Dunia yang kita hidupi sekarang, adalah dunia keterasingan. Berada didalamnya membuat kita merasa aneh untuk hidup sebagai muslim. Pemimpin dunia yang ada, adalah ibarat 'anjing-anjing penjaga' yang dibela oleh pihak berkepentingan, diberi makan minum dan kehidupan selayaknya, untuk menjaga kepentingan tertentu dan bertindak mengikut arahan. Dan bila 'anjing-anjing' ini sudah tua, atau mula 'menggigit' tuannya, ia akan cepat disembelih, lalu 'anjing penjaga' ini digantikan dengan anjing baru, yang muda dan garang, yang berkhidmat bakti melindungi tuannya, dan kitaran hidupnya berterusan seperti tadi: bila ia sudah tua, ia bakal diganti lagi.
Tak perlu merasa gembira mendengar pemimpin yang zalim mati. Mungkin penggantinya lebih zalim, kita tidak tahu. Untuk mengelakkan pemimpin yang zalim, mulakan membina masyarakat yang soleh dan beriman, kerana pemimpin adalah orang yang didukung masyarakat dan datang daripada masyarakatnya, golongannya.
Maafkan saya kalau perkongsian dan catatan kali ini kedengaran kasar pada bahasanya. Memang, kadang beduk perlu diketuk, untuk membangunkan jiwa yang ketiduran.
Teruskan boikot. Membacalah, menambah ilmu dan kefahaman. Doa jangan putus, untuk kekasih-kekasih kita, di tanah yang bermandi darah.
Al-Faatihah.
0 komen best:
Post a Comment