Maksud saya, bukanlah saya menyambutnya dengan duduk saja-saja dalam bas, tapi saya telah mengembara ke Serdang dan balik semula ke UUM dalam masa sehari. Pukul 7.30 pagi saya mula bertolak ke Kulim, mengambil masa 3 jam dari Alor Setar. Dari Kulim ke Serdang mengambil masa 30 minit untuk sampai.
Serdang merupakan mukim terpencil dalam daerah Bandar Baharu, dan, kata orang di situ, kawasan termundur dalam negeri Kedah. Pembangunannya agak lembab, dan kalau dari segi infrastruktur pun setakat yang cukup sahaja. Populasi penduduknya pula 27 000 orang, lebih sedikit dari Bandar Baharu yang 25000 orang. Oh, Nilai pun saya tak sempat nak mengkaji serumit ini. Mungkin pembangunannya agak lembab kerana nilai tanah di situ, dimana, mengikut bahasa intelek, 'tiada nilai politik pun' kalau dibangunkan. Tambahan lagi, aktiviti utama penduduk ialah bekerja ladang sawit dan menoreh getah, jadi kebanyakan tanah adalah milik syarikat swasta, antaranya ialah Sime Darby. Disebabkan tanah-tanah ini milik syarikat dan persendirian, kerajaan tidak boleh mengambil tanah mereka sewenang-wenangnya untuk pembangunan dan infrastruktur.
Banyak lagi yang saya dapat dari lawatan saya ke Serdang. Dalam perjalanan balik ke Alor Setar, saya mengambil bas dari Serdang ke Butterworth, sebab kalau ambil bas ke Kulim, bas dari Kulim ke Alor Setar pula akan ada pada pukul 5 petang. Lama juga menunggu bas di Serdang, ambil masa satu jam juga. Rupa-rupanya, bas dari butterworth ke Alor Setar hanya memakan masa 1.5 jam sahaja. Tiket pun murah, RM9.90. Cuma, masa saya nak beli tiket, duit saya tak cukup RM1, dan pakcik bas yang baik hati telah memberi saya not RM1. terima kasih, pakcik, semoga dirahmati Allah :)
Saya tahu penulisan saya hari ini agak membosankan sebab tak ramai yang berminat nak tahu tentang bas. Tapi, apa yang saya dapati dari keseluruhan pemerhatian dalam perjalanan saya ialah, industri bas kita beroperasi dalam keadaan kerugian. Ini kerana hampir setiap rumah di kawasan kampung dan pekan telahpun mempunyai kenderaan sendiri, menjadikan bas bukan lagi kenderaan utama seperti suatu waktu dulu. Kalau anda nak tahu, bas Mara Liner diberi subsidi oleh kerajaan supaya wujudnya perkhidmatan bas, terutamanya di kawasan kampung. Kalau kerajan tak memberi subsidi kepada bas, terutamanya dari segi pengurangan harga tol dan minyak, saya percaya, perkhidmatan bas mungkin susah didapati di kampung-kampung dan mungkin hampir tiada.
Jadi, kalau sesiapa yang berduit tu, kalau naik bas pun janganlah berkira sangat..
Begitu juga dengan teksi. Saya syorkan kepada anda, naiklah teksi yang berlesen. Anda nak tahu tak, betapa susahnya seorang pemandu teksi? Mereka mempunyai pemeriksaan PUSPAKOM, membayar caj sewa teksi (harian), maintenance, insurans.. Kalau penumpang bas pun tak ramai, apatah lagi pelanggan teksi.. Industri kereta sewa/teksi semakin rugi apabila mendapat saingan sengit daripada teksi sapu dan kereta sewa haram.. Kereta sewa haram sebenarnya telah memotong rezeki banyak orang, iaitu PUSPAKOM, insurans, teksi, dan beberapa pihak lagi.. Ia juga menjadikan pendapatan negara tidak dapat dikira dengan efisien, dan defisit sebab jumlah pendapatan yang tidak direkodkan.. bukankah ia menyusahkan banyak pihak? Jadi, kawan, walaupun ia mudah untuk kepentingan diri, fikirkan juga kepentingan orang lain.. Pemandu teksi pun ada anak isteri untuk ditanggung. Jangan ingat mereka pakai baju putih bergaya, mereka ada duit..
Semasa dalam perjalanan menaiki bas dari Alor Setar ke Kulim, ada tragedi berlaku. Entah dari mana, ada batu sebesar penumbuk seorang lelaki gemuk terbang melepasi cermin hadapan bas dan jatuh tepat di seat belakang saya. Mungkin ada orang baling dari hadapan, menyebabkan pemandu bas cedera di bahagian dadanya (tepat mengena pada bawah leher pemandu bas). Berdarah-darah juga tubuh pemandu hampir separuh umur tu.. Syukurlah, tidak terkena pada saya sebab biasanya, saya lebih suka duduk di bahagian hadapan bas untuk melihat pemandangan luar. Rasa gerun pun ada masa kejadian tu, sebab Kulim masih jauh, dalam 1jam perjalanan lagi.
Alhamdulillah, saya sampai di UUM tepat pukul 6.57 petang. Ini kali pertama saya betul-betul alert dengan masa dan kos. Nak jadi pengurus pengangkutan yang hebat, mestilah kena ambil tahu sekecil-kecil perkara.. Saya cadangkan, pemimpin yang hidup senang di luar sana, yang hidupnya konon-konon berjuang untuk rakyat, jangan terleka dengan apa yang anda ada.. Dengarlah kesusahan mereka yang mengharap anda sebagai pemimpin untuk turut mengambil tahu apa yang diperlukan mereka. Apa yang anda makan dan pakai tu, gajinya dari hasil mereka yang menyokong anda, jadi, taknak ke buat sesuatu untuk rakyat?
Ah, saya benci pemimpin yang cakap tak serupa bikin!

