Showing posts with label penulisan kreatif. Show all posts
Showing posts with label penulisan kreatif. Show all posts

Thursday, March 25, 2010

PERSAHABATAN

di tulis oleh norashikin rahmat pada Thursday, March 25, 2010 0 komen best
Dan seorang remaja berkata, Bicaralah pada kami tentang Persahabatan.
Dan dia menjawab:
Sahabat adalah keperluan jiwa, yang mesti dipenuhi.
Dialah ladang hati, yang kau taburi dengan kasih dan kau tuai dengan penuh
rasa terima kasih.
Dan dia pulalah naungan dan pendianganmu.
Kerana kau menghampirinya saat hati lupa dan mencarinya saat jiwa mahu
kedamaian.
Bila dia berbicara, mengungkapkan fikirannya, kau tiada takut membisikkan
kata "Tidak" di kalbumu sendiri, pun tiada kau menyembunyikan kata "Ya".
Dan bilamana dia diam,hatimu berhenti dari mendengar hatinya; kerana tanpa
ungkapan kata, dalam persahabatan, segala fikiran, hasrat, dan keinginan
dilahirkan bersama dan dikongsi, dengan kegembiraan tiada terkirakan.
Di kala berpisah dengan sahabat, tiadalah kau berdukacita;
Kerana yang paling kau kasihi dalam dirinya, mungkin kau nampak lebih jelas
dalam ketiadaannya, bagai sebuah gunung bagi seorang pendaki, nampak lebih
agung daripada tanah ngarai dataran.
Dan tiada maksud lain dari persahabatan kecuali saling memperkaya roh
kejiwaan.
Kerana cinta yang mencari sesuatu di luar jangkauan misterinya, bukanlah
cinta , tetapi sebuah jala yang ditebarkan: hanya menangkap yang tiada
diharapkan.
Dan persembahkanlah yang terindah bagi sahabatmu.
Jika dia harus tahu musim surutmu, biarlah dia mengenali pula musim
pasangmu.
Gerangan apa sahabat itu jika kau sentiasa mencarinya, untuk sekadar
bersama dalam membunuh waktu?
Carilah ia untuk bersama menghidupkan sang waktu!
Kerana dialah yang bisa mengisi kekuranganmu, bukan mengisi kekosonganmu.
Dan dalam manisnya persahabatan, biarkanlah ada tawa ria dan
berkongsi kegembiraan..
Kerana dalam titisan kecil embun pagi, hati manusia menemui fajar dan
ghairah segar kehidupan.
oleh Khalil Gibran
Photobucket

Monday, March 08, 2010

cerita sebatang pohon

di tulis oleh norashikin rahmat pada Monday, March 08, 2010 4 komen best
kita hidup di sebuah zaman

yang pohonnya tak punya jiwa

dedaunnya berani gugur bila ia mahu gugur

akarnya tidak mahu air

buahnya busuk di ranting

dahannya rapuh dimakan ulat berbisa




anak-anak bermain disisi pohon

meratah buah busuk

memanjat-manjat dahan

bermain sembunyi-sembunyi

ulat-ulat berbisa itu

diguli-gulikan




aneh.




seorang lelaki dari hujung kota datang memikul cangkul

lalu dia digula-gulakan

"zaman ini manusia tak kenal cangkul" kata lelaki berjubah hitam

"aku mahu menanam buah yang subur lagi berjasa" kata lelaki dari hujung kota

"hanya ada sebatang pohon berbuah busuk" kata lelaki berjubah hitam

"hanya buah yang subur lagi berjasa menyihatkan jiwa" kata lelaki dari hujung kota


lalu datang askar dari langit memusnahkan pohon berbuah busuk hingga ke akar tandusnya.


---------------------------------------------------------------

Saya tahu ini bukan kelas sastera, tapi saya bimbang kalau bait-bait ini tidak difahami. Maksud bait-bait kata di atas adalah kita hidup dalam sebuah zaman, dimana keadaannya tidak dapat lagi digambarkan. Yang buruk dan busuk pun kita makan menjadi darah daging kita, sepertinya kita tidak ada pilihan. Kita sudah tidak pandai memilih mana yang baik dari yang buruk. Ini memberi kesan kepada anak-anak generasi masa depan. Anak-anak juga menjadi keliru dengan sesuatu yang nampak baik tapi hakikatnya buruk. Ini digambarkan dengan 'pohon berbuah busuk', iaitu suasana yang jahat, tak soleh, dimana dunia hari ini dikotori dengan rasuah, riba' dan segala macam penyelewengan. Dalam arena kesusasteraan, warna hitam melambangkan watak antagonis, iaitu kejahatan. Lelaki berjubah hitam bermaksud manusia yang mencipta kekacauan dan menyebabkan situasi menjadi seperti apa yang dikehendakinya. Lelaki dari hujung kota pula adalah watak yang diilhamkan dari surah Yaasin, atau dalam terjemahannya dikatakan sebagai lelaki yang mengajak supaya manusia mengikut dan mentaati nabi yang diutuskan. [Dalam huraian surah Yasin, lelaki dari hujung kota ini diriwayatkan sebagai orang soleh, dan apabila beliau masuk ke syurga, dia berkata, "alangkah baiknya jika kaumku mengetahui." wallahu a'lam.] Dalam frasa yang pendek, lelaki berjubah hitam cuba menghalang lelaki dari hujung kota melaksanakan sesuatu yang baik dengan mengatakan bahawa keadaan yang sedia ada sudah cukup baik, dan lelaki dari hujung kota menyingkapkan sebuah keadaan bahawa hanya sesuatu yang baik sahaja yang boleh menyembuhkan keadaan yang sedia ada. Maksud 'hanya buah yang subur lagi berjasa dapat menyihatkan jiwa' ialah hanya sesuatu yang baik, iaitu mengikuti al-Qur'an dan sunnah dapat mengembalikan sebuah bi'ah (suasana) yang baik dan sihat, bi'ah solehah. Untuk itu, 'askar dari langit' turun memusnahkan 'pokok berbuah busuk', yang bermaksud, Allah menurunkan askar-askarnya (jundullah) yang membantu menyembuhkan kembali keadaan dunia yang sakit hari ini dengan mencantas kemungkaran sehingga ke akar umbi.

tahukah siapa yang dimaksudkan 'askar dari langit' itu? kitalah. pemuda harapan Islam.
Ayuh bangkit! jangan biarkan maksiat mengheretmu..

semoga hari ini lebih cemerlang dari semalam.
semoga bermanfaat.



Photobucket

Thursday, February 04, 2010

kenapa saya sepohon kayu mati?

di tulis oleh norashikin rahmat pada Thursday, February 04, 2010 4 komen best
Seorang perempuan remaja berumur dalam lingkungan belasan tahun termenung. Dia memandang ke luar tingkap bas, membuang ingatannya yang sarat tertumpu pada tugasan-tugasan kuliah yang tidak kunjung habis. Ditambah dengan aktiviti-aktiviti luar kuliah, semua itu, walaupun kesukaannya, kadang-kadang membuat dia terasa lelah. Di sepanjang perjalanan, mujur ada pohon-pohon yang saujana menghijau, mendamaikan hatinya. Nun di hujung pandangan, langit petang yang menabiri alam sungguh indah.Hatinya berbisik halus,

"Meski jauhnya jurang antara langit dan bumi, kedua-duanya tetap saling memerlukan. Apalah ertinya bumi tanpa langit, bermaknakah langit tanpa bumi. Hijau dunia tanpa biru langit membosankan, Biru alam tanpa kehijauan bumi cukup menjemukan."                                                 [diilhamkan daripada 'ikatan langit dan bumi']

Perjalanannya petang itu jauh, dia menanti ketibaannya ke kampung yang dirindui.Entah kenapa, kali ini matanya tidak mahu lena. Dalam perjalanan itu, dia melalui sebuah jambatan yang menyeberangi muara. Air di muara itu, dari hulu sungai menuju ke laut lepas. Alangkah ajaibnya, di muara itu warnanya seperti kuning keperangan, tetapi dihujung matanya laut lepas berwarna biru kehijauan. Hatinya berzikir memuji Ilahi. Dia teringatkan tafsir ayat terakhir dari surah Al-Mulk yang bermaksud, 
"Adakah kau lihat jika airmu terbenam (ke dalam bumi), maka siapakah yang memberimu air yang mengalir?" [al-Mulk:30]
Maha Suci Allah.. Dia tahu bahawa sifat bumi itu menyerap air, ajaibnya, air sungai yang mengalir tidak pula diserap bumi.. Dan air ini digunakan manusia buat meneruskan sistem kehidupan..Subhanallah.. hatinya memuji lagi. Kalau tidak Allah yang mengalirkan air ini menjadi sungai, pasti manusia sudah mati kehausan..

Melepasi jambatan tadi, bas yang dinaikinya terus bergerak melintasi sebuah padang. Matanya tertumpu pada sepohon pokok tunggal di tengahnya. Hatinya tersentuh, kerana kasihankan pokok itu yang tunggal, tidak ada pohon-pohon lain di sekelilingnya. Pohon itu bagaikan menahan terik mentari. Tiba-tiba airmatanya mengalir. Dia rasa malu dengan pokok itu.Hatinya merintih;

"Pohon itu tidak rebah tatkala sepanjang hayatnya ia sendirian ditiup angin, malah ia redha daunnya gugur jatuh ke bumi. Tatkala menahan terik mentari, ia tidak mati malah subur. Ia tak mengeluh penat seperti aku. Tatkala ditimpa hujan, pokok itu tidak menepis, malah menerimanya sebagai anugerah di hujung panas. Tidakkah pokok itu lebih bersyukur daripada aku? daunnya, segan mahu gugur selagi tidak diizinkan Allah."
 Hari menjelang senja, dan matanya tertumpu ke langit. Di awanan, sekawan burung terbang, pulang ke sarang agaknya. Akalnya memberi pandangan; sedangkan manusia pun tidak mempu bermuafakat berjalan seiring pada waktu mereka menuju ke arah yang sama.. Tetapi, burung tak berakal, berjiwa kecil di langit yang tebentang luas, namun mereka mampu untuk seiring.. Laa ilaaha illallahh..
Dan tidaklah Kami jadikan langit dan bumi dan apa yang ada di antara keduanya sebagai mainan.[al-anbya';16]
Sejenak, dia terlelap dalam fikirannya tentang burung-burung kecil tadi. Tidurnya tidak lena, dan dia tersedar tiba-tiba.. Apabila tersedar, destinasinya masih jauh. Kakinya kebas. Perjalanan yang mengambil masa hampir lima jam itu membuatkan dia terasa penantiannya terlalu panjang. Hatinya sebak, dia terasa di tubir matanya ada air bergenang. Dia teringat mimpinya tadi. Dalam mimpinya, dia merupakan sepohon kayu mati..

-----------------------------------------------------------------------------------------------

ikin: Bayangkan anda adalah si gadis yang diceritakan di atas. Apakah yang anda fikirkan setelah bangun daripada tidur dengan termimpikan diri anda sebagai sepohon kayu mati? Apakah analoginya?

Thursday, January 14, 2010

ikatan langit dan bumi

di tulis oleh norashikin rahmat pada Thursday, January 14, 2010 0 komen best
Demi langit dan bumi
Melihatlah dengan hikmah
Menafsir dengan ilmiah
Buat santapan mata hati
Yang terpendam
Lubuk dalam
Yang terpelosok
Jauh di relung jiwa
Tanpa bumi runtuhlah langit
Tanpa langit membahanglah bumi
Ku menyedut
Pada hamparan menghijau
Melata tumbuhnya
Menyubur fasa cinta
Ku merenung
Pada lukisan biru
Tercoret sejalur kasih
Berbekas di celahan gemawan
Nun di sana
Terbuku hikmah kedua-duanya
Saling memerlukan
Tak terbayang
Andai hijau tanpa biru
Andai warna alam biru seluruhnya
Pasti bumi..
Tidak seindah garisan pelangi

03:29 PM, 27 Oktober 2009,
Teratak ar-Rashid, Kupang.


sajak ikatan langit dan bumi ini dipetik daripada laman web saudara Farid Rashidi di http://www.faridrashidi.com/2009/10/27/ikatan-langit-dan-bumi/#more-1003

Friday, November 20, 2009

ilham hening malam..

di tulis oleh norashikin rahmat pada Friday, November 20, 2009 6 komen best
Malam begini setelah lelah menghadap sekalian kertas dan nombor, aku menghadap laptop ini pula. sebenarnya hendak menge-post satu puisi yang ditulis dalam perjalanan pulang dari admin ke DPP tadi...oleh sebab sedang berjalan, maka aku hanya menulisnya dalam telefon bimbit...takut tak dapat menulisnya saat duduk dan menghadap kertas dan memegang pen. dalam erti kata lain, takut hilang ilhamnya... apa-apapun, hayatilah...

Musim tidak lagi menjadikan kita camar hitam
Dan segala awan pun tak dapat menandingi awan mendungnya..
tak tersangka,
pasir juga yang selama ini dia gilap.
silap.
Dalam sepantai pasir, tak terjumpakan si mutiara sebutir yang selama ini digilainya
Impian.
Tinggal jadi harapan bodoh cuma.
Masihkah pelangi dapat menyinar?
Ah..Tertipu lagi rupanya.

Dia menutur langkahnya lagi.
Kasihan dia, pincang.
Ada satu bunyi bergelantangan dari langit,
terus tulinya bersuara...
"Pekakmu, butamu, bisumu, tempangmu, kudungmu...
..itu semua alasanmu untuk menjadi cacat.
Menjadi normallah,
kerana Tuhan tidak zalim..."

Wednesday, November 18, 2009

Pada Sebuah Watan: Rejab F.I.

di tulis oleh norashikin rahmat pada Wednesday, November 18, 2009 2 komen best
Jati diri bangsa bagaikan pepohon
pada sebuah watan
akarnya kedaulatan bahasa
batangnya keagungan nilai budaya
dedahannya semangat kecintaan dan perpaduan
dedaunnya rimbunan ketaatan dan kesetiaan.
Pepohon negara yang merdeka dan berdaulat
bahasa adalah akar peribadi bangsa
menjalar pada nurani kehidupan
menyuburkan dedahan pendidikan
menaungi daunan kesejahteraan
pada sebuah negara bangsa.
Batang budaya yang tertegak pada sebuah watan
adalah peribadi yang luhur dan murni
menjulang kecintaan nusa bangsa
di mana bumi dipijak
di situ langit dijunjung.
Dedahan pada sebuah bangsa merdeka
menegakkan pepohon nurani padu dan utuh
membangun ekonomi menyuburkan watan
menyemarakkan ranting perpaduan dan persefahaman.
Dedaunan yang menghijau dan rendang
menyuburkan maruah dan semangat waja
memartabatkan bahasa dan keluhuran perlembagaan
membendung tekad dan keazaman
membasmi hujan petualangan
menaungi mentari keganasan
yang merobek nurani bangsa.
Pupuslah jati diri bangsa
jika akar bahasa tercabut dari pepohon watan
tumbanglah jati diri bangsa
jika batang budaya terbongkar dari perdu perpaduan
terkulailah jati diri bangsa
jika dedahan kecintaan sekah dan patah
kontanglah jati diri bangsa
jika dedaunan ketaatan dan kesetiaan
kering dan kelayuan.

................................................................................................

aku dan pengarang ini--->Rejab F.I.
Rejab F.I. menemani zaman kecilku yang tidak seperti anak kampung lain yang sibuk bermain becak, main tanah, keliling kampung dan dimanjai. Aku membaca buku-buku Rejab F.I semasa berumur 9-11, kerana tidak ada lain yang aku buat semasa umur itu semasa bersekolah rendah di SK Bukit Tunggal. Tapi sejak berpindah sekolah dan menjadi 'orang dewasa', aku tak terjumpa lagi buku dia. Dan, kalau dia masih ada, aku ingin mengucapkan terima kasih. :)

Wednesday, October 28, 2009

buat Aiman

di tulis oleh norashikin rahmat pada Wednesday, October 28, 2009 6 komen best
“Abang..tunggulah adik..” Aiman berlari-lari anak, mengejar abangnya di hadapan.

“Cepatlah sikit...lambat betul...” si abang yang di hadapan hanya menoleh sekilas ke belakang tanpa menghentikan langkah. Hari sudah gelap. Mereka terlambat untuk mengaji. Hatinya marah, kerana tadi dia dimarah Mak Siti kerana membiarkan adiknya masih bermain diluar tatkala senja sudah melabuhkan tirai. Bukan dia marahkan Mak Siti, tetapi..entahlah. Dia merasa geram. Sudah diingatkan Aiman supaya mandi cepat tadi...

Mereka tiba di rumah Pak Lang Yusof. Pak Lang mengajar mereka mengaji, dan kadang-kadang menceritakan kisah-kisah para nabi. Dulu Pak Lang merupakan guru agama, tetapi setelah pencen, dia hanya mengajar mengaji kepada anak-anak kampung.

“Kenapa lambat, Mir?” Pak Lang bertanya, mencari tahu sebab. Biasanya dia bertegas terhadap anak saudaranya yang berdua itu, tetapi melihatkan wajah Amir yang kesayuan kerana takut dimarah, Pak Lang berlembut. Dia tidak mahu semangat mengaji budak itu hilang.

“Amir tunggu Aiman. Dia terlambat tadi. Maafkan Amir dengan Aiman ye, Pak Lang.” Pak Lang yang mengajarnya supaya sentiasa memohon maaf atas kesilapan, dan bersopan dengan orangtua. Amir berasa sedikit lega. Dia duduk bersila menghadap Pak Lang, membuka Al-Qur’an. Hari ini dia akan menyambung baca surah Al-Ahzab..dan adiknya Aiman masih Juz ‘Amma. Amir sudah dua kali khatam. Dan dia sekarang diajar Pak Lang Yusof menghafal surah. Pada umur 10 tahun, kadang-kadang Amir sudah boleh membantu rakan-rakan membaca Al-Qur’an dan membetulkan bacaan mereka. Kalau dia juga tidak pasti, cepat-cepat dirujuknya kepada tuk gurunya itu.

Pembacaan Amir didengar dengan teliti oleh Pak Lang. Aiman di sebelah membaca sendiri iqra’ yang sudah, semasa menanti giliran. Rakan-rakan yang lain, sudah beransur pulang. Yang perempuan masih ada di belakang, mengaji dengan Umi Zulaikha, atau dipanggil Umi, isteri Pak Lang.

Sesudah mengaji, sementara menunggu Aiman mengaji, Amir duduk di sisi Pak Lang. Dia membelek buku Kisah Nabi Hud dengan Kaum Ad. Memang sudah menjadi kebiasaannya membaca buku-buku kepunyaan Pak Lang. Jika tidak dapat menghabiskannya hari ini, dia menyambung pembacaannya pada esoknya pula. Kadang-kadang dia membawa pulang buku cerita yang disukainya, atas izin Pak Lang.

Setelah menyalami Umi dan Pak Lang, mereka pulang. Berbekalkan lampu suluh kecil, mereka berjalan dengan berhati-hati. Tanah becak, beberapa hari ini hujan turun lebat. Aiman yang di belakang, melompat beberapa kali supaya dapat berjalan seiring dengan Amir. “Aiman minta maaf, abang..” dia berjalan rapat dengan abangnya. Dia bagaikan tahu, abangnya sengaja berjalan cepat kerana masih tidak puas hati. “Lain kali Aiman cepatlah sikit.. Aiman suka abang kena marah dengan Mak Siti?” Dia tahu, adiknya rasa bersalah. “Tak.. Aiman janji, lepasni, Aiman cepat-cepat. Esok kalau Aiman cepat, abang belanja Aiman aiskrim kedai Tok Awa tau.” Eh..adik akuu nii...pandai brjanji pulakk... “Amboi..banyak cantik.. kalau berjanji, kena tepati, tahu. Orang mungkir janji sama macam ..?” “..munafik” Aiman menjawab. Si kecil itu banyak mengikut abangnya. Dia berhajat untuk khatam cepat seperti abangnya. Kalau boleh, tahun ini juga dia mahu khatam. Pelajaran iqra’nya pun sudah hampir habis.

“Aiman dah hafal doa qunut?” Amir bertanya. Adiknya itu, sejak bersekolah Darjah Satu dikejutnya bangun Subuh. “Er..sikit je..” Aiman tersengih-sengih. “sekejap lagi Aiman hafal sebelum tidur ye. Kalau Aiman hafal doa qunut, baru abang belanja nanti.” “Okay!” Aiman mengangkat tangannya, menunjukkan isyarat ok-nya.

Mak Siti berada di dapur ketika mereka berdua sampai. Jam sudah menunjukkan pukul 8.45 malam. Hampir pukul 9. Aiman terus naik ke rumah, menghadap tv. Amir menyusun selipar, kemudian masuk ke rumah. Mak Siti yang ternampak kelibat Amir, memanggilnya. “Kamu dah makan?” Amir menggeleng. Dia masih terasa hati. “Mari makan, ajak Aiman.” Mak Siti memujuk. Amir bergerak malas, mendaki tangga ke rumah sebelah atas, masuk ke bilik meletakkan Juz’Amma dan al-Qur’an, lalu memanggil adiknya. Sudah malam begini, bukannya ada cerita budak-budak. Semuanya drama. Dan entah apa-apa rancangan.

Mereka bersila menghadap makanan. Lauk malam itu, sama seperti tengah hari tadi. Nasi, ikan goreng dan sayur bayam. Amir tidak berkira. Dia dan Aiman makan sahaja apa-apa yang dimasak Mak Siti. Baginya, apa yang dimasak Mak Siti, itulah masakan paling lazat. Adiknya makan tanpa bersuara. Aiman mahu makan cepat-cepat, kerana Mak Siti tidak akan membenarkan mereka menonton tv selepas pukul 10. Dia teringat pesan abangnya supaya menghafal doa qunut. Pukul 10, mesti tidur.

Mak Siti menemankan mereka makan. Jauh di sudut hatinya, dia sayang kepada dua beradik itu. Kepada siapa dia hendak mencurahkan kasih kalau bukan kepada mereka. Mereka berdua anak kepada adiknya yang telah meninggal dunia ketika melahirkan Aiman. Aiman dan Amir diasuhnya sejak Aiman masih dalam hari, dan ketika Amir berumur tiga tahun. Bapa kepada Amir dan Aiman meninggal dunia dalam kemalangan dua tahun selepas kematian ibu mereka, ketika pergi membelikan Amir baju sekolah tadikanya. Amir yang ketika itu sudah mengerti tentang kematian, tidak mahu ke sekolah tadika. Pak Lang Yusof mereka itulah yang mendidik Amir, membawa Amir belajar di sekolah tempatnya mengajar dahulu, di Sungai Siput, Segamat.

Mak Siti sendiri, sudah lama hidup sendirian. Suaminya meninggal ketika usia perkahwinan mereka belum mencapai usia setahun. Pada usia 30-an, Mak Siti masih cantik, dan ada juga yang merisik khabarnya, tetapi dia masih tidak dapat melupakan arwah suaminya yang penyayang itu. Cukuplah dia mempunyai Amir dan Aiman untuk diasuh dan dididik, sudah dianggapnya mereka itu seperti anak sendiri. Demi menyara kehidupannya dan dua beradik itu, Mak Siti tidak perlu bekerja keras. Harta peninggalan arwah suaminya, hasil tanaman dua bidang kebun kelapa sawit di Pulau Jering cukup buatnya. Cuma dia perlu mengupah orang untuk mengerjakannya. Amran, arwah iparnya, bapa kepada dua beradik itu juga pernah mewasiatkan hartanya buat Amir dan Aiman. Bukan sedikit harta peninggalan Amran, dia berasal dari keluarga yang kaya-raya. Tetapi sayang, cuma dialah saja anak, dan pewaris tunggal. Jika tidak, pasti anak-anaknya itu diamanahkan buat adik beradik Amran. Namun begitu, Mak Siti tidak mahu mendidik Amir dan Aiman dengan kesenangan. Biarlah mereka hidup dengan bersederhana.

Amir sudah tidak ada di pandangan. Dilihatnya pinggan makan Amir dan Aiman sudah berbasuh, tinggal pinggan mangkuk yang berisi lauk-pauk sahaja. Memang diajarnya Amir supaya membasuh pinggan makan dan cawan sendiri. Amir juga dilihatnya pandai menjaga adik, biasanya dia akan membasuhkan pinggan adiknya tanpa banyak berkira. Mak Siti mengemaskan dapur, kemudian menutup suis lampu.

......................................


“Mak, bila abang balik?” Tanya Aiman. Sudah dua bulan dia tidak berjumpa Amir. Hatinya rindu. Dia sunyi. Mak Siti hanya diam. Dia tahu anak manja itu rindukan abangnya. Balik-balik, itu juga soalan yang ditanya. “Mak, abang Amir ada telefon tak? Aiman rindulah...” akhirnya terpacul jua isi hati anak itu. Mak Siti tersenyum. Lucu juga melihat wajah monyok Aiman. Selalu ada Amir, dia tidak begitu. Terpancar sungguh kegusaran hati Aiman di wajahnya, dia tidak keruan. Sudah dua hari Aiman tidak keluar bermain seperti selalu, dan makan pun sekadarnya sahaja. Mak Siti kasihankan Aiman. “Nanti kita pergi jenguk abang Amir di asrama ya” serta merta wajah Aiman berubah. Dia ceria. “betulke mak? Yayay!” Aiman mencium pipi Mak Siti, kemudian dia berlari keluar. Sudah dua bulan Amir belajar di sekolah asrama aliran agama di Negeri Sembilan. Memang itu cita-cita Amir, jadi Mak Siti tidaklah menghalang, malah menggalakkan. Lagipun, bimbingan Pak Lang Yusof sebagai ustaz banyak memberi Amir inspirasi dan pengaruh. Amir, walaupun masih muda, tetapi matang dalam berfikir. Tidak seperti adiknya Aiman, yang manja dan memang dimanjakan Amir.

......................

“Bila mak sampai?” Tanya Amir. Suka betul hatinya menerima kunjungan itu. Dirasakannya kunjungan itu agak mengejut. Turut bersama Mak Siti dan Aiman ialah Pak Lang Yusof dan Umi Zulaikha. Aiman baru sahaja membaca buku “Wanita yang disebut dalam Al-Qur’an”. Salah satunya wanita isteri kepada Aziz, yang disebutkan sebagai Zulaikha. Hatinya berkata: pandai Pak Lang cari isteri nama Zulaikha... Namanya pun Yusof.. “Baru je, Amir.. Aiman ni, nak sangat jumpa kamu..” Aiman menyalami abangnya. Dia terasa janggal. Mungkin kerana lama tidak berjumpa. Dia melihat kulit muka abangnya berubah menjadi pucat, tidak seperti sebelum ini. Amir mengajak Aiman ke asramanya. Sebenarnya dia juga rindukan Aiman. Sengaja dia membawa Aiman ke tempat yang boleh mereka berbual. Mak Siti, Umi dan Pak Lang membiarkan mereka, kerana mereka juga hendak bergerak ke surau untuk bersolat Zohor. Perjalanan dari Segamat ke Pedas, memakan masa empat jam juga.

“Adik sihat? Adik rindu abang ya?” Amir mengusap rambut adiknya. Aiman hanya tersengih. Di dorm itu, Aiman membelek barang-barang Amir. Di katil Amir, tertampal gambar mereka berdua. Gambar semasa masih bersekolah rendah. Amir mengambil sesuatu dalam kocek bajunya, lalu diberikan kepada Aiman. Sebuah rantai kunci besi berbentuk empat segi, ada gambar bintang berwarna kuning terang yang cantik di atasnya. Latarbelakang bintang itu berwarna biru gelap. Di belakangnya, terukir nama mereka berdua: Amir & Aiman. Ada tulisan kecil di bawah ukiran itu: “abang sayang adik...” Aiman menerima, membelek-belek keychain itu. Amir berpesan, “ adik belajar rajin-rajin yea.. ikut cakap mak.. belajar baik-baik dengan Pak Lang, jangan nakal-nakal..tahun depan UPSR kan?” Aiman mengangguk-angguk. Dilihatnya Aiman masih membelek-belek keychain pemberiannya. Amir menatap sepuas-puasnya wajah itu..dirasakannya airmatanya mahu tumpah, tetapi ditahannya. “Ya Allah..rindu apakah ini..” hatinya berbisik. “adik simpan keychain ni, ni je yang abang mampu beri. Adik jangan hilangkan..” Amir memberi pesan lagi. Aiman menyimpan baik-baik pemberian abangnya dalam kocek seluar. Tiba-tiba Amir memeluknya, dan Aiman teresak-esak pula dalam pelukan abangnya..dalam esakannya, dia menyebut..” Abang, adik rindu..” Amir meleraikan peluknya, berkata, “adik jangan menangis selalu yea...” dia kembali memeluk Aiman. “Adik kena jaga diri...Adik dah besar.. Jangan lupa doakan ayah dan ibu.. Ingat, walaupun Aiman tak pernah tengok ibu, tapi ibu yang lahirkan Aiman tau. Aiman jangan lupa baca yasin untuk mereka..”

................................

Hari ini 27 Oktober. Aiman melihat lagi rantai kunci itu. Kalau Amir masih hidup, genaplah umurnya 23 hari ini. Sudah hampir sepuluh tahun Amir meninggalkannya. Walaupun dia memiliki ramai kawan, masih ada Mak Siti, Pak Lang Yusof dan Umi Zulaikha, semuanya tidak dapat menggantikan Amir. Pertemuan kali itu, pertemuan terakhir. Patutlah, banyak saja ucapannya. Patutlah, banyak saja pesanannya. Patutlah, diukirnya rasa sayangnya di atas besi, supaya takkan luput dan takkan hilang ditelan masa. Kerana dia mahu aku tahu, dia tetap sayangkan aku walau dia tidak ada di sisiku, walau kami jauh dibataskan antara dua dunia.

Amir meninggal dunia kerana sesak nafas. Dia pengsan setelah sesak nafas waktu tazkirah dibacakan antara solat maghrib dan isya’ di surau asrama, dan warden asrama cepat-cepat membawanya ke hospital. Dia menghembuskan nafas terakhir tatkala aku tidak ada disisinya, ketika azan isya’ berkumandang. Kata doktor yang memeriksa, dia tidak ada sakit yang kronik, dan punca kematian hanyalah sesak nafas. Umurnya pada waktu itu 13 tahun, seminggu selepas kunjungan kami.. Waktu dia dibawa pulang ke rumah malam itu juga, aku sudah tidur dan Mak siti tidak mengejutkan aku. Pagi itu, melihatkan tetamu yang ramai, aku tahu itu Amir. Kerana dalam mimpiku malam itu, Abang Amir tersenyum dipimpin seorang wanita. Wanita itu, sama seperti dalam gambar yang disimpan Mak Siti. Walau tidak tahu memandikan jenazah, aku meminta Pak Lang Yusof mengajarkan aku, kerana hanya abang Amirlah saudara sedarah daging aku dunia akhirat. Waktu itu, Pak Lang pesan, jangan menangis. Aku memang tidak menangis, kerana itulah pesan abang Amir.

Mengingatkan kematian Abang Amir membuat aku insaf. Kematian tidak mengenal umur. Tidak mengenal rupa. Tidak mengenal waktu. Mati tidak memerlukan sakit yang kronik, menunggu tua, atau apa-apa penyebab pun. Andai dalam hembusan nafas yang ini Allah tarik nyawaku, aku redha. Andai ini nafasku yang terakhir, doakan aku.

Aku hanya sempat mengucapkan rinduku padanya. Dan Abang Amir, walaupun tidak banyak cakap, tetapi telah dituliskannya sebuah buku, khas buatku. Aku menemui buku itu tatkala pergi ke sekolah Abang Amir untuk mengambil kembali barang-barangnya. Semuanya masih ada di rumah Mak Siti, aku tidak membenarkan Mak Siti membuangnya, walaupun secebis kertas. Biarlah dimakan lipas sekalipun, tak mengapa. Cuma semua itu saja pengubat rindu aku terhadap Abang Amir.

Tatkala aku menemukan buku itu, tertulis di atasnya: “Buat Aiman”

Mukasurat pertama: “Khas kudedikasikan buat adik kesayangan: Aiman”

Di bawah perkataan besar-besar itu, tertulis kecil: adik baca kalau rindu abang yaa..

Aku membuka mukasurat kedua. Tarikhnya, 20 Februari 1999. Seminggu selepas kemasukan abang ke asrama. “Adik, harini genap seminggu abang di asrama. Abang sudah kenal ramai kawan. Tapi, abang rindu kawan abang yang seorang ni..adiklah kawan abang sejak adik lahir. Buku ni, sengaja abang tulis.. Buat melepaskan rindu kat adik...”

Mukasurat ketiga, nota abang berbunyi, “hari ini abang belajar matematik. Entah kenapa dik, abang rasa susah betul tajuk Algebra tu.. kalau kelas Bahasa Arab tu, senang je abang ikut apa ustaz ajar.. teringat dulu, masa abang darjah lima. Cikgu Anis ajar kelas abang. Dia pun ajar kelas adik, darjah dua. Katanya, adik pandai matematik. Kata-kata cikgu, buat abang bangga jadi abang adik..”

Mukasurat seterusnya terdapat contengan-contengan. Abang Amir menampal gambar kami berdua, semasa hari raya. Kami berpakaian sedondon berwarna biru. Walaupun gambarnya sudah lusuh, warnanya masih ada. Aku dipimpin Abang Amir, dengan wajah comot dengan coklat di tangan, masing-masing berkopiah putih yang dikait benang.

Nota seterusnya, dalam tulisan-tulisan Abang Amir, dia banyak menceritakan tentang aku. Dan beberapa helaian dalam tulisannya terdapat kesan titisan air. Bekas airmata. Aku tersedar, dalam hidupnya, cuma ada aku. Dalam satu catatannya, dia menulis, “ Nanti abang besar, abang kerja baik-baik,abang beli buku banyak buat adik ya..” aku menangis membaca catatannya yang itu. Dia bercerita, aku juga sewaktu kecil sukakan buku sepertinya. Suatu hari aku pergi ke rumah Jamil,budak sebaya abang. Tetapi aku dihalau Jamil, hanya kerana aku anak yatim. Abang Amir sedih kerana aku pulang sambil menangis, mengadu tidak dapat melihat buku yang ada di rumah Jamil. Cerita Mak Siti, Abang Amir memang begitu, tidak suka meminta.

Catatan Abang Amir, penuh dalam satu buku 60 helai. Dia menulisnya setiap hari...sehinggalah hari terakhirnya.

Dulu Mak Siti selalu menegur Abang Amir kerana memanjakan aku... Dalam catatan terakhirnya buatku, aku menemukan sebabnya...

“suatu hari nanti, pasti adik akan bertanya kenapa abang sangat sayangkan adik. Adik, ketahuilah, abang tidak pernah mahu adik terasa sunyinya dunia tanpa belai kasih ibu. Memang, walaupun Mak Siti menjaga kita sebaik-baiknya, tidak sama dik..kerana itulah yang abang rasakan.. abang sentiasa harap dapat jadi abang yang terbaik buat adik..”


Oh..kenapa airmata ini tidak pernah mahu berhenti mengalir tatkala semua hal tentang Abang Amir terlintas diingatan?

nota penulis( sayelah! ): semua watak, jalan cerita, dan ape2 je dalam cerita pendek ini hanyalah ilham, khayalan dan ciptaan penulis semata-mata, tidak ada kaitan dengan manusia yang sedia ada wujud. tapi kalau ada persamaan dan sebagainya seratus-peratus, itu cumalah secara tidak sengaja.. hayati cerita ini baik-baik.. :)
 

Missleonora's~ Template by Ipietoon Blogger Template | Gift Idea