Wednesday, March 03, 2010

ini janji saya

di tulis oleh norashikin rahmat pada Wednesday, March 03, 2010
Harini saya dah dapat tahu markah midsem [take-home] Kenegaraan Malaysia. Mid sem ini memberi markah (carry mark) 10%, dan saya mendapat 9%. Alhamdulillah..

Tajuk test ni ialah "Apa yang boleh kam sumbangkan kepada negara setelah apa yang negara berikan kepada kamu".


Saya ada janji nak postkan kat sini test saya tu. Jadi, harini saya tunaikan.

Saya seorang warganegara Malaysia yang sudahpun menamatkan zaman persekolahan  dan sekarang melanjutkan pengajian ke Universiti Utara Malaysia dalam bidang Pengurusan Perniagaan Logistik dan Pengangkutan. Saya percaya bahawa setiap yang lahir di bumi Malaysia ini amat bertuah kerana lahir dalam persekitaran yang harmoni dan aman damai. Oleh itu, rasa kesyukuran ini ingin saya buktikan dengan berbakti kepada negara dengan apa cara sekalipun. Saya sedar bahawa saya merupakan generasi masa depan negara saya yang tercinta, Malaysia. Sebagai tenaga muda aspirasi negara, banyak sumbangan yang boleh saya berikan kepada negara ini.

Sumbangan terbesar yang boleh saya berikan kepada negara ialah dengan cara belajar bersungguh-sungguh bagi membentuk diri yang bakal menjadi perintis kepada kepimpinan negara. Negara kini ketandusan generasi pemimpin yang berkualiti dan berkaliber bagi memimpin rakyat negara ini, memastikan perpaduan yang utuh dan melaksanakan kelangsungan ekonomi yang pesat di negara kita. Kesedaran ini membuatkan saya cuba melatih diri menjadi pemimpin melalui aktiviti-aktiviti tidak formal di luar kuliah, dari menjadi ketua kumpulan tugasan sehingga memimpin organisasi biro aktiviti kolej. Memimpin orang lain membantu saya memimpin diri sendiri, kerana saya percaya bahawa orang yang tidak mampu memimpin diri tidak layak memimpin orang lain. Dengan itu, belajar bersungguh-sungguh membuatkan saya mengisi masa dengan baik, di samping mengurangkan kadar gejala sosial dan jenayah yang kian meningkat saban hari akibat tidak mempunyai pekerjaan. Ini juga dapat mengurangkan kadar pengangguran di Malaysia.

Sebagai seorang pelajar, saya tidak mempunyai wang untuk dsumbangkan bagi membantu kelangsungan pembangunan ekonomi dan komuniti. Saya hanya mempunyai buah fikiran, akal dan kudrat sahaja, namun ia cukup bernilai. Dengan tenaga muda yang saya ada, saya akan mengerahkan segala kudrat dan buah fikiran bagi menyumbang ke arah pembangunan komuniti melalui program-program kebajikan. Banyak program kebajikan disusun bagi menjaga kemaslahatan umat di negara ini oleh badan-badan kerajaan dan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan. Program ini bukan sahaja dilaksanakan untuk masyarakat kurang berkemampuan seperti anak-anak yatim, orang-orang tua, orang kurang upaya (OKU), orang miskin dan fakir, tetapi juga untuk masyarakat setempat seperti program gotong-royong di kampung-kampung, bantuan kepada mangsa-mangsa bencana alam, tuisyen percuma kepada sekolah-sekolah dan pelbagai lagi program kebajikan untuk masyarakat. Ternyata, tenaga pemuda seperti saya amat diperlukan bagi membantu sektor kebajikan masyarakat. Dengan memberi sumbangan tenaga dalam program kebajikan, saya bukan sahaja dapat memperoleh banyak pengalaman, tetapi juga dapat membantu masyarakat dalam memajukan komuniti dan membina kesedaran tentang kepentingan memberi sumbangan dalam pembangunan negara.

Menjadi seorang warganegara yang baik juga merupakan satu sumbangan kepada negara. Kadar jenayah yang saban hari semakin meningkat mencetuskan rasa tidak senang dalam kalangan masyarakat. Saya cuba menjadi seorang warganegara yang baik dengan mematuhi peraturan yang termaktub dalam undang-undang, mematuhi prinsip Rukun Negara, mematuhi Perlembagaan Malaysia dan tidak mencetuskan huru-hara. Dengan menjadi seorang warganegara yang baik, kadar jenayah dapat dikurangkan di samping menyumbang kearah pembangunan masyarakat dan negara.

Saya mempunyai cita-cita untuk membuka perusahaan sendiri setelah berkerjaya nanti. Dengan cita-cita ini, selain dapat membantu kelangsungan ekonomi, saya juga dapat memberi peluang pekerjaan kepada masyarakat setempat. Selain itu, usaha membuka perusahaan ini dapat meningkatkan keluaran produk tempatan, demi menyahut seruan ‘Belilah barangan buatan Malaysia’ yang diwar-warkan sejak pemerintahan mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad. Dengan hasrat ini, saya ingin menyahut cabaran Wawasan 2020 yang dalam cabaran keenamnya menyebut, “Mewujudkan masyarakat saintifik dan progresif, mempunyai daya cipta yang tinggi dan berpandangan jauh.”


Sumbangan-sumbangan yang saya berikan masih tidak cukup untuk membalas budi tanah air kepada saya. Seperti yang pernah diucapkan oleh pemimpin tersohor, John F. Kennedy, “Jangan bertanya apa yang telah negara lakukan untuk kamu, tetapi apa yang telah kamu lakukan untuk negara”.
Nampak macam senang, tapi, percayalah, ini dari hati saya. Saya bukan nak berkongsi markah  9/10, tapi saya nak berkongsi perspektif saya.

Saya ada bertanya pensyarah sebelum ini, bagaimana beliau menilainya,dan katanya; "logik dan boleh dicapai, berdasarkan pemikiran kritikal hasil dari pembelajaran subjek Kenegaraan".

semoga bermanfaat.

Photobucket

0 komen best:

 

Missleonora's~ Template by Ipietoon Blogger Template | Gift Idea