Tinggal di rumah makcik dan membantu apa yang mampu, adalah satu ketuahan —membantu dengan rasa besar hati.
Saya diminta mengambil adik sepupu pulang dari sekolah setiap hari, Isnin-Jumaat. Budak ini saya rasakan kurang beradab, dia tidak pernah mengucapkan terima kasih setiap kali saya menghantarnya pulang dengan selamat. Malah kalau saya terlewat mengambilnya, muncung mulutnya bahkan panjang, malah mukanya masam sekali. Ada hari, dia menghempas pintu kereta dengan begitu kuat, membuatkan saya rasa ingin menyumpahnya (atau mungkin telahpun menyumpah anak ini).
Geram. Saya refleks.
Mahalnya adab dia ini, mungkin kerana ibu bapanya berbicara dengan kasar, menyindir anak, tidak pernah bercakap dengan tenang, sentiasa menyebut kos belanja saban hari.
Atau, saya orang yang tidak ikhlas melakukan kerja sukarelawan ini. Penat, memang ya. Kadang seharian saya memerah otak bekerja, kemudian menghadapi ujian akhlak remaja seperti ini. Mungkin kerana ini saya belum berkahwin lagi- sebab lelaki selamanya anak kepada seorang perempuan- tidak mampu menghadap perangai hormon tak stabil.
Dia membuatkan saya berasa seperti pemandu peribadinya. Ada hari, tiba2 je menyuruh saya mengambilnya di stesen LRT. Hari ini dia dengan ayat arahan memberitahu dia xperlu diambil tanpa memberitahu sebab.
Tidak tahu cara terbaik menghadapi situasi ini, saya hanya berkata 'terima kasih' setiap kali dia turun dari kereta.
