Saturday, September 12, 2009

Laporan majlis iftar jamaie di Ko-Insan, Alor Star, Kedah

di tulis oleh norashikin rahmat pada Saturday, September 12, 2009
  • Aktiviti: majlis berbuka puasa, solat maghrib, isya’ dan tarawikh berjemaah serta qiamullail
  • Anjuran: HALUANSISWA Zon Utara
  • Tempat: Ko-Insan, Alor Star, Kedah (Sekolah Rendah Ummi (SeRU))
  • Tarikh: 11-12 September 2009
  • Kehadiran: 47 orang

Pada 11 september 2009, HALUANSISWA Zon Utara telah menganjurkan majlis iftar jama’ie bertempat di Ko-Insan, Alor Star, Kedah. Tentatif program ini ialah majlis berbuka puasa, diikuti dengan solat Maghrib, Isya, dan tarawikh secara berjemaah, serta qiamullail. Majlis ini telah dihadiri oleh 47 orang muslimin dan muslimat daripada pelbagai institusi pengajian di bahagian utara semenanjung Malaysia, iaitu KTDN, UUM, USM, KUIN dan Qasah MATRI.

Majlis bermula dengan ketibaan hadirin bermula sebelum 7.00 petang, 11 September. Namun begitu, peserta dari USM, Pulau Pinang tiba selepas Maghrib. Setelah berbuka dengan jamuan ringan, hadirin bersolat maghrib kemudian barulah menjamu selera dengan hidangan nasi dan lauk-pauk. Setelah itu, hadirin menunaikan solat isya, bertarawikh dan solat sunat witir berjemaah.

Majlis diteruskan dengan sesi ta’aruf, iaitu sesi perkenalan sesama peserta. Hadirin perlu memperkenalkan nama, maksud nama, asal dan institusi pendidikan. Sesi ini memberi peluang kepada hadirin untuk memperkenalkan diri masing-masing di samping mengenali peserta lain. Ta’aruf amat penting dalam membina ukhuwah sesama insan. Sesi ini hanya mengambil masa 30 minit, kemudian pada 10.30 malam diadakan pula sesi bersama Cikgu Azmi. Cikgu Azmi memberi tazkirah tentang kepentingan takwa, pentafsiran ketuhanan tidak dengan kemanusiaan, tentang galakan mencontohi ibadah para sahabat serta kepentingan ibadah pada sepuluh malam terakhir di bulan Ramadhan demi mencari malam lailatul qadar, iaitu malam yang lebih baik berbanding ibadah dalam seribu bulan. Cikgu Azmi merupakan seorang pendidik di MATRI, Beseri, Perlis.
Setelah itu, majlis diteruskan oleh Encik Fadhli bin Mohd Diah yang memberi penerangan kepada hadirin serba sedikit tentang HALUAN, HALUANSISWA, dan HALUANSISWA Zon Utara dari segi tujuan, objektif dan halatujunya. Sesi ini berakhir pada jam 11.30 malam.

Setelah berkemas dan bersiap, iaitu menyusun atur semula peralatan di madrasah Ummi, hadirin mula meninggalkan SeRU menuju ke Masjid Zahir yang terletak di pusat bandar Alor Star untuk beriktikaf dan qiamullail. Namun terdapat sedikit masalah bagi pihak muslimat dimana pihak masjid tidak dapat membenarkan peserta muslimat masuk ke dalam masjid bahagian muslimat, atas sebab tidak memohon kebenaran awal. Setelah perbincangan dan musyawarah, peserta muslimat berkeputusan untuk bermalam di SeRU.

Program qiamullail bermula pada pukul 3.30 pagi. Peserta muslimin ikut serta program qiamullail yang dianjurkan oleh pihak Masjid Zahir, manakala peserta muslimah tiba di masjid pada pukul 4.15 pagi dan terus ikut serta solat sunat tasbih yang sedang ditunaikan secara berjemaah. Program Qiamullail ini dimulai dengan solat sunat tahajjud, solat sunat taubat diikuti dengan solat sunat tasbih secara berjemaah yang diimamkan oleh imam Masjid Zahir. Kemudian, para peserta ikut bersahur bersama jemaah masjid yang lain. Hidangan sahur ini disediakan oleh pihak Masjid Zahir.

Peserta program iftar jama’ie bersurai setelah bersolat jemaah bersama-sama jemaah masjid. Semoga program perkampungan ibadah seperti ini dapat diteruskan lagi pada masa hadapan, dan semoga ukhuwwah yang terbina tidak terhenti begitu sahaja, malah dipereratkan lagi.

Disediakan oleh;
(NORASHIKIN RAHMAT)
Setiausaha,
HALUANSISWA Kedah.

0 komen best:

 

Missleonora's~ Template by Ipietoon Blogger Template | Gift Idea