Sunday, April 03, 2011

Kiamatmu, setiap saat semakin mendekat.

di tulis oleh norashikin rahmat pada Sunday, April 03, 2011
Kawan saya dan saya, pada suatu pagi kami membaca suratkhabar bersama-sama. Dia membacakan headlines tentang bencana tsunami dan loji nuklear, lalu berkata, "eh kin, banyaknya bencana alam sekarang ni.. tanda kiamat kan, kin?"..

Tadi, bila membaca blog wanperlis tentang 'Gempa Bumi Ubah Paksi Bumi', apa yang terlintas di kepala saya ialah memang kiamat sudah dekat. Kiamat besar, hari yang dijanjikan Allah dimana Nabi S.A.W berkata, pada hari itulah ibu-ibu yang sedang menyusukan anak-anaknya akan meninggalkan anak mereka, kerana pada hari itu setiap manusia sudah tiada masa untuk orang lain melainkan mula menilik apakah nasib diri kelak. Hari yang mana orang kafir mula mengakui kehebatan dan kekuasaan Allah, mahu beriman tetapi telah terlambat.

Lintasan ini membuat saya terfikir, apakah kita tidak teringatkan kiamat yang sentiasa dekat dengan kita? Yang akan berlaku bila-bila masa? kiamat kecil, tetapi mampu membuat kita menangis di hadapan Allah untuk meminta satu hari saja masa lagi untuk beribadah mencukupkan amal hanya kepadaNya? Adakah kita lupa tentangnya?

Kita manusia, insan dan pelupa. Kerana itulah kita selalu diuji untuk diingatkan bahawa kita adalah hamba yang mesti bergantung harap hanya padaNya.

Kerana kita insan dan pelupa, maka kita perlu hidup bersahabat, mencari sahabat yang baik, medapatkan guru yang soleh atau mithali, supaya kita dapat hidup dalam komuniti yang baik.

Kerana kita hamba, untuk 'makan' dan terus 'hidup', kita perlu meminta dari Sang 'Tuan'. Untuk mendapatkan keperluan-keperluan ini, tidak ada lain yang seorang hamba boleh lakukan selain melakukan 'kerja' yang 'ditugaskan'. Hamba yang tidak bekerja adalah hamba yang malas dan layak dibuang dari kerjanya. Dan dia akan digantikan dengan yang baru.

Attachment dengan Tuhan itu penting. Tanpa Allah, siapalah kita. Allah telah berfirman, andai semua makhluk itu kufur, tidak berkurang sedikitpun kekuasaanNya, dan jika semua hamba itu taat, tidak bertambah sedikit pun keagunganNya. sedangkan bagi Allah, dunia baginya tidak sebanding pun dengan sebelah sayap seekor lalat, apatah lagi manusia kerdil macam kita.

Kita kerdil, sangat kerdil. Tuhanku, ampunkanlah kami dan kasihanilah kami..

Matikan kami dengan akhiran yang baik.

Kiamatmu, setiap saat semakin mendekat. Tersenyumlah kepada kematian, yakinilah bahawa dia sahabat baikmu di dunia.

0 komen best:

 

Missleonora's~ Template by Ipietoon Blogger Template | Gift Idea