Wednesday, March 30, 2011

kata-kata yang tidak didengar

di tulis oleh norashikin rahmat pada Wednesday, March 30, 2011 2 komen best
Yang kurasakan.. diriMu mesti berada di sisiku..
kerana, 
segala yang kulalui,
Engkau juga pasti mengetahui..

Harini saya telah melalui satu perkara yang membuatkan saya teringat kepada perang Uhud. 
Dalam perang Uhud, Islam menang dulu kemudian kalah. Kerana tak mengikut arahan, kerana tamak, kerana terlalu yakin dan kerana terlupakan ancaman. Dan, strategi musuh juga adalah satu faktor kekalahan.

Yang saya yakini, Allah is the Greatest back-up, the most powerful.

Saya macam tak tahu apa lagi kata-kata yang boleh diucapkan. Yang saya tahu, saya selalu tidak keseorangan, kerana saya yakin, Islam akan selalu menang, akan menang dan pasti menang!

p/s: bencilah kepada dosa seperti benci dicampakkan ke dalam api neraka. 

when its a peak time

di tulis oleh norashikin rahmat pada Wednesday, March 30, 2011 0 komen best
Saya boleh tertidur tadi sebelum meeting time. Natijahnya, meeting dibatalkan.

Menyesal rasanya, i have bought other people's time for no value. Especially when everyone is rushing doing their assignments. Pure logistics students, of course. But, why you simply didnt continue the meeting without waiting me? kan dah membazir masa tu..

Belajar dan bekerja dalam keadaan tertekan bukan style saya, walaupun saya akui ia biasanya memang berkesan.

Belajarlah untuk relax sikit, jangan sampai tekanan yang anda lalui terkena tempias pada orang lain. Maafkan saya, kawan-kawan.

Post ini tak memberi apa-apa manfaat melainkan ingin memberitahu bahawa saya menyesal dengan kelalaian diri ini.

Tuesday, March 29, 2011

Sahabat dan adik kesayangan

di tulis oleh norashikin rahmat pada Tuesday, March 29, 2011 0 komen best
Di celah-celah kesibukan, sejujurnya, sejak sebulan atau dua bulan yang lalu, saya sangat merindui adik-adik saya di rumah. Rindu keluarga, dapat pahala :)

Dan rindu ini sangat membuak tatkala ibu saya mendapat penyakit darah tinggi, yang menuntut beliau untuk mula mengambil pil darah tinggi secara berterusan. Kerinduan ini datang tatkala tugasan dan test mencapai peak time, dan saya mula angau apabila segala benda yang saya lakukan, apa yang ingin dibeli, apa yang saya makan membuatkan saya teringatkan ibu, abah dan adik-adik. Angau yang teruk. Saya jatuh sakit selama seminggu kerana penyakit ini (wallahua'lam, mungkinlah kot saya jatuh sakit disebabkan faktor ini).
Habib dan Aided semasa menyertai Kem Minda Kreatif 2010. Cuba teka mana satu adik-adik saya?

Sekarang saya sudah berada di semester empat. Semester 4 ini sangat istimewa kerana ia mula memberi gambaran jelas tentang 'apakah' saya di UUM. Semester ini adalah fasa dimana saya bertemu sahabat-sahabat yang saya yakini dihadiahkan oleh Allah setelah lama berdoa untuk mendapatkannya.

Kalau nak tahu, saya selalu berdoa supaya dikurniakan sahabat-sahabat yang dapat berjalan seiring dengan saya. Tetapi saya tak mencari. Yang saya yakini, sahabat yang baik akan datang kepada saya dalam keadaan menerima diri saya seadanya. Saya begitu selfish dalam memilih kawan, kerana saya hampir tak mempunyai masa untuk mencarinya.

Persamaan antara adik-adik dan sahabat-sahabat saya ini, sebenarnya, adalah saya sayangkan mereka namun saya tidak dapat menjaga mereka sebaik-baiknya. Dan, dalam jagaan Allah, saya melihat mereka telah meningkat dari segi kekuatan jiwa dengan begitu baik sekali. (Kadang-kadang cemburu juga, tapi lebih kepada rasa syukur.. cemburu saya cemburu yang baik, insyaAllah).

Natijahnya daripada post ini, sentiasalah meminta Allah mengiringi perjalanan kawan-kawan kita, keluarga kita, guru-guru kita. Tak rugi doakan orang lain.. Berdoalah dengan penuh rasa kasih dan cinta.. Ia akan menjadi proposal cinta paling indah dalam dunia :)

Sunday, March 27, 2011

Nasihat penuh cinta dan kasih sayang.

di tulis oleh norashikin rahmat pada Sunday, March 27, 2011 0 komen best
Bismillahirrahmanirrahim.

Sekarang adalah 'peak time'. Dalam kesesakan waktu dimana assignment berlumba-lumba mencuri waktu dan kerja-kerja luar kuliah juga memerlukan perhatian, saya sempat ke USM untuk mendapatkan sedikit ilmu dari para murobbi. Ada program Simposium Kecemerlangan Cinta dan Akademik.

Program yang sepatutnya dua hari ini cuma dapat saya hadiri sehari sahaja, kerana saya ada kuliah pada hari Ahad. Post ini ditulis untuk berkongsi dapatan program, insyaAllah. :)


  • Menurut Saudara Ruqaimi, apabila seorang pemuda berkata "aku mencintaimu" bererti dia sedang berkata,"aku ingin berzina denganmu".Maksud kata-kata di atas ialah, kata-kata yang dilafazkan itu mengundang zina hati, seterusnya membawa kepada zina yang lebih besar lagi. Lelaki yang mengucapkan kata-kata ini bukanlah lelaki tulen, kerana dia tidak menghormati dan tidak dapat menjaga hatinya sendiri, apatah lagi hati seorang wanita yang 'fragile'.
  • Namun begitu, lelaki, memang mudah tertarik dengan perempuan dan wanita yang baik, betul? Untuk masalah ini, Ibnu Mas'ud R.A. telah berpesan, "Apabila kamu merasa kagum dengan seseorang wanita, ingatlah kejelikan-kejelikannya".


  • Untuk kita lari daripada kesibukan-kesibukan mencari cinta dunia, sibukkanlah diri dengan perkara-perkara makruf. Kerana, jika kita tidak menyibukkan diri dengan perkara-perkara yang baik, kita akan disibukkan dengan kemungkaran.
Daripada radio IKIM.fm pagi ini, perzinaan tidak akan terjadi tanpa ada muqadimah-muqadimahnya.

Slot yang paling saya suka dalam apa-apa program ialah slot Q&A. Bukan sebab saya suka bertanya, tapi slot ini adalah cerminan siapa sebenarnya audiens dan setinggi mana level mereka berfikir. Dan lagi, teknik Q&A adalah teknik belajar terbaik yang diajar dalam sirah, semasa Jibril bertemu Rasulullah S.A.W. Antara soalan yang ditanya ialah;
  1. Bagaimana nak tegur sahabat yang sedang hangat bercinta (dalam ertikata lain, macammana nak tegur orang yang sedang bermaksiat dan berdosa dengan Allah)?
  2. Bagaimana nak menghadapi orang yang berbangga dengan dosanya? (Orang yang 'couple haram' biasanya suka bercerita ke mana dia pergi dengan kekasih, buat apa, dsbg.. ini boleh dikatakan berbangga-bangga dengan dosa)
  3. Syarat untuk seorang perempuan keluar ialah wajib dengan keizinan ibubapa. Macammana kalau sebelum keluar saya minta izin dahulu dengan ibubapa perempuan tersebut?
  4. Ni soalan paling best: Bagaimanakah adab pergaulan yang digariskan syara' bagi orang yang bertunang?
Jawapan:
  1. Untuk menegur seseorang, soalan yang mesti ditanya kepada diri terlebih dahulu ialah; adakah kita mempunyai jambatan hati dengannya. Kalau tak ada, maknanya kita kena bina terlebih dahulu. "Thats why we cannot simply correct people in Penang road", kata Pakcik Rosdi. 
  2. Ibnu Qayyim berkata, "Allah murka kepada orang yang berbangga dengan dosa lebih daripada orang yang berdosa". Orang berdosa mungkin akan bertaubat, tetapi orang yang berbangga dengan dosa telah menyedari dosanya tetapi berbangga pula. Imam al-Ghazali telah menyebut; "Dosa yang paling besar ialah melakukan perbuatan dosa dalam keadaan dia mengetahui perbuatan itu berdosa". Allah sangat menjaga rahsia hambaNya, dan Allah telah menutup aib kita. Jadi, janganlah kita membukanya di hadapan manusia pula.
  3. Jawapan paling ideal; "makhluk tak boleh membenarkan apa yang dilarang oleh Allah". Ibubapa sekarang ada yang tidak faham dengan agama. namun, tidak faham bukan tiket untuk tidak diazab di neraka.
  4. Soalan ini dijawab oleh saudara Ruqaimi dan isterinya, Kak Mumtazah. Pertunangan adalah usaha untuk ke arah perkahwinan, tetapi tidak menghalalkan apa-apa pergaulan dan percampuran antara lelaki dengan perempuan yang bukan muhrim. Menceritakan pengalaman mereka sendiri, semasa menghantar mesej melalu YMail dan SMS, semuanya akan di-cc-kan kepada murobbi kak Mumtazah, sebagai langkah penjagaan. Dan untuk membeli barang hantaran dan cincin, Saudara Ruqaimi kata, beli cincin dan kasut masing-masin kemudian tukarlah semasa/sebelum majlis.. habis cerita. Tak perlulah sampai keluar bersama-sama.
Sebelum menutup program, Pakcik Rosdi mengungkapkan kata-kata daripada seorang Da'ie (akan di-quote kemudian dari siapa); "Ya Allah, seandainya aku ditaqdirkan diazab di akhirat kelak, tolonglah jangan beritahu sesiapapun hambaMu bahawa di dunia dahulu aku seorang da'ie"..

Akhir kalam, daripada Ibnu Qayyim, beliau berpesan; "Janganlah engkau berbangga dengan kefasihan lidahmu, tetapi bersyukurlah Tuhan memberimu peluang untuk beramal". :)

Thursday, March 24, 2011

Surat Dari Kekasih

di tulis oleh norashikin rahmat pada Thursday, March 24, 2011 0 komen best
Untukmu yang selalu Kucintai,
Saat kau bangun di pagi hari, Aku memandangmu dan
berharap engkau akan berbicara kepadaKu., bercerita,
meminta pendapatKu, mengucapkan sesuatu untukKu
walaupun hanya sepatah kata.

Atau berterima kasih kepadaKu atas sesuatu hal yang
indah yang terjadi dalam hidupmu pada tadi malam, kemarin, atau waktu yang lalu….
Tetapi Aku melihat engkau begitu sibuk mempersiapkan diri untuk pergi bekerja…
Tak sedikitpun kau menyedari Aku di dekat mu.

Aku kembali menanti saat engkau sedang bersiap,
Aku tahu akan ada sedikit waktu bagimu untuk berhenti dan menyapaKu, tetapi engkau terlalu sibuk…

Di satu tempat, engkau duduk tanpa melakukan apapun.
Kemudian Aku melihat engkau menggerakkan kakimu.
Aku berfikir engkau akan datang kepadaKu, tetapi engkau
berlari ke telefon dan menelefon seorang teman untuk sekadar berbual-bual.

Aku melihatmu ketika engkau pergi bekerja dan Aku
menanti dengan sabar sepanjang hari. Namun dengan
semua kegiatanmu Aku berfikir engkau terlalu sibuk
untuk mengucapkan sesuatu kepadaKu.

Sebelum makan siang Aku melihatmu memandang ke
sekeliling, mungkin engkau merasa malu untuk berbicara
kepadaKu, itulah sebabnya mengapa engkau tidak
sedikitpun menyapaKu.

Engkau memandang tiga atau empat meja sekitarmu dan
melihat beberapa temanmu berbicara dan menyebut namaKu
dengan lembut sebelum menjamah makanan yang kuberikan,
tetapi engkau tidak melakukannya…..

Ya, tidak mengapa, masih ada waktu yang tersisa dan
Aku masih berharap engkau akan datang kepadaKu,
meskipun saat engkau pulang ke rumah kelihatannya
seakan-akan banyak hal yang harus kau kerjakan.

Setelah tugasmu selesai, engkau menghidupkan TV, Aku
tidak tahu apakah kau suka menonton TV atau tidak,
hanya engkau selalu ke sana dan menghabiskan banyak
waktu setiap hari di depannya, tanpa memikirkan apapun
dan hanya menikmati siaran yang ditampilkan, hingga waktu-
waktu untukKu dilupakan.

Kembali Aku menanti dengan sabar saat engkau menikmati
makananmu tetapi kembali engkau lupa menyebut namaKu
dan berterima kasih atas makanan yang telah Kuberikan.

Saat tidur Kufikir kau merasa terlalu lelah.
Setelah mengucapkan selamat malam kepada keluargamu,
kau melompat ke tempat tidurmu dan tertidur tanpa
sepatahpun namaKu kau sebut. Tidak mengapa kerana mungkin
engkau masih belum menyedari bahawa Aku selalu hadir untukmu.

Aku telah bersabar lebih lama dari yang kau sedari.
Aku bahkan ingin mengajarkan bagaimana bersabar terhadap orang lain. Aku sangat menyayangimu, setiap hari Aku menantikan sepatah kata darimu, ungkapan isi hatimu, namun tak kunjung tiba.

Baiklah….. engkau bangun kembali dan kembali Aku
menanti dengan penuh kasih bahawa hari ini kau akan
memberiKu sedikit waktu untuk menyapaKu…

Tapi yang Kutunggu … ah tak juga kau menyapaKu.
Subuh, Zuhur, Asar, Magrib, Isya dan Subuh lagi
kau masih tidak mempedulikan Aku.

Tak ada sepatah kata, tak ada seucap doa, tak ada
pula harapan dan keinginan untuk sujud kepadaKU….

Apakah salahKu padamu …? Rezeki yang Kulimpahkan,
kesihatan yang Kuberikan, Harta yang Kurelakan, makanan
yang Kuhidangkan , Keselamatan yang Kukurniakan,
kebahagiaan yang Kuanugerahkan, apakah hal itu tidak
membuatmu ingat kepadaKu ???

Percayalah, Aku selalu mengasihimu, dan Aku tetap
berharap suatu saat engkau akan menyapaKu, memohon
perlindunganKu, bersujud menghadapKu … Kembali kepadaKu.

Yang selalu bersamamu setiap saat,
Tuhanmu….

Oleh: Khalil Gibran
diambil dari : Link

Sunday, March 20, 2011

saya dan anda, kita tak bersahabat.

di tulis oleh norashikin rahmat pada Sunday, March 20, 2011 0 komen best
Jangan menangis dulu bila membaca kata-kata di atas.

Walaupun kita bersaudara, kita tak bersahabat. Bersahabat dalam ertikata saya dan anda perlu mencurahkan masalah peribadi masing-masing kepada satu sama lain kemudian kita membincangkan resolusinya bersama-sama supaya saya lebih tenang dan gembira.

Saya tak bersahabat dengan anda dalam ertikata kita boleh bergurau senda dan bertepuk tampar. Atau memberitahu sepenuhnya informasi tentang diri saya kepada anda, sama ada saya sudah makan, sudah mandi, sakit perut atau apa-apa.

Saya tak bersahabat dengan anda untuk saya kongsi semua perasaan saya, kesukaan saya, keaiban saya, kebencian saya. Tidak sama sekali.

Jadi, kalau boleh anda jangan tanya semua ini kepada saya, kerana saya sangat kekok dan rimas bila anda adalah seorang lelaki dan bertanya soalan-soalan ini kepada saya.

Niat, tak menghalalkan cara. Andaikata hati anda berkata, 'takkan nak ambil berat pun tak boleh?'.. Jawapan saya ialah 'tidak'. Mudahnya, saya risau kalau saya jatuh hati kepada anda, maka hati saya akan menjadi sangat rosak dan ia takkan mampu berfungsi seperti yang saya kehendaki.

Saya berkata benar.
Jiwa perempuan sangat halus. Fragile. Dan syaitan sukakan perempuan kerana ini. Lelaki pun sukakan perempuan kerana ini. Lelaki, dan syaitan. (tetapi saya tak kata lelaki=syaitan. Jangan salah faham).

Jika kita sama-sama ingin bertemu di syurga, ambillah berat tentang saya dengan cara tidak menyentuh, merosakkan atau berbuat apa-apa yang tak perlu. Bukan hanya dengan saya, tetapi dengan wanita lain juga. Hormatilah diri sendiri, pasti orang lain juga menghormatimu.

p/s: semua larangan di atas halal anda lakukan dengan sesama lelaki atau sesama perempuan. Kita halal lakukan ini jika kita dapat bertemu di syurga. Syurga itu, menggiurkan, kan? So, nak banding dengan perempuan, apalah sangat.. Syurga, syurga Allah, ada bidadari!

Friday, March 18, 2011

akan sampai masanya, saya akan lebih faham.

di tulis oleh norashikin rahmat pada Friday, March 18, 2011 0 komen best
Keazaman adalah hal yang paling penting bagi seseorang.

Sekarang saya masih mentah dalam suatu hal. Dalam banyak hal, sebenarnya. Yang saya tahu, orang selalu sebut, orang muda suka terburu-buru.

Semoga dengan sikap yang teruk ini, saya dapat belajar sesuatu.

Baru saja tadi saya mengikuti slot pertama bengkel fasilitator di Pusat Islam. Baru slot pertama, tetapi entahlah, hati saya macam taman bunga. Walaupun sebelum program saya amat letih dengan banyak hal, tapi tadi, apabila saya menjejakkan kaki je kat tempat program, hilang rasa lelah.

Buat kesekian kalinya, saya jatuh cinta. Kadang-kadang hati ini dirasakan terlalu banyak cinta, sehingga saya tidak sabar-sabar untuk memberikannya, berkongsikannya dengan orang lain.

Sabar, ikin. sabar. Akan tiba masanya, insyaAllah, jika Allah izin, saya akan lebih faham bagaimana 'menggunakan' potensi ini. Namun saya gusar, kalau-kalau saya tidak sempat mempelajarinya lalu saya dipanggil menghadapNya.

Dakwah, ialah berjuang dengan apa yang kita ada.

This is the road not taken. :)

Thursday, March 17, 2011

Duhai qalam yang mempunyai rasa persahabatan

di tulis oleh norashikin rahmat pada Thursday, March 17, 2011 0 komen best
Bismillahirrahmanirrahim.
Duhai qalam yang mempunyai rasa persahabatan,
Nasihatilah daku yang dahagakan seruan-seruan
amaran dan peringatan
Jadikanlah aku manusia yang menerimamu 
sepertimana Muhammad menerimamu
Berakhlak sepertimu, dan menyebarkan kata-katamu.
Agar sahabat-sahabat kita yang lain turut 
merasa dinginnya, segarnya kata-katamu 
membalut seluruh urat nadi
Muhammad menerimamu dengan gigilan
kerana gunungpun hancur lebur jua
kerana tidak mampu memikul amanahNya.
Jika engkaulah qalam terpilih kepada Rasul terpilih buat umat terpilih, 
maka aku juga terpilih untuk mengenalmu.
Jadilah engkau, duhai al-Qur'an,
teman penyuluh jalan hidupku yang panjang
dan sunyi ini...
Norashikin , 7 Mac 2011.


sudah lama saya tak menulis puisi atau sajak yang dulunya menjadi hobi saya. Kerana kegiatan ini pada suatu masa terpaksa saya tinggalkan..sebab pada waktu itu saya berfikir bahawa bakat ini hopeless dan tidak membantu menyeimbangkan diri saya yang perlu berfikir lebih realistik bahawa saya tidak akan berakhir menjadi seorang pemuitis yang bersyair.. Namun sesekali bila dibuka buku-buku catatan tarbiyah atau nota kuliah, sedikit sebanyak pasti ada terselit satu atau dua kata-kata yang membuatkan saya sendiri tertanya-tanya bilakah saya mencoretkannya. Sesekali melepaskan gian, apa salahnya, kan? :)

Wednesday, March 16, 2011

my father is really an image conscious

di tulis oleh norashikin rahmat pada Wednesday, March 16, 2011 0 komen best
Abah saya seorang yang bekerja di bahagian sales department di syarikatnya. Bagi saya, abah ialah orang yang sangat teratur urusannya, dan cara dia mendidik anak-anak banyak dipengaruhi oleh cara dia bekerja.

Seorang pengurus jualan mestilah menjaga imej. Imej diri dan syarikat. Pakaiannya sentiasa kemas. Dia tak suka menunggu, kerana bagi selling department, masa itu emas. Kalau saya biarkan dia tunggu sewaktu baru sampai dari perjalanan yang jauh (balik dari Kedah-KL, misalnya), alamat muncungnya panjang satu jam. Abah marah tak lama, lambat marah dan cepat surut.. macam saya...(hehe.. :D ). Kata pensyarah saya, seorang yang profesional tidak akan marah (terutamanya pada kawannya).

Pernah sekali saya pakai kasut crocs semasa nak naik bas pergi ke kem. Dia marah. Bayangkan, perempuan kecil pakai selipar badut, siapa yang tak gelakkan? Dia tak suka imej selekeh dan 'badut' pada anak-anaknya.

Orang islam mesti image conscious.

Mesti sentiasa pakai pakaian yang bersih. Sentiasa nampak kemas. Yang penting tutup aurat. Kalau dah pakai comel-comel, kemas-kemas, muka kenalah sentiasa senyum.. barulah pakej..

Jom, jadi seorang yang image conscious di mata Allah!

Monday, March 14, 2011

Pandangan pertama

di tulis oleh norashikin rahmat pada Monday, March 14, 2011 0 komen best
Pandangan mata selalu menipu 
Pandangan akal selalu tersalah
Pandangan nafsu selalu melulu
Pandangan hati itu yang hakiki..Kalau hati itu bersih..

Apa salahnya kita mendidik diri menjatuhkan tanggapan yang baik pada orang semasa kali pertama bertemu. Latih diri mendoakan kebaikan orang, sekalipun kita tak mengenalinya. Daripada blog Maherilham: HR Muslim dan Abu daud dari Abu Darda':

"Tidak adalah seorang Muslim yg berdoa kepada saudaranya (yg tiada disisinya) melainkan Malaikat akan berkata," dan semuga do'a itu juga kembali kepadamu"
(Albani, Sahih aljami' #5737)

Ummu Anas, melalui tulisannya (saya tak ingat sama ada buku ataupun blog beliau, ummuanas.blogspot.com) ada mengajar saya 2 perkara jika bertemu orang lain. Jika bertemu seorang yang lebih tua, hendaklah kita memberi tanggapan baik kepadanya dengan berkata, "orang ini lebih tua dan lebih berpengalaman dariku. Pasti dia sudah berbuat banyak amalan baik berbanding aku".

Jika bertemu seorang yang lebih muda pula, hendaklah kita berkata,"orang ini lebih muda dariku, tentu dosanya tidak banyak berbanding aku".

Dalam sebuah buku yang lain yang saya tak ingat sumbernya, ada lagi satu tambahan, iaitu, apabila kita bertemu orang yang berbuat dosa di hadapan kita sedangkan kita tak menegur atau membetulkan kesilapannya, maka berkatalah kepada diri,"orang ini berbuat dosa kerana tidak mempunyai ilmu, sedangkan aku berbuat dosa dalam keadaan aku tahu bahawa perbuatan itu adalah berdosa".

Ketahuilah, dosa yang paling besar ialah berbuat dosa dalam keadaan kita mengetahui ia adalah perbuatan yang mendatangkan dosa. Kerana itulah, Rasulullah SAW bersabda bahawa orang yang paling awal masuk neraka ialah orang yang berilmu.

Dosa, sangat serius.

Post ini tidak lain adalah nasihat untuk diri sendiri.

Kalau susah sangat nak jaga pandangan kepada orang lain, maka tundukkanlah pandangan. Itu lebih melapangkan hati dan jiwa.

Tuhan, maafkanlah hamba yang selalu mengotorkan barang pinjamanMu..

Sunday, March 13, 2011

Walaupun hati marah, senyum jelah :)

di tulis oleh norashikin rahmat pada Sunday, March 13, 2011 2 komen best
Kadang-kadang marah mesti dizahirkan. Tapi selalunya ia mesti disimpan. Orang yang menahan marah, besar pahalanya.

Masa kecil-kecil, sekolah rendah dulu, kalau saya diejek dengan gosip Azmer, saya selalu marah. Mesti marah, tanda tak suka. Cikgu-cikgu suka mengusik; "marah maksudnya sukalah tu".. Atau, kalau saya digosip orang di hadapan cikgu, cikgu kata, "awak ejek dia bermakna awak suka dia". Ah, zaman kanak-kanak.

Sekarang, dah hampir 11 tahin semua itu berlalu. Namun, pada hari ini, saya masih mengalami situasi yang sama. Diejek, ataupun gossiping. (perangai masih sama macam skolah rendah?..what the fish!) Saya jelas yang kata-kata ejekan itu satu gurauan, namun ada kalanya ia menjadi annoying. Kadang-kadang sampai saya berkata kepada diri sendiri,"kau ni, orang bergurau sikitpun tak bolehlah, ikin..dont be oversensitive.."..

Kadang-kadang saya juga rasa yang tak ada permainan dalam hidup saya. Kalau hidup ini dibiarkan hanya untuk bermain, jika semuanya adalah permainan, maka tak ada sesiapa yang ingin percaya pada kita. Hilang kaliberiti. Saya selalu berfikir sesuatu dengan serius. Orang yang suka bergurau akan menjadi mati akal dan bosan dengan saya, kerana reaksi saya macam bosan dan memang membosankan. Bagi saya, tak ada apa yang nak digelakkan kalau sesuatu itu nampak bodoh.

Saya tak suka dipermainkan. Walaupun hati marah, senyum jelah.. dengan doa dan harapan bahawa orang ini mempunyai common sense yang masih waras..

"Kau bergurau ye.." kata hati saya, sambil memberi senyuman 'grinning' yang paling manis dalam dunia..

Saturday, March 12, 2011

Mereka hanya melaksanakan tugas..

di tulis oleh norashikin rahmat pada Saturday, March 12, 2011 0 komen best
Apabila seorang pengawal memarahi seorang lelaki yang dikhuatiri mencuri dalam sebuah gudang terbuka, dia sebenarnya sedang menjalankan tugas..

Apabila seorang guru mengajar anak muridnya dan mendenda sesiapa yang tidak menyiapkan kerja sekolah, dia juga sedang menjalankan tugas mendidiknya, sesuai sebagai seorang guru.

Apabila seorang hakim menjatuhkan hukuman dengan saksama, dia juga sedang menjalankan tugasnya.

Membaca akhbar hari ini membuatkan saya insaf bahawa manusia sesungguhnya tidak berkuasa sama sekali atas apa yang terbina di tangannya. Apabila Allah memerintahkan alam untuk menurut perintahNya, maka tiada apa yang dapat melawannya.


Air bah Tsunami sesungguhnya bukanlah dengan tidak sengaja melanggar Jepun sesuka hati. Ia juga sedang menjalankan tugasnya..mentaati perintah Allah..



Sebagai manusia yang masih terselamat, tugas kita adalah untuk mengingatkan orang lain bahawa mati itu dekat dan bencana akan menimpa kita bila-bila masa dengan izin Allah. Maka, dengan ini, saya ingin mengajak sahabat-sahabat semua untuk sama-sama kita bermuhasabah dan memohon doa kepada Allah supaya kita ditakdirkan mati dalam keadaan beriman..

Allah menurunkan peringatannya kerana Dia sangat sayangkan kita.. dan kemurkaanNya dahsyat sekali..

Thursday, March 10, 2011

Gadis kecil berjiwa besar

di tulis oleh norashikin rahmat pada Thursday, March 10, 2011 5 komen best
Orang selalu kata saya kecil. Tulisan saya pun kecil je. Abah selalu marah (sebab abah rabun dan susah baca tulisan kecil saya). Ibu pun sama. Ibu kata lebih mudah baca tulisan saya masa sekolah rendah dulu. Saya sendiri tak simpan tulisan saya masa sekolah rendah, tapi saya tahu ibu ada menyimpan sebuah buku yang saya tulis semasa darjah tiga. Nota catatan doa yang saya pelajari masa bersekolah di Johor dulu.

Sekarang saya dah besar. Tapi masih kecil. saya selalu perasan yang saya ni tinggi dan berkasut saiz 6. Hari-hari saya minum susu sejak selsema haritu--selepas tiga hari, alhamdulillah, selsema saya beransur hilang dan sekarang dah sembuh.

Tapi jiwa saya besar, percayalah.

Jiwa saya bukanlah besar untuk diisi dengan keinginan-keinginan yang tak mampu dicapai, tetapi saya ingin mencapai sesuatu yang saya mampu. Sesungguhnya mencipta cita-cita itu juga sunnah, sepertimana nabi kita memandang optimis tentang penaklukan Constantinople. Hanya orang optimis mampu bercita-cita (bukan berangan-angan kosong sambil membuai kaki).

Optimis kan sifat orang Islam.. :D

p/s: tak mampu nak sampaikan apa yang saya nak tulis yang sebenar-benarnya. Dah siap selesai semua nanti baru nak cerita..

Wednesday, March 09, 2011

hiduplah dengan cara yang berbeza.

di tulis oleh norashikin rahmat pada Wednesday, March 09, 2011 0 komen best
Dunia yang kita hidupi kini tidak lagi begitu seronok. Globalisasi telah menyebabkan apa-apa yang ada di sudut bumi yang lain turut memudahkan ia untuk diperoleh. Perkara yang mudah didapatkan, nilainya tidak setinggi seperti apa yang usah diperoleh. Itulah maknanya tanda akhir zaman 'pasar-pasar menjadi dekat'.

Hidup semua orang pun menjadi lebih kurang sama. Cara makan sama. Cara tidur sama. Cara mengaji (belajar) sama. Apa yang sama? Makan apa saja, tidur sepuas-puasnya, belajar sekadar nak lulus periksa. Tak thrill lah hidup macamni.. tak ada kelainan.

Apakata kita cipta sikit kelainan dalam hidup kita pada setiap saat, supaya setiap saat yang seterusnya menjadi lebih baik daripada saat yang seterusnya. Kalau sebelum ni tido tak baca doa, bolehlah mula baca doa minta diselamatkan daripada gangguan syaitan.. Kalau sebelum ni kita makan sesuka hati, apa kata pilih dulu makanan yang baik untuk dimakan.. Kalau sebelum ni suka membazir, cuba kurangkan sehingga tak membazir..

Rasulullah SAW sangat menekankan kelainan untuk membezakan Muslim dengan kaum-kaum dan bangsa-bangsa.. satu identiti yang dapat memperkenalkan kepada sesiapa sahaja bahawa seseorang itu adalah beragama Islam.. Rasulullah sangat melarang umatnya untuk mengikut cara hidup bukan Islam dengan sabdanya yang bermaksud; "Sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum adalah sebahagian daripada kaum itu..".. Islam itu begitu tinggi dan mulia, dan ia takkan direndahkan oleh apa-apa pun kecuali apa yang merendahkan Islam bererti dialah yang rendah..

Secara mudahnya, identiti Islam adalah sifat Rasulullah.. sunnahnya yang wajib diikuti. Saidatina Aisyah R.A menyatakan bahawa akhlak Rasulullah ialah akhlak al-Qur'an.

Tahukah kamu apakah itu al-Qur'an?
Ia adalah kitab yang kalau diturunkan kepada gunung pun gunung akan hancur..
Kalam Allah yang menyebabkan Rasulullah menggigil saat kali pertama menerimanya..
Yang punya rasa persahabatan kerana memberi syafaat kepada sesiapa yang membacanya, yang dapat memberikan ketenangan kepada hati..

Hiduplah dengan cara yang dapat mengenalkan kepada orang lain bahawa Islam itu indah :)

Sunday, March 06, 2011

Jangan jadi macam saya

di tulis oleh norashikin rahmat pada Sunday, March 06, 2011 1 komen best
Sewaktu masih di semester pertama, saya berpeluang mendengar ceramah yang membuat saya faham macammana nak berubah secara total. Bukan berubah sedikit-sedikit atau separuh-separuh. Bukan berubah yang tak ada halatuju atau sesuka hati. Berubah yang membuatkan saya takkan balik kepada keadaan asal yang takbaik.

Syaratnya, mesti berubah kerana Allah. Bukan kerana orang suruh, bukan. Bukan kerana nak ikut role model. Bukan kerana terpengaruh dengan keadaan sekeliling yang berubah mengikut arus dunia. Bukan kerana ingin memikat perempuan atau lelaki yang diingini, atau ingin membuat hati ibubapa senang dan percaya. Bukan.

Kalau seseorang itu berubah kerana terpesona dengan sikap atau kebaikan seseorang, biarlah orang itu hanya menjadi asbab sesuatu itu berlaku. Kerana setiap orang itu wajib membawa akhlak yang baik ke mana saja dia pergi.

Saya cukup merasa lemah dan rendah apabila sahabat-sahabat saya ingin berubah menjadi seperti saya. Ia menjadi beban yang sangat berat apabila saya menerima luahan seperti ini.. Kerana Allah Yang Maha Menjaga Rahsia sahaja yang tahu siapa saya di sisiNya, semasa saya berseorangan dan semasa saya di khalayak..

Sahabat-sahabatku, saya punya banyak kelemahan dan saya bimbang jika kelemahan-kelemahan ini Allah singkapkan di hadapan matamu, maka kamu menjadi kecewa. Andai kamu ingin berubah, berubahlah menjadi seperti apa yang disukai Allah, bukan disukai manusia.

Perubahan bersandarkan hamba, pasti tidak kekal lama.

Friday, March 04, 2011

hulurkanlah daku seteguk air dari telaga kauthar..

di tulis oleh norashikin rahmat pada Friday, March 04, 2011 0 komen best
dunia ibarat air laut.. 
diminum hanya menambah haus.. 
nafsu bagaikan fatamorgana.. 
di padang pasir..

Tuhan... leraikanlah dunia
Yang mendiam di dalam hatiku
Kerana di situ tidak kumampu
Menghimpun dua cinta...

Thursday, March 03, 2011

Lawatan ke Serba Wangi, Tesco dan Gano Excel

di tulis oleh norashikin rahmat pada Thursday, March 03, 2011 0 komen best
Sebagai tugasan khas subjek Warehouse Management BPMG 3133, pada hari ini, kami melawat 4 tempat iaitu Serba Wangi, Tesco Mergong, Gano Excel dan Kilang Aiskrim.

Untuk lawatan tempat ke-3, saya hanya pilih untuk ke Gano Excel.

Serba Wangi ialah syarikat pemproses beras yang paling penting di Malaysia kerana menghasilkan beras Jati yang hanya berada di Malaysia. Beras yang dihasilkan oleh Serba Wangi tidak dieksport dan hanya untuk pengedaran dalam Malaysia sahaja. Syarikat ini membeli padi daripada petani dan memproses padi menjadi beras. Saya melihat dengan mata kepala sendiri bahawa pemprosesan beras tidak menggunakan sebarang bahan kimia sebagai agen pemutih untuk memutihkan beras. Melalui lawatan ini juga saya dapat tahu yang beras perang lebih banyak khasiatnya berbanding beras putih, kerana beras putih telah banyak kehilangan zat dan nutrien semasa proses 'polishing' dimana dedak akan terhasil daripada proses ini.

Padi mempunyai seribu satu kebaikan yang tidak satupun daripadanya yang tak berguna. Setelah padi diproses menjadi beras, jerami padi tidak dibuang begitu sahaja tetapi ia dibakar untuk menghasilkan wap bagi mengeringkan padi dan menghasilkan tenaga elektrik untuk kegunaan proses mesin kilang.

Rupa-rupanya padi yang dihasilkan sendiri lebih baik daripada padi yang diproses kilang. Lebih murah, lebih berkat, lebih berkhasiat. :)

Kemudian kami ke Tesco Mergong yang terletak di Alor Setar, meninjau bagaimana ia beroperasi. Untuk pengetahuan anda, Tesco merupakan salahsatu hypermarket yang menggunakan konsep gudang terbuka atau 'open warehouse'. Hypermarket yang turut menggunakan konsep ini ialah Giant dan Makro. Keistimewaan hypermarket ialah mereka mengagihkan segmen pasaran dengan begitu teliti dan pelabelan yang sangat kompleks dan komprehensif untuk kemudahan pelanggan. Begitu juga dengan laluan pelanggannya (aisle) yang sangat lancar dan bersih. Ia juga bukan gudang biasa yang kosong tak menarik tetapi ia seperti gabungan kepada gudang dan juga supermarket yang cantik. Yang tak bestnya kami tak boleh ambil gambar dalam tesco (rupa-rupanya). Mungkin kerana ia akan menyebabkan risiko plagiat dari segi strategi pemasaran mereka. Jadi, lepasni kalau pergi tesco jangan bawa kamera nanti kena marah dengan stafnya yang arrogant.

Yang tak sesuainya selepas junction barang-barang rumah tiba-tiba ada bakery yang tersesat. Saya cuma beli buku mewarna untuk adik saya dengan ubat gigi je kat tesco tadi sebab 'agong saya belum masuk dalam dinding'. heheh.

Untuk destinasi lawatan ketiga dfan keempat, kami berpecah kepada dua kumpulan, kerana masa yang terhad. Saya memilih untuk ke Gano Excel, sebuah syarikat penghasilan produk berasaskan ganoderma, iaitu sejenis tumbuhan yang boleh membantu melancarkan peredaran darah dalam sistem tubuh dengan izin Allah.

Gano Excel diasaskan oleh sebuah keluarga cina di Kedah, dan kini beroperasi di 84 buah negara. Pemasaran produk Gano Excel menggunakan sistem MLM, dan syarikat ini menghasilkan pelbagai produk seperti minuman kesihatan, supplement, kosmetik, barangan harian dan sabun. Semasa lawatan ini, kami dibawa ke production hall untuk melihat bagaimana capsule dan tablet dihasilkan. InsyaAllah, produk Gano adalah halal dan bersih. Yang tak seronoknya masa lawatan ini, kami diiringi oleh Marketing department yang tidak begitu arif untuk menjawab soalan kami yang lebih menjurus ke arah production dan storing in warehouse. Selepas melihat production part, kami dibawa ke bahagian biologists dan chemists yang mana kami dapat melihat (dari cermin luar) bagaimana bacteria dalam makmal dihasilkan yang akan menyokong pertumbuhan ganoderma. Ganoderma dalam syarikat Gano Excel ini diternak sendiri oleh petani-petani di ladang ganoderma, dimana ganoderma ini hanya mengambil masa 3 bulan untuk tumbuh sebagai 'cendawan' yang akan dipetik untuk diproses. Pengiring kami memberitahu bahawa ganoderma yang lebih lama akan kurang nilai 'therapeutic. Ganoderma yang telah hidup beratus-ratus tahun di hutan tidaklah begitu therapeutic kerana ia boleh jadi beracun akibat menyerap bahan-bahan daripada persekitarannya.

Walaupun kami tidak dapat ke ladang penanaman ganoderma kerana kesuntukan masa, tetapi lawatan ke Gano Excel paling memuaskan hati pada hari ini kerana kami berpeluang masuk ke dalam gudangnya untuk melihat proses penyusunan gudangnya.

Seronok, kalau anda tahu apa yang telah saya lalui hari ini. Melihat proses sesuatu benda terhasil menjadi sesuatu yang lain adalah fantastic dan berharga. Anda akan lebih menghargai apa yang di depan mata kerana mengetahui betapa susah payahnya kajian dibuat untuk sesuatu yang nampak kecil di mata anda. Beras yang anda buang dalam longkang ketika membasuhnya telah melalui seribu satu pengalaman sebelum ia berada dalam genggaman anda.

Melihat proses kilang adalah seperti melihat ke dalam diri anda sendiri. Untuk suatu hasil, anda perlu melalui proses-prosesnya. Anda perlu memiliki teknologinya. Anda perlu dilengkapkan dengan komponen-komponen tertentu sepertimana kereta dihasilkan, yang mana apabila tanpa sebatang skru pun anda akan menjadi 'disqualified'.

Yang saya tahu dan faham, hidup adalah kilang kehidupan. Jika warehouse is the heart of a factory, dalam memaknakan kehidupan pula, ia menjadi 'heart is the warehouse of the whole body' which is very complex to manage.

Wednesday, March 02, 2011

Melihat seluas-luas mata dan berpijak di bumi nyata.

di tulis oleh norashikin rahmat pada Wednesday, March 02, 2011 0 komen best
Selama ini saya ingatkan saya dah faham dah realiti masyarakat sekarang. Rupanya belum lagi.

Rupanya selama ini saya tidur serapat-rapat mata dan makan sekenyang-kenyang perut. Saya memang masih mentah dan innocent, sebab kalau anda pernah jumpa saya, saya memang macam budak nerd yang hanya tahu duduk di library dan baca buku saja sepanjang berada di universiti. Sampaikan, kalau anda tanya saya buku human capital pun saya boleh bagitau ada kat tingkat berapa rak yang mana tanpa cari call number.

Tapi rupanya saya masih tak sedar yang kawan-kawan saya sedang hanyut dilambung-lambung ombak tsunami yang sedang menggila. Tsunami jahiliyyah!

Tadi, dinner dengan HEP.. sebagai rakyat DPP, sayapun hadir. Sayangnya ianya program yang amat mengecewakan sesiapa sahaja orang Islam yang beriman.. kerana persembahan-persembahan yang entah apa-apa.. lelaki dan perempuan bercampur bebas dalam persembahan.. lelaki pakai telekung kemudian pakai topeng hantu.. bagi salam dalam dikir barat..

membaca post ini, pasti ada yang akan berkata.. "biasalah tu, akhir zaman.."
Dan saya ingin anda tahu, tak boleh satupun daripada kita menjadi petanda kiamat.. jangan cuba-cuba dengan Islam..

Islam kesayanganku.. nanti kita buat serangan balas ye?

'betulkan yang biasa, biasakan yang betul!'
 

Missleonora's~ Template by Ipietoon Blogger Template | Gift Idea