Saturday, June 21, 2014
Kotak kenangan dan kawan-kawan.
Kadang-kadang dalam hidup ni, kita selalu berharap orang yang kita kenal kekal sepertimana yang kita kenal pada masa kita meninggalkan hidupnya. Atau pada masa kita keluar dari hidupnya. Orang yang tidak lagi kita kenal atau jumpa. Atau jumpa sekali sekala.
Menjadi seperti itu, tidak hairanlah kalau ibu dan abah masih menganggap kita anak-anak kecil dalam hatinya. Dia masih menganggap kita perlu diawasi dan dinasihati sungguhpun kita sudah dewasa dan punya keluarga sendiri.
Kebanyakan kawan saya masih suka tinggal di dalam kotak itu. Kotak kenangan. Mengongoi sepanjang hidup dengan cerita yang sama. Tentang keletah semasa muda. Malah saya sendiri, adakalanya bahagia menyeret kemudaan itu dalam cerita-cerita saya.
Setelah lima, sepuluh tahun perkenalan, kawan kita adalah masih, kita berharap dan anggap dia adalah orang semalam yang kita jumpa. Kita mengungkap semula tingkah lakunya. Dia, dalam hati kita, adalah masih remaja, kanak-kanak yang riang dan muda. Banyak keletah dan cerdik, kerenahnya yang menyenangkan.
Saya, dalam hati anda, adalah mungkin, masih, budak kecil yang saling mengejek dan berlumba menjadi cerdik. Saya, dalam hati kawan saya, adalah seorang budak pelik yang banyak bertanya di kuliah-kuliah. Saya, dalam ingatan cikgu, adalah seorang budak bermasalah yang cikgu panggil ke bilik pejabat. Saya, dalam ingatan sesetengah orang, adalah seorang yang manis dan sopan santun.
Dan dia masih mengingati saya sebagai seorang yang dijumpainya di perpustakaan sekolah, sembilan tahun yang lalu.
Bila tua nanti, kotak kenangan inilah yang dibuka. Mengingatkan diri kita kembali, tentang apa yang kita lupa.
Tuesday, June 03, 2014
Cikgu. Susunan. Perceraian.
Entri kali ini tidak ada perkaitan pun antara cikgu dan perceraian.
Cikgu.
Sejak hari guru baru-baru ini, saya merajinkan diri memenuhi hasrat menghubungi(baca: telefon) beberapa orang guru yang saya rapat. Setakat ini baru sempat dua orang. Cikgu dari sekolah rendah dan sekolah menengah.
Saya kira kebanyakan cikgu berbangga walau siapapun anak didiknya sekarang, yang dulu dididik dan diasuhnya. Cikgu-cikgu bahagia, apabila masih diingati dan diraikan. Malah tidak sedikitpun marah, apabila tidak diingati. Dihubungi pelajar lama itu adalah mungkin, satu bonus.
Saya amat kasihkan cikgu-cikgu yang telah menyantuni dan mendidik saya, menyentuh jiwa saya, untuk menjadi seorang yang berguna, mawar agama dan bangsa.
Susunan dan perceraian.
Baru-baru ini abang saya ada menyusun (baca: mencarikan jodoh) untuk adik manisnya ini. Sejujurnya, rasa takut itu ada, bila kita tidak kenal langsung siapa dia. Mungkin saya lebih (prefer) orang yang dikenali atau sekurang-kurangnya pernah berjumpa.
Hati saya semakin ragu dengan penyusunan, apabila telah ada orang yang perkahwinannya disusun atas dasar keyakinan kepada kedua-dua belah pihak dan kesepakatan antara satu sama lain, bercerai.
Well. Saya belum cakap apa apa pun..
Perceraian.
Saya tidak pernah terfikirkan pun perkataan ini. Setiap kali menghadapi kisah perceraian orang, saya jadi sedih. Saya memandang perkahwinan sebagai suatu yang one-off. Simpul mati, tak ada jalan keluar.
Despite of this one unsuccessful arranged marriage, theres piles and bunch of them succeeded, in order to build in the heavens in the world, baitul muslim.
Adalah tidak adil untuk saya membina ketakutan dan rasa was was dengan syariat dengan perkara dan alasan yang tidak kukuh.
Monday, May 26, 2014
Chosen
Tiba-tiba je saya rasa lega dan happy kerana sesuatu perkara. Tak tahu lah patut atau tak rasa macamni sebab beberapa bulan kebelakangan ni saya rasa sesak, suasana kerja berubah dan rasa terganggu, rasa tak selesa.
Dan saya harap perkara tu berakhir.
Setiap pagi, ada waktunya saya rasa malas untuk bangkit dan bersiap pergi kerja.... sayangnya saya tetap pergi kerja dan menghabiskan masa bersamanya dan tetap balik lebih lewat dari sepatutnya.
Susah macammanapun, saya tetap rasa suka dengan kerja ini.
Untuk kesekian kalinya, saya berfikir lagi untuk melepaskan kerja ini.... Saya tak tahulah sama ada, adakah saya akan tetap gembira bekerja di tempat lain sepertimana sekarang.
Saya selalu merasakan kerja ini yang memilih saya, sepertimana course Logistics memilih saya 5 tahun dahulu. Hidup saya berlangsung seperti itu; sentiasa dipilih tanpa saya membuat pilihan. Mungkin sebab saya tidak memilih.
Bahagianya bekerja tidak mudah didapatkan. Saya akan berusaha menghidupkan hati dalam setiap keadaan.
Berdoalah, doakan saya mendapat kerja yang lebih baik daripada ini, kerja yang bermanfaat untuk ummah, kerja yang tidak merosakkan alam dan norma masyarakat, kerja yang membahagiakan kita di akhirat.
Doakan, agar Allah memilih saya selalu.
Thursday, May 15, 2014
Jangan jadi baik sebab nak kahwin. Jangan kahwin sebab orang lain kahwin.
Sebab.
"Kita hidup untuk mencari erti", kata syabab yang amat saya kagumi, Pak Cik Razali Maarof, dalam satu slot pengisiannya semasa Konvensyen Pemuda-hampir dua tahun sudah.
Nota kali ini juga khas untuk diri saya yang sedang menikmati waktu-waktu emas. Pemudi yang paling berpotensi pada umurnya. Jika mungkin saya mengilustrasikan diri saya pada masa ini, terdapat banyak tarikan-tarikan dan ikatan-ikatan yang tidak dapat terungkai: potensi saya diikat dengan banyak benda: kerisauan, kemahuan, keluarga, cita-cita, kerja.
Terasa sayu hidup ini bila orang menjadikan kahwin sebagai satu persoalan besar. Menjadikan kerisauan pula benda yang belum ada.
Saya tidak ingin tua, menjadi tua dengan hidup dalam sistem ini. Sistem yang rosak. Sistem yang menjadikan benda mudah jadi susah. Dan memudah-mudahkan kemudahan dalam Islam. Sistem Jahiliyyah.
Kepekatan, kelikatan sistem ini mampu melarutkan kita yang ingin membentuk dunia yang sejahtera. Kita ingin mendidik diri kita untuk melihat jahiliyyah sebagai satu benda yang menjijikkan, yang ingin dicabut daripada diri kita. Menjadikan iman sebagai malaqah. Mendaging darah.
Untuk meninggalkan kejahatan dalam diri kita ini, kita tidak mampu melakukannya keseorangan.
Keimanan, adalah perkataan yang paling indah dan manis untuk disebut dan didengar selalu. Saya tidak dapat membayangkan kehidupan yang terkeluar atau ditinggalkan orang-orang beriman. Sesungguhnya sangat-sangat tidak mampu.
Bersyukurlah ikin, Allah masih memilihmu untuk memikirkan hal ini lagi sedangkan..dah bergunung dosa.
Jadilah orang baik, sebab Allah redha dengan kebaikan.
Keimanan dan benda baik mungkin bosan didengar.. tetapi ia perlu diulang sekerap-kerapnya agar melekat pada hati.. agar jiwa kita tak terpikat pada iklan jahiliyyah yang diulang sekerap mungkin di sekeliling kita.
Sekian entri yang tak ada kena mengena dengan tajuk.
