Sampai ke cafe LEGO (sekarang namanya cafe Hijau Kuning), saya berhenti. Menyenduk nasi, mengambil ikan caru seekor dan dua senduk sayur taugeh. RM3.80. Selepas meletakkan pinggan nasi di meja yang agak jauh, saya pergi membeli air.
Well. Apa yang saya jangka berlaku jua. Seekor kucing comel telah mencuri ikan nan seekor daripada pinggan. Saya makan bersama-sama dengan seekor kucing hari ini. Bezanya, dia makan dibawah meja dan saya makan di atas meja.
Setelah sibuk menyiat kulit caru yang agak keras, kucing itu menyambung makan. Belum usai meratah rezekinya, seekor ikan yang agak besar, datang kucing lain mengendeng, dan dia marah-marah. Kedekut pula dengan makanan yang dicuri :3
Lepas saya habis makan dan selesai basuh tangan, dia pun dah cuci mulut dan disebabkan ikan seekor itu terlalu besar, dia membiarkan kucing yang mengendeng tadi menghabiskan makanannya.
Tamat.
Moral of the story;
Kadang-kadang saya rasa macam kita, manusia, sama je macam kucing itu. Allah bagi kita rezeki, dan selalunya kita kedekut untuk berkongsi atau memberinya kepada orang lain, kerana tidak yakin tentang pengagihan rezeki yang Allah kurniakan. Abah saya pernah kata; "Abah kerja, itu tanggungjawab. Dapat gaji, itu hasil pekerjaan. Rezeki, Allah yang bagi, sedang abah tak tahu pun duit dalam poket abah ni, siapa yang punya. Mungkin kawan abah ada anak sakit, pinjam abah duit. Mungkin ada orang curi duit abah, jadi duit tu dia punya. Rezeki, Allah yang bagi. Kalau tidak, masakan anak lembu yang baru lahir tahu dari mana dia boleh menyusu. Siapa yang ajar dia kalau bukan Allah?"
Jadilah pemurah. Jangan bimbang dengan rezeki. Itu kerja Allah. Kerja kita, berusaha :)

0 komen best:
Post a Comment