Kemudaan telah berlalu dan usia menggantikannya dengan pengalaman dan kematangan.
Minggu ini, DPP Petronas telah menganjurkan program Eksplorasi Ilmu di Menara Gading. Program ini merupakan kunjungan balas SK Bekuai kepada DPP Petronas yang telah menjalankan program Bakti Siswa pada Januari lalu. Secara ringkasnya, program ini merupakan program motivasi untuk pelajar darjah enam SK Bekuai yang energetic!
Saya dimaklumkan yang program ini dirancang kerana anak-anak ini tidak ada tumpuan dalam belajar dan hilang semangat. Hanya beberapa orang sahaja yang lulus kesemua matapelajaran dalam peperiksaan baru-baru ini. Ada juga yang datang sekali seminggu ke sekolah. Pada zaman kanak-kanak saya, hal tidak datang sekolah seperti itu adalah rare dan terpencil.
Mereka masih kanak-kanak. Masih sangat energetic. Masih boleh dilentur. Masih perlukan perhatian dan belaian.
Dua hari dengan adik-adik ini, mereka sangat super active. Lompat sana, panjat sini, sekejap begitu dan kadang-kadang begini. Syakira, kakak fasi, sampai pucat muka selepas mengendalikan satu slot. Kami yang fasilitator pening kepala dengan kerenah adik-adik ini. Kami sudah lupa bagaimana nakalnya kami dulu. Mungkin juga kami dulu semuanya sopan belaka, jadi kami mati akal dengan adik-adik ini.
Nakal itu biasa. Mereka sedang belajar. Potensi mereka masih belum digilap. Perjalanannya masih panjang dan jauh.
Kemudaan mereka adalah anugerah, dan saya yakin, mereka akan menjadi bunga dan madu untuk ummah, suatu masa nanti. Moga Allah jaga adik-adik ini, dan memandu kehidupan mereka berlandaskan deenNya.
