“For everything you have missed, you have gained something else, and for everything you gain, you lose something else.” Ralph Waldo Emerson
Dalam hidup ni, kalau kita tak berada dalam ketaatan, bermakna kita berada dalam kemaksiatan. Hati kita, kalau bukan terisi iman, ianya nafsu. Saya sering sekali mendengar perumpamaan bahawa hati ibarat cawan. Cawan, yang asalnya bersih, jika diisi air, maka airnya boleh diminum. Dan cawan sama yang asalnya bersih, dibiarkan di suatu tempat tanpa terisi air, ia akan terisi debu dan habuk. kotor. Jadi ia mesti selalu dibasuh, dibersihkan, dicuci..
Kita, kalau Allah tak pilih untuk sibuk dengan perkara baik, mungkin kita akan disibukkan dengan perkara yang sebaliknya.
Kebanggan dan harapan.
Bila kita menjadi seorang anak, maka kitalah kebanggaan, dan kitalah harapan.
Sekarang ni musim konvokesyen dan pesta konvo. Sudah beberapa hari saya melihat para ibubapa di sana-sini, dengan berpakaian smart, dan wajah gembira. Kalau tentang perasaan ibubapa, saya suka meneliti. Bapa yang anaknya konvo, rasanya macam pada hari itu itulah bapa yang paling hensem, lebih kacak daripada anak yang berkonvo. Itulah ibu, yang lebih manis dan lawa daripada para gadis, pada hari majlis konvokesyen anaknya. Tak perlu nak tanya, "pakcik happy ke anak dah konvo?"... Kejap lagi pakcik tu boleh cerita sehari suntuk tentang anaknya yang berjaya konvo itu.
Well. Hari konvo sebenarnya meraikan kegigihan ibubapa mendidik anak, bekerja dengan bersungguh-sungguh agar anak mendapat pendidikan yang begitu mahal nilainya, yang tak letih berdoa saban hari, yang membebel dan bising-bising tentang disiplin anak bila perlu, yang mempunyai cara tersendiri memotivasikan anak-anak bila mereka putus asa, sedih dan terasa penat. Kalau saya yang konvo, kalau boleh nak angkut ibu naik pentas, saya sudi! Nak cakap pada Naib Canselor, bahawa inilah ibu yang saban hari tak putus-putus memberi restu dan doa. Nak kabor bahawa inilah abah, yang mengikat perut mungkin, bila saya minta duit belanja lebih, untuk urusan kelab dan akademik.
Di sebalik sekeping kertas, tercoret pelbagai rahsia dan cerita. Namun, sebagai seorang mukmin, apakah nilainya scroll yang ada pada tangan kita itu?
Kalau kita belajar demi mendapatkan scroll dan meraikannya pada hari konvokesyen, semua itu telah berlalu. Kalau kita belajar kerana Allah, Allah itu kekal selamanya. Semoga kejayaan yang diraih dapat meningkatkan keimanan, bahawa kita tak berjaya atas hasil usaha sendiri, bahawa kita mengingati kesementaraan hidup. Semoga kejayaan yang diraih dapat membantu dalam menyumbang kepada agama dan negara.
Bagi yang tidak usai perjalanan sebagai bachelor degree, tak mengapa. Bersyukurlah, andai masih beriman. Apa yang penting ialah kita dapat meraikan kemenangan di destinasi abadi.
Semoga, pada saat saya meraikan konvokesyen atas izin Allah pada tahun depan, saya mengingati, dan membaca semula erti konvokesyen yang saya faham pada tahun ini. Dan semoga ada penambahbaikan terhadap apa yang saya fahami ini, tentang konvokesyen seorang mukmin.

1 komen best:
amin.. semoga kita dapat kemenangan di akhirat. Amin..
Post a Comment