Sudah lama tak berkongsi dapatan ilmu daripada taman-taman syurga yang berpeluang untuk dihadiri. InsyaAllah, kali ini, kita mengungkai satu tajuk yang indah, seindah perkataannya sendiri, cinta. Tentang cinta. Pada sabtu malam yang lalu, saya berpeluang mendengar sendiri penyampaian daripada Ustaz Hasrizal, seorang penulis yang rendah hati, yang telah saya ikuti penulisannya sejak 2007, yang suka berkongsi tentang kehidupan, dan dalam kebanyakan bahagian penulisannya, saya paling suka tentang tarbiyatul aulad, bagaimana beliau berkomunikasi dengan anak-anaknya.
Pertamanya, panel program, Sir Fadhli Mohd Diah bertanya; "Mengapa persoalan Cinta ini begitu penting untuk dikupas, terutamanya bilamana audiensnya adalah mahasiswa-mahasiswi, para pemuda? kenapa bukan isu Gaza, Falastine, Syria yang sedang hangat sekarang ini?"
Untuk menjawab pertanyaan ini, ustaz berkongsi;
"Dalam kitab yang ditulis oleh Ibnu Khalkan, beliau menulis tentang kecemburuan Nasrani terhadap tamadun Andalus yang unggul, sehingga mengutuskan spy (perisik) untuk meninjau keadaan di Andalus. Suatu hari, si perisik melihat seorang pemuda Andalus menangis di atas sebatang pokok, lalu bertanya; "kenapa kau menangis wahai pemuda?" dan pemuda tersebut menjawab, "Aku ini pemanah. Setiap kali aku memanah, dua ekor burung pasti terkena panahanku. Pada kali ini, aku memanah tetapi panahanku hanya mengena pada seekor burung" (Pemuda ini, sebenarnya sedang menangisi kepudaran kualitinya dalam memanah). Melalui risikan ini orang Nasrani berkeputusan, bahawa waktu itu bukanlah waktu yang sesuai untuk menyerang dan menakluk Andalus. Pada suatu tempoh yang lain, si perisik melihat seorang pemuda menangis, lalu dia bertanya sebab tangisan pemuda itu, dan pemuda itu berkata, "aku merasa sedih kerana cinta terhadap kekasih yang tidak kesampaian". Pada waktu ini, Nasrani berkeputusan, "inilah masanya Andalus diserang"."
Andalus diserang, ketika pemudanya sudah kepudaran potensi, dan kualitinya sudah berkurang, disebabkan kecintaannya. Andalus tidak diserang, ketika kualiti pemudanya utuh dan kukuh, unggul sehingga menggerunkan musuh.
Ketika Sepanyol menjuarai perlawanan bola
(well saya betul-betul tak tahu juara tahun bila match apa, minta maaf) , coach pasukan ini ditanya apakah rahsia kejayaan Spain dan beliau menjawab, "Saya memastikan setiap ahli pasukan ini mempunyai rasa cinta, mempunyai orang yang disayangi, untuk dijadikan motivasi".
Apa yang dapat diekstrak daripada cerita-cerita ini ialah, cinta tidak dapat dihapuskan, ianya hanya boleh ditukar menjadi sesuatu yang luarbiasa. Cinta, adalah perasaan yang dijadikan Allah dengan mempunyai tujuan (
purpose) dalam diri kita sebagai salahsatu tanda kebesaranNya, tanda kasih sayangNya, agar ia menjadi alat
(tools) untuk kita hidup mencintaiNya, beriman kepadaNya.
Cinta, adalah sesuatu yang penting kerana potensi yang ada pada cinta dapat melahirkan sesuatu yang luarbiasa. Dan, Cinta juga penting untuk diselamatkan daripada disalahgunakan oleh penjenayah-penjenayah cinta, daripada dirosakkan oleh polis-polis cinta.
Dan Allah menjadikan cinta dengan aturan-aturan dan peraturan-peraturan, yang membantu kita menikmati hidup dengannya.
Sekadar itu saja untuk kali ni. akan bersambung, insyaAllah.