baru sahaja membaca buku “Wanita yang disebut dalam Al-Qur’an”. Salah satunya wanita isteri kepada Aziz, yang disebutkan sebagai Zulaikha. Hatinya berkata: pandai Pak Lang cari isteri nama Zulaikha... Namanya pun Yusof.. “Baru je, Amir.. Aiman ni, nak sangat jumpa kamu..” Aiman menyalami abangnya. Dia terasa janggal. Mungkin kerana lama tidak berjumpa. Dia melihat kulit muka abangnya berubah menjadi pucat, tidak seperti sebelum ini. Amir mengajak Aiman ke asramanya. Sebenarnya dia juga rindukan Aiman. Sengaja dia membawa Aiman ke tempat yang boleh mereka berbual. Mak Siti, Umi dan Pak Lang membiarkan mereka, kerana mereka juga hendak bergerak ke surau untuk bersolat Zohor. Perjalanan dari Segamat ke Pedas, memakan masa empat jam juga.

“Adik sihat? Adik rindu abang ya?” Amir mengusap rambut adiknya. Aiman hanya tersengih. Di dorm itu, Aiman membelek barang-barang Amir. Di katil Amir, tertampal gambar mereka berdua. Gambar semasa masih bersekolah rendah. Amir mengambil sesuatu dalam kocek bajunya, lalu diberikan kepada Aiman. Sebuah rantai kunci besi berbentuk empat segi, ada gambar bintang berwarna kuning terang yang cantik di atasnya. Latarbelakang bintang itu berwarna biru gelap. Di belakangnya, terukir nama mereka berdua: Amir & Aiman. Ada tulisan kecil di bawah ukiran itu: “abang sayang adik...” Aiman menerima, membelek-belek keychain itu. Amir berpesan, “ adik belajar rajin-rajin yea.. ikut cakap mak.. belajar baik-baik dengan Pak Lang, jangan nakal-nakal..tahun depan UPSR kan?” Aiman mengangguk-angguk. Dilihatnya Aiman masih membelek-belek keychain pemberiannya. Amir menatap sepuas-puasnya wajah itu..dirasakannya airmatanya mahu tumpah, tetapi ditahannya. “Ya Allah..rindu apakah ini..” hatinya berbisik. “adik simpan keychain ni, ni je yang abang mampu beri. Adik jangan hilangkan..” Amir memberi pesan lagi. Aiman menyimpan baik-baik pemberian abangnya dalam kocek seluar. Tiba-tiba Amir memeluknya, dan Aiman teresak-esak pula dalam pelukan abangnya..dalam esakannya, dia menyebut..” Abang, adik rindu..” Amir meleraikan peluknya, berkata, “adik jangan menangis selalu yea...” dia kembali memeluk Aiman. “Adik kena jaga diri...Adik dah besar.. Jangan lupa doakan ayah dan ibu.. Ingat, walaupun Aiman tak pernah tengok ibu, tapi ibu yang lahirkan Aiman tau. Aiman jangan lupa baca yasin untuk mereka..”

................................

Hari ini 27 Oktober. Aiman melihat lagi rantai kunci itu. Kalau Amir masih hidup, genaplah umurnya 23 hari ini. Sudah hampir sepuluh tahun Amir meninggalkannya. Walaupun dia memiliki ramai kawan, masih ada Mak Siti, Pak Lang Yusof dan Umi Zulaikha, semuanya tidak dapat menggantikan Amir. Pertemuan kali itu, pertemuan terakhir. Patutlah, banyak saja ucapannya. Patutlah, banyak saja pesanannya. Patutlah, diukirnya rasa sayangnya di atas besi, supaya takkan luput dan takkan hilang ditelan masa. Kerana dia mahu aku tahu, dia tetap sayangkan aku walau dia tidak ada di sisiku, walau kami jauh dibataskan antara dua dunia.

Amir meninggal dunia kerana sesak nafas. Dia pengsan setelah sesak nafas waktu tazkirah dibacakan antara solat maghrib dan isya’ di surau asrama, dan warden asrama cepat-cepat membawanya ke hospital. Dia menghembuskan nafas terakhir tatkala aku tidak ada disisinya, ketika azan isya’ berkumandang. Kata doktor yang memeriksa, dia tidak ada sakit yang kronik, dan punca kematian hanyalah sesak nafas. Umurnya pada waktu itu 13 tahun, seminggu selepas kunjungan kami.. Waktu dia dibawa pulang ke rumah malam itu juga, aku sudah tidur dan Mak siti tidak mengejutkan aku. Pagi itu, melihatkan tetamu yang ramai, aku tahu itu Amir. Kerana dalam mimpiku malam itu, Abang Amir tersenyum dipimpin seorang wanita. Wanita itu, sama seperti dalam gambar yang disimpan Mak Siti. Walau tidak tahu memandikan jenazah, aku meminta Pak Lang Yusof mengajarkan aku, kerana hanya abang Amirlah saudara sedarah daging aku dunia akhirat. Waktu itu, Pak Lang pesan, jangan menangis. Aku memang tidak menangis, kerana itulah pesan abang Amir.

Mengingatkan kematian Abang Amir membuat aku insaf. Kematian tidak mengenal umur. Tidak mengenal rupa. Tidak mengenal waktu. Mati tidak memerlukan sakit yang kronik, menunggu tua, atau apa-apa penyebab pun. Andai dalam hembusan nafas yang ini Allah tarik nyawaku, aku redha. Andai ini nafasku yang terakhir, doakan aku.

Aku hanya sempat mengucapkan rinduku padanya. Dan Abang Amir, walaupun tidak banyak cakap, tetapi telah dituliskannya sebuah buku, khas buatku. Aku menemui buku itu tatkala pergi ke sekolah Abang Amir untuk mengambil kembali barang-barangnya. Semuanya masih ada di rumah Mak Siti, aku tidak membenarkan Mak Siti membuangnya, walaupun secebis kertas. Biarlah dimakan lipas sekalipun, tak mengapa. Cuma semua itu saja pengubat rindu aku terhadap Abang Amir.

Tatkala aku menemukan buku itu, tertulis di atasnya: “Buat Aiman”

Mukasurat pertama: “Khas kudedikasikan buat adik kesayangan: Aiman”

Di bawah perkataan besar-besar itu, tertulis kecil: adik baca kalau rindu abang yaa..

Aku membuka mukasurat kedua. Tarikhnya, 20 Februari 1999. Seminggu selepas kemasukan abang ke asrama. “Adik, harini genap seminggu abang di asrama. Abang sudah kenal ramai kawan. Tapi, abang rindu kawan abang yang seorang ni..adiklah kawan abang sejak adik lahir. Buku ni, sengaja abang tulis.. Buat melepaskan rindu kat adik...”

Mukasurat ketiga, nota abang berbunyi, “hari ini abang belajar matematik. Entah kenapa dik, abang rasa susah betul tajuk Algebra tu.. kalau kelas Bahasa Arab tu, senang je abang ikut apa ustaz ajar.. teringat dulu, masa abang darjah lima. Cikgu Anis ajar kelas abang. Dia pun ajar kelas adik, darjah dua. Katanya, adik pandai matematik. Kata-kata cikgu, buat abang bangga jadi abang adik..”

Mukasurat seterusnya terdapat contengan-contengan. Abang Amir menampal gambar kami berdua, semasa hari raya. Kami berpakaian sedondon berwarna biru. Walaupun gambarnya sudah lusuh, warnanya masih ada. Aku dipimpin Abang Amir, dengan wajah comot dengan coklat di tangan, masing-masing berkopiah putih yang dikait benang.

Nota seterusnya, dalam tulisan-tulisan Abang Amir, dia banyak menceritakan tentang aku. Dan beberapa helaian dalam tulisannya terdapat kesan titisan air. Bekas airmata. Aku tersedar, dalam hidupnya, cuma ada aku. Dalam satu catatannya, dia menulis, “ Nanti abang besar, abang kerja baik-baik,abang beli buku banyak buat adik ya..” aku menangis membaca catatannya yang itu. Dia bercerita, aku juga sewaktu kecil sukakan buku sepertinya. Suatu hari aku pergi ke rumah Jamil,budak sebaya abang. Tetapi aku dihalau Jamil, hanya kerana aku anak yatim. Abang Amir sedih kerana aku pulang sambil menangis, mengadu tidak dapat melihat buku yang ada di rumah Jamil. Cerita Mak Siti, Abang Amir memang begitu, tidak suka meminta.

Catatan Abang Amir, penuh dalam satu buku 60 helai. Dia menulisnya setiap hari...sehinggalah hari terakhirnya.

Dulu Mak Siti selalu menegur Abang Amir kerana memanjakan aku... Dalam catatan terakhirnya buatku, aku menemukan sebabnya...

“suatu hari nanti, pasti adik akan bertanya kenapa abang sangat sayangkan adik. Adik, ketahuilah, abang tidak pernah mahu adik terasa sunyinya dunia tanpa belai kasih ibu. Memang, walaupun Mak Siti menjaga kita sebaik-baiknya, tidak sama dik..kerana itulah yang abang rasakan.. abang sentiasa harap dapat jadi abang yang terbaik buat adik..”


Oh..kenapa airmata ini tidak pernah mahu berhenti mengalir tatkala semua hal tentang Abang Amir terlintas diingatan?

nota penulis( sayelah! ): semua watak, jalan cerita, dan ape2 je dalam cerita pendek ini hanyalah ilham, khayalan dan ciptaan penulis semata-mata, tidak ada kaitan dengan manusia yang sedia ada wujud. tapi kalau ada persamaan dan sebagainya seratus-peratus, itu cumalah secara tidak sengaja.. hayati cerita ini baik-baik.. :)
 

Missleonora's~ Template by Ipietoon Blogger Template | Gift Idea