“Abang..tunggulah adik..” Aiman berlari-lari anak, mengejar abangnya di hadapan.
“Cepatlah sikit...lambat betul...” si abang yang di hadapan hanya menoleh sekilas ke belakang tanpa menghentikan langkah. Hari sudah gelap. Mereka terlambat untuk mengaji. Hatinya marah, kerana tadi dia dimarah Mak Siti kerana membiarkan adiknya masih bermain diluar tatkala senja sudah melabuhkan tirai. Bukan dia marahkan Mak Siti, tetapi..entahlah. Dia merasa geram. Sudah diingatkan Aiman supaya mandi cepat tadi...
Mereka tiba di rumah Pak Lang Yusof. Pak Lang mengajar mereka mengaji, dan kadang-kadang menceritakan kisah-kisah para nabi. Dulu Pak Lang merupakan guru agama, tetapi setelah pencen, dia hanya mengajar mengaji kepada anak-anak kampung.
“Kenapa lambat, Mir?” Pak Lang bertanya, mencari tahu sebab. Biasanya dia bertegas terhadap anak saudaranya yang berdua itu, tetapi melihatkan wajah Amir yang kesayuan kerana takut dimarah, Pak Lang berlembut. Dia tidak mahu semangat mengaji budak itu hilang.
“Amir tunggu Aiman. Dia terlambat tadi. Maafkan Amir dengan Aiman ye, Pak Lang.” Pak Lang yang mengajarnya supaya sentiasa memohon maaf atas kesilapan, dan bersopan dengan orangtua. Amir berasa sedikit lega. Dia duduk bersila menghadap Pak Lang, membuka Al-Qur’an. Hari ini dia akan menyambung baca surah Al-Ahzab..dan adiknya Aiman masih Juz ‘Amma. Amir sudah dua kali khatam. Dan dia sekarang diajar Pak Lang Yusof menghafal surah. Pada umur 10 tahun, kadang-kadang Amir sudah boleh membantu rakan-rakan membaca Al-Qur’an dan membetulkan bacaan mereka. Kalau dia juga tidak pasti, cepat-cepat dirujuknya kepada tuk gurunya itu.
Pembacaan Amir didengar dengan teliti oleh Pak Lang. Aiman di sebelah membaca sendiri iqra’ yang sudah, semasa menanti giliran. Rakan-rakan yang lain, sudah beransur pulang. Yang perempuan masih ada di belakang, mengaji dengan Umi Zulaikha, atau dipanggil Umi, isteri Pak Lang.
Sesudah mengaji, sementara menunggu Aiman mengaji, Amir duduk di sisi Pak Lang. Dia membelek buku Kisah Nabi Hud dengan Kaum Ad. Memang sudah menjadi kebiasaannya membaca buku-buku kepunyaan Pak Lang. Jika tidak dapat menghabiskannya hari ini, dia menyambung pembacaannya pada esoknya pula. Kadang-kadang dia membawa pulang buku cerita yang disukainya, atas izin Pak Lang.
Setelah menyalami Umi dan Pak Lang, mereka pulang. Berbekalkan lampu suluh kecil, mereka berjalan dengan berhati-hati. Tanah becak, beberapa hari ini hujan turun lebat. Aiman yang di belakang, melompat beberapa kali supaya dapat berjalan seiring dengan Amir. “Aiman minta maaf, abang..” dia berjalan rapat dengan abangnya. Dia bagaikan tahu, abangnya sengaja berjalan cepat kerana masih tidak puas hati. “Lain kali Aiman cepatlah sikit.. Aiman suka abang kena marah dengan Mak Siti?” Dia tahu, adiknya rasa bersalah. “Tak.. Aiman janji, lepasni, Aiman cepat-cepat. Esok kalau Aiman cepat, abang belanja Aiman aiskrim kedai Tok Awa tau.” Eh..adik akuu nii...pandai brjanji pulakk... “Amboi..banyak cantik.. kalau berjanji, kena tepati, tahu. Orang mungkir janji sama macam ..?” “..munafik” Aiman menjawab. Si kecil itu banyak mengikut abangnya. Dia berhajat untuk khatam cepat seperti abangnya. Kalau boleh, tahun ini juga dia mahu khatam. Pelajaran iqra’nya pun sudah hampir habis.
“Aiman dah hafal doa qunut?” Amir bertanya. Adiknya itu, sejak bersekolah Darjah Satu dikejutnya bangun Subuh. “Er..sikit je..” Aiman tersengih-sengih. “sekejap lagi Aiman hafal sebelum tidur ye. Kalau Aiman hafal doa qunut, baru abang belanja nanti.” “Okay!” Aiman mengangkat tangannya, menunjukkan isyarat ok-nya.
Mak Siti berada di dapur ketika mereka berdua sampai. Jam sudah menunjukkan pukul 8.45 malam. Hampir pukul 9. Aiman terus naik ke rumah, menghadap tv. Amir menyusun selipar, kemudian masuk ke rumah. Mak Siti yang ternampak kelibat Amir, memanggilnya. “Kamu dah makan?” Amir menggeleng. Dia masih terasa hati. “Mari makan, ajak Aiman.” Mak Siti memujuk. Amir bergerak malas, mendaki tangga ke rumah sebelah atas, masuk ke bilik meletakkan Juz’Amma dan al-Qur’an, lalu memanggil adiknya. Sudah malam begini, bukannya ada cerita budak-budak. Semuanya drama. Dan entah apa-apa rancangan.
Mereka bersila menghadap makanan. Lauk malam itu, sama seperti tengah hari tadi. Nasi, ikan goreng dan sayur bayam. Amir tidak berkira. Dia dan Aiman makan sahaja apa-apa yang dimasak Mak Siti. Baginya, apa yang dimasak Mak Siti, itulah masakan paling lazat. Adiknya makan tanpa bersuara. Aiman mahu makan cepat-cepat, kerana Mak Siti tidak akan membenarkan mereka menonton tv selepas pukul 10. Dia teringat pesan abangnya supaya menghafal doa qunut. Pukul 10, mesti tidur.
Mak Siti menemankan mereka makan. Jauh di sudut hatinya, dia sayang kepada dua beradik itu. Kepada siapa dia hendak mencurahkan kasih kalau bukan kepada mereka. Mereka berdua anak kepada adiknya yang telah meninggal dunia ketika melahirkan Aiman. Aiman dan Amir diasuhnya sejak Aiman masih dalam hari, dan ketika Amir berumur tiga tahun. Bapa kepada Amir dan Aiman meninggal dunia dalam kemalangan dua tahun selepas kematian ibu mereka, ketika pergi membelikan Amir baju sekolah tadikanya. Amir yang ketika itu sudah mengerti tentang kematian, tidak mahu ke sekolah tadika. Pak Lang Yusof mereka itulah yang mendidik Amir, membawa Amir belajar di sekolah tempatnya mengajar dahulu, di Sungai Siput, Segamat.
Mak Siti sendiri, sudah lama hidup sendirian. Suaminya meninggal ketika usia perkahwinan mereka belum mencapai usia setahun. Pada usia 30-an, Mak Siti masih cantik, dan ada juga yang merisik khabarnya, tetapi dia masih tidak dapat melupakan arwah suaminya yang penyayang itu. Cukuplah dia mempunyai Amir dan Aiman untuk diasuh dan dididik, sudah dianggapnya mereka itu seperti anak sendiri. Demi menyara kehidupannya dan dua beradik itu, Mak Siti tidak perlu bekerja keras. Harta peninggalan arwah suaminya, hasil tanaman dua bidang kebun kelapa sawit di Pulau Jering cukup buatnya. Cuma dia perlu mengupah orang untuk mengerjakannya. Amran, arwah iparnya, bapa kepada dua beradik itu juga pernah mewasiatkan hartanya buat Amir dan Aiman. Bukan sedikit harta peninggalan Amran, dia berasal dari keluarga yang kaya-raya. Tetapi sayang, cuma dialah saja anak, dan pewaris tunggal. Jika tidak, pasti anak-anaknya itu diamanahkan buat adik beradik Amran. Namun begitu, Mak Siti tidak mahu mendidik Amir dan Aiman dengan kesenangan. Biarlah mereka hidup dengan bersederhana.
Amir sudah tidak ada di pandangan. Dilihatnya pinggan makan Amir dan Aiman sudah berbasuh, tinggal pinggan mangkuk yang berisi lauk-pauk sahaja. Memang diajarnya Amir supaya membasuh pinggan makan dan cawan sendiri. Amir juga dilihatnya pandai menjaga adik, biasanya dia akan membasuhkan pinggan adiknya tanpa banyak berkira. Mak Siti mengemaskan dapur, kemudian menutup suis lampu.
......................................
“Mak, bila abang balik?” Tanya Aiman. Sudah dua bulan dia tidak berjumpa Amir. Hatinya rindu. Dia sunyi. Mak Siti hanya diam. Dia tahu anak manja itu rindukan abangnya. Balik-balik, itu juga soalan yang ditanya. “Mak, abang Amir ada telefon tak? Aiman rindulah...” akhirnya terpacul jua isi hati anak itu. Mak Siti tersenyum. Lucu juga melihat wajah monyok Aiman. Selalu ada Amir, dia tidak begitu. Terpancar sungguh kegusaran hati Aiman di wajahnya, dia tidak keruan. Sudah dua hari Aiman tidak keluar bermain seperti selalu, dan makan pun sekadarnya sahaja. Mak Siti kasihankan Aiman. “Nanti kita pergi jenguk abang Amir di asrama ya” serta merta wajah Aiman berubah. Dia ceria. “betulke mak? Yayay!” Aiman mencium pipi Mak Siti, kemudian dia berlari keluar. Sudah dua bulan Amir belajar di sekolah asrama aliran agama di Negeri Sembilan. Memang itu cita-cita Amir, jadi Mak Siti tidaklah menghalang, malah menggalakkan. Lagipun, bimbingan Pak Lang Yusof sebagai ustaz banyak memberi Amir inspirasi dan pengaruh. Amir, walaupun masih muda, tetapi matang dalam berfikir. Tidak seperti adiknya Aiman, yang manja dan memang dimanjakan Amir.
......................
“Bila mak sampai?” Tanya Amir. Suka betul hatinya menerima kunjungan itu. Dirasakannya kunjungan itu agak mengejut. Turut bersama Mak Siti dan Aiman ialah Pak Lang Yusof dan Umi Zulaikha. Aiman baru sahaja membaca buku “Wanita yang disebut dalam Al-Qur’an”. Salah satunya wanita isteri kepada Aziz, yang disebutkan sebagai Zulaikha. Hatinya berkata: pandai Pak Lang cari isteri nama Zulaikha... Namanya pun Yusof.. “Baru je, Amir.. Aiman ni, nak sangat jumpa kamu..” Aiman menyalami abangnya. Dia terasa janggal. Mungkin kerana lama tidak berjumpa. Dia melihat kulit muka abangnya berubah menjadi pucat, tidak seperti sebelum ini. Amir mengajak Aiman ke asramanya. Sebenarnya dia juga rindukan Aiman. Sengaja dia membawa Aiman ke tempat yang boleh mereka berbual. Mak Siti, Umi dan Pak Lang membiarkan mereka, kerana mereka juga hendak bergerak ke surau untuk bersolat Zohor. Perjalanan dari Segamat ke Pedas, memakan masa empat jam juga.
“Adik sihat? Adik rindu abang ya?” Amir mengusap rambut adiknya. Aiman hanya tersengih. Di dorm itu, Aiman membelek barang-barang Amir. Di katil Amir, tertampal gambar mereka berdua. Gambar semasa masih bersekolah rendah. Amir mengambil sesuatu dalam kocek bajunya, lalu diberikan kepada Aiman. Sebuah rantai kunci besi berbentuk empat segi, ada gambar bintang berwarna kuning terang yang cantik di atasnya. Latarbelakang bintang itu berwarna biru gelap. Di belakangnya, terukir nama mereka berdua: Amir & Aiman. Ada tulisan kecil di bawah ukiran itu: “abang sayang adik...” Aiman menerima, membelek-belek keychain itu. Amir berpesan, “ adik belajar rajin-rajin yea.. ikut cakap mak.. belajar baik-baik dengan Pak Lang, jangan nakal-nakal..tahun depan UPSR kan?” Aiman mengangguk-angguk. Dilihatnya Aiman masih membelek-belek keychain pemberiannya. Amir menatap sepuas-puasnya wajah itu..dirasakannya airmatanya mahu tumpah, tetapi ditahannya. “Ya Allah..rindu apakah ini..” hatinya berbisik. “adik simpan keychain ni, ni je yang abang mampu beri. Adik jangan hilangkan..” Amir memberi pesan lagi. Aiman menyimpan baik-baik pemberian abangnya dalam kocek seluar. Tiba-tiba Amir memeluknya, dan Aiman teresak-esak pula dalam pelukan abangnya..dalam esakannya, dia menyebut..” Abang, adik rindu..” Amir meleraikan peluknya, berkata, “adik jangan menangis selalu yea...” dia kembali memeluk Aiman. “Adik kena jaga diri...Adik dah besar.. Jangan lupa doakan ayah dan ibu.. Ingat, walaupun Aiman tak pernah tengok ibu, tapi ibu yang lahirkan Aiman tau. Aiman jangan lupa baca yasin untuk mereka..”
................................
Hari ini 27 Oktober. Aiman melihat lagi rantai kunci itu. Kalau Amir masih hidup, genaplah umurnya 23 hari ini. Sudah hampir sepuluh tahun Amir meninggalkannya. Walaupun dia memiliki ramai kawan, masih ada Mak Siti, Pak Lang Yusof dan Umi Zulaikha, semuanya tidak dapat menggantikan Amir. Pertemuan kali itu, pertemuan terakhir. Patutlah, banyak saja ucapannya. Patutlah, banyak saja pesanannya. Patutlah, diukirnya rasa sayangnya di atas besi, supaya takkan luput dan takkan hilang ditelan masa. Kerana dia mahu aku tahu, dia tetap sayangkan aku walau dia tidak ada di sisiku, walau kami jauh dibataskan antara dua dunia.
Amir meninggal dunia kerana sesak nafas. Dia pengsan setelah sesak nafas waktu tazkirah dibacakan antara solat maghrib dan isya’ di surau asrama, dan warden asrama cepat-cepat membawanya ke hospital. Dia menghembuskan nafas terakhir tatkala aku tidak ada disisinya, ketika azan isya’ berkumandang. Kata doktor yang memeriksa, dia tidak ada sakit yang kronik, dan punca kematian hanyalah sesak nafas. Umurnya pada waktu itu 13 tahun, seminggu selepas kunjungan kami.. Waktu dia dibawa pulang ke rumah malam itu juga, aku sudah tidur dan Mak siti tidak mengejutkan aku. Pagi itu, melihatkan tetamu yang ramai, aku tahu itu Amir. Kerana dalam mimpiku malam itu, Abang Amir tersenyum dipimpin seorang wanita. Wanita itu, sama seperti dalam gambar yang disimpan Mak Siti. Walau tidak tahu memandikan jenazah, aku meminta Pak Lang Yusof mengajarkan aku, kerana hanya abang Amirlah saudara sedarah daging aku dunia akhirat. Waktu itu, Pak Lang pesan, jangan menangis. Aku memang tidak menangis, kerana itulah pesan abang Amir.
Mengingatkan kematian Abang Amir membuat aku insaf. Kematian tidak mengenal umur. Tidak mengenal rupa. Tidak mengenal waktu. Mati tidak memerlukan sakit yang kronik, menunggu tua, atau apa-apa penyebab pun. Andai dalam hembusan nafas yang ini Allah tarik nyawaku, aku redha. Andai ini nafasku yang terakhir, doakan aku.
Aku hanya sempat mengucapkan rinduku padanya. Dan Abang Amir, walaupun tidak banyak cakap, tetapi telah dituliskannya sebuah buku, khas buatku. Aku menemui buku itu tatkala pergi ke sekolah Abang Amir untuk mengambil kembali barang-barangnya. Semuanya masih ada di rumah Mak Siti, aku tidak membenarkan Mak Siti membuangnya, walaupun secebis kertas. Biarlah dimakan lipas sekalipun, tak mengapa. Cuma semua itu saja pengubat rindu aku terhadap Abang Amir.
Tatkala aku menemukan buku itu, tertulis di atasnya: “Buat Aiman”
Mukasurat pertama: “Khas kudedikasikan buat adik kesayangan: Aiman”
Di bawah perkataan besar-besar itu, tertulis kecil: adik baca kalau rindu abang yaa..
Aku membuka mukasurat kedua. Tarikhnya, 20 Februari 1999. Seminggu selepas kemasukan abang ke asrama. “Adik, harini genap seminggu abang di asrama. Abang sudah kenal ramai kawan. Tapi, abang rindu kawan abang yang seorang ni..adiklah kawan abang sejak adik lahir. Buku ni, sengaja abang tulis.. Buat melepaskan rindu kat adik...”
Mukasurat ketiga, nota abang berbunyi, “hari ini abang belajar matematik. Entah kenapa dik, abang rasa susah betul tajuk Algebra tu.. kalau kelas Bahasa Arab tu, senang je abang ikut apa ustaz ajar.. teringat dulu, masa abang darjah lima. Cikgu Anis ajar kelas abang. Dia pun ajar kelas adik, darjah dua. Katanya, adik pandai matematik. Kata-kata cikgu, buat abang bangga jadi abang adik..”
Mukasurat seterusnya terdapat contengan-contengan. Abang Amir menampal gambar kami berdua, semasa hari raya. Kami berpakaian sedondon berwarna biru. Walaupun gambarnya sudah lusuh, warnanya masih ada. Aku dipimpin Abang Amir, dengan wajah comot dengan coklat di tangan, masing-masing berkopiah putih yang dikait benang.
Nota seterusnya, dalam tulisan-tulisan Abang Amir, dia banyak menceritakan tentang aku. Dan beberapa helaian dalam tulisannya terdapat kesan titisan air. Bekas airmata. Aku tersedar, dalam hidupnya, cuma ada aku. Dalam satu catatannya, dia menulis, “ Nanti abang besar, abang kerja baik-baik,abang beli buku banyak buat adik ya..” aku menangis membaca catatannya yang itu. Dia bercerita, aku juga sewaktu kecil sukakan buku sepertinya. Suatu hari aku pergi ke rumah Jamil,budak sebaya abang. Tetapi aku dihalau Jamil, hanya kerana aku anak yatim. Abang Amir sedih kerana aku pulang sambil menangis, mengadu tidak dapat melihat buku yang ada di rumah Jamil. Cerita Mak Siti, Abang Amir memang begitu, tidak suka meminta.
Catatan Abang Amir, penuh dalam satu buku 60 helai. Dia menulisnya setiap hari...sehinggalah hari terakhirnya.
Dulu Mak Siti selalu menegur Abang Amir kerana memanjakan aku... Dalam catatan terakhirnya buatku, aku menemukan sebabnya...
“suatu hari nanti, pasti adik akan bertanya kenapa abang sangat sayangkan adik. Adik, ketahuilah, abang tidak pernah mahu adik terasa sunyinya dunia tanpa belai kasih ibu. Memang, walaupun Mak Siti menjaga kita sebaik-baiknya, tidak sama dik..kerana itulah yang abang rasakan.. abang sentiasa harap dapat jadi abang yang terbaik buat adik..”
Oh..kenapa airmata ini tidak pernah mahu berhenti mengalir tatkala semua hal tentang Abang Amir terlintas diingatan?
nota penulis( sayelah! ): semua watak, jalan cerita, dan ape2 je dalam cerita pendek ini hanyalah ilham, khayalan dan ciptaan penulis semata-mata, tidak ada kaitan dengan manusia yang sedia ada wujud. tapi kalau ada persamaan dan sebagainya seratus-peratus, itu cumalah secara tidak sengaja.. hayati cerita ini baik-baik.. :)