Saturday, November 24, 2012

Perempuan dalam hujan

di tulis oleh norashikin rahmat pada Saturday, November 24, 2012
Perempuan itu, berjalan dalam hujan, setapak demi setapak. Derap bunyi rumput dipijak, rintik hujan yang jatuh ke atas payung terasa indah. Dia terasa segar bermesra dengan hujan yang dicintainya. Pun begitu, cintanya tidak sampai membuat dia tidak mahu berlindung dari kebasahan.

Dalam hujan itu, dia teringatkan rehlah dalam hujan yang dinikmatinya bersama teman-teman hampir setahun lalu, di lembah pacat, Perlis. Dalam hujan yang tak ketahuan itu, dirinya bersama kumpulan berjalan setapak demi setapak. Pacat yang sedang menikmati hidangan mungkin terasa nikmat yang bersangatan, kerana hidangan masuk sendiri ke dalam periuknya. Pada saat itu, disebabkan fokus mencari jalan kembali ke tapak khemah dalam musim hujan pada hari yang hampir gelap lebih besar berbanding rasa sakit diuliti pacat, maka gigitan pacat terasa seperti gigitan nyamuk.

Dia terfikir, itulah kehidupan. Jika fokus yang lebih awla dan besar difikirkan, maka masalah yang ada nampak kecil-kecil dan ringan sahaja. Namun jika masalah kecil dijadikan fokus, maka ia menjadi penghalang kepada fokus yang sepatutnya.

Perempuan dalam hujan itu menyambung perjalanannya. Tadi dia ingin mengisi perut, sebelum bertemu rakannya yang meminjam pen-drivenya. Maklum, musim hujan hujung tahun begini, perut terasa lapar sekali. Dia ingin berbaring dalam selimut sahaja pada hari yang dingin ini, sepertimana orang mati. Tapi, hari ini, dia, perempuan dalam hujan ini dengan penuh rasa syukur, berjalan dalam hujan, kerana masih hidup dan bahagia menikmati hujan, hamba Allah yang taat.

0 komen best:

 

Missleonora's~ Template by Ipietoon Blogger Template | Gift Idea