Saturday, June 21, 2014
Kotak kenangan dan kawan-kawan.
Kadang-kadang dalam hidup ni, kita selalu berharap orang yang kita kenal kekal sepertimana yang kita kenal pada masa kita meninggalkan hidupnya. Atau pada masa kita keluar dari hidupnya. Orang yang tidak lagi kita kenal atau jumpa. Atau jumpa sekali sekala.
Menjadi seperti itu, tidak hairanlah kalau ibu dan abah masih menganggap kita anak-anak kecil dalam hatinya. Dia masih menganggap kita perlu diawasi dan dinasihati sungguhpun kita sudah dewasa dan punya keluarga sendiri.
Kebanyakan kawan saya masih suka tinggal di dalam kotak itu. Kotak kenangan. Mengongoi sepanjang hidup dengan cerita yang sama. Tentang keletah semasa muda. Malah saya sendiri, adakalanya bahagia menyeret kemudaan itu dalam cerita-cerita saya.
Setelah lima, sepuluh tahun perkenalan, kawan kita adalah masih, kita berharap dan anggap dia adalah orang semalam yang kita jumpa. Kita mengungkap semula tingkah lakunya. Dia, dalam hati kita, adalah masih remaja, kanak-kanak yang riang dan muda. Banyak keletah dan cerdik, kerenahnya yang menyenangkan.
Saya, dalam hati anda, adalah mungkin, masih, budak kecil yang saling mengejek dan berlumba menjadi cerdik. Saya, dalam hati kawan saya, adalah seorang budak pelik yang banyak bertanya di kuliah-kuliah. Saya, dalam ingatan cikgu, adalah seorang budak bermasalah yang cikgu panggil ke bilik pejabat. Saya, dalam ingatan sesetengah orang, adalah seorang yang manis dan sopan santun.
Dan dia masih mengingati saya sebagai seorang yang dijumpainya di perpustakaan sekolah, sembilan tahun yang lalu.
Bila tua nanti, kotak kenangan inilah yang dibuka. Mengingatkan diri kita kembali, tentang apa yang kita lupa.
Tuesday, June 03, 2014
Cikgu. Susunan. Perceraian.
Entri kali ini tidak ada perkaitan pun antara cikgu dan perceraian.
Cikgu.
Sejak hari guru baru-baru ini, saya merajinkan diri memenuhi hasrat menghubungi(baca: telefon) beberapa orang guru yang saya rapat. Setakat ini baru sempat dua orang. Cikgu dari sekolah rendah dan sekolah menengah.
Saya kira kebanyakan cikgu berbangga walau siapapun anak didiknya sekarang, yang dulu dididik dan diasuhnya. Cikgu-cikgu bahagia, apabila masih diingati dan diraikan. Malah tidak sedikitpun marah, apabila tidak diingati. Dihubungi pelajar lama itu adalah mungkin, satu bonus.
Saya amat kasihkan cikgu-cikgu yang telah menyantuni dan mendidik saya, menyentuh jiwa saya, untuk menjadi seorang yang berguna, mawar agama dan bangsa.
Susunan dan perceraian.
Baru-baru ini abang saya ada menyusun (baca: mencarikan jodoh) untuk adik manisnya ini. Sejujurnya, rasa takut itu ada, bila kita tidak kenal langsung siapa dia. Mungkin saya lebih (prefer) orang yang dikenali atau sekurang-kurangnya pernah berjumpa.
Hati saya semakin ragu dengan penyusunan, apabila telah ada orang yang perkahwinannya disusun atas dasar keyakinan kepada kedua-dua belah pihak dan kesepakatan antara satu sama lain, bercerai.
Well. Saya belum cakap apa apa pun..
Perceraian.
Saya tidak pernah terfikirkan pun perkataan ini. Setiap kali menghadapi kisah perceraian orang, saya jadi sedih. Saya memandang perkahwinan sebagai suatu yang one-off. Simpul mati, tak ada jalan keluar.
Despite of this one unsuccessful arranged marriage, theres piles and bunch of them succeeded, in order to build in the heavens in the world, baitul muslim.
Adalah tidak adil untuk saya membina ketakutan dan rasa was was dengan syariat dengan perkara dan alasan yang tidak kukuh.
