Optimis, bukan optometri. atau ortopedik.
Bismillahirrahmanirrahim, tujuan saya menulis entri ini tidak lain adalah untuk memberi kata-kata semangat buat diri.
Ustaz Hairizal, guru agama semasa saya di tingkatan lima dulu selalu berpesan, orang beriman tahu apa yang mahu dilakukannya dalam hidup. Semakin lama saya hidup dan mencari keimanan, saya semakin faham kata-kata ini. Ia amat berkait dengan hadis, "Ajaib urusan orang mukmin, segala perkara baik baginya. Ini tidak berlaku melainkan hanya kepada orang mukmin. Jika mendapat kebaikan dia bersyukur, maka itulah yang terbaik baginya. Jika ditimpa kesusahan dia bersabar, maka itulah yang terbaik baginya."
Di saat-saat kegentingan ini, tarikh program sudah dekat. Masalah-masalah kecil mula timbul. Saya pula sangat emosi menghadapi masalah-masalah kecil. Mata saya mula melihat AJK yang tidak memberi kerjasama. Ada pula yang suka memberi alasan. Saya yang jarang marah jadi tak tentu hala, nak marah tak tahu,, tak marah saya teruk.
Bekerja dengan orang yang tidak mempunyai kesediaan sangat membuat saya jadi cedera parah. Halaqah yang ditangguhkan sekali dua menjadikan jiwa terasa tandus, saya hilang arah. Kerja-kerja kuliah mula tertangguh, dan saya ada mid test hari khamis ini.
Seorang yang beriman akan melihat semua ini dengan mata kasih. Kasihkan diri dan ummat. dia tidak akan menyalahkan orang lain, tetapi menyalahkan diri sendiri kerana tidak dapat mentadbir orang lain dengan baik. Dia akan cuba mencuri peluang untuk belajar walaupun terasa lelah.
Biasanya si pesimis menjadi penat jiwanya kerana terlalu memfokuskan diri pada masalah. Kerana itu, dia tak mengenal erti peluang. Allah. Akulah orang itu, kata ikin.
Bersangka buruk bukan sikap orang mukmin. Orang mukmin sentiasa sabar dengan kerenah dunia. Mengislahkan ummat bukan kerja orang yang manja. Bukan kerja orang yang mengelat. Bukan kerja orang yang mencari alasan. Bukan kerja orang yang sukakan kerehatan. Bukan kerja orang yang memberi alasan bahawa dia ingin berehat dari dunia.
Orang yang sukakan kerehatan adalah orang yang mati.
Allah, kuatkanlah jiwa kami.