"aku mencintaimu", sebuah lafaz yang bisa menggentarkan jiwa dan mengubah sistem diri menjadi luar biasa.
Cinta menjanjikan kebahagiaan. Cinta itu indah dan mengasyikkan. Cinta, mendengarkan perkataan itu sahaja hati sudah berbunga.
Benarkah begitu?
Ketika seseorang datang menemui Rasulullah, lalu berkata, "Ya Rasulullah, aku sangat mencintaimu". Rasulullah menjawab; "fikirlah baik-baik sebelum berkata demikian". orang itu menjawab,"Telah kufikirkan, aku sangat cinta padamu, wahai Rasulullah". Rasulullah mengulangi lagi, "Fikirlah sekali lagi sebelum kamu mengumumkan perkara ini". "aku masih cintakanmu, Ya Rasulullah."
maka, Rasulullah pun bersabda, "Jika kamu ikhlas dengan kata-katamu, maka bersedialah menghadapi kemiskinan yang akan menerpa dari segala arah kerana ia akan mengejar mereka yang cintakan aku sepantas air menuruni sungai".
Secara fitrahnya, jika kita mencintai seseorang, kita akan sanggup menuruti apa sahaja kata-katanya. Perintahnya. Suka kepada kesukaannya, mampu mengharungi kepayahannya, menangisi setiap tangisannya, sentiasa ingin menggembirakannya.
Secara fitrahnya juga, cinta menjanjikan jalan yang penuh berliku. Setiap cinta pasti ada dugaannya. Setiap yang mencintai pasti ingin kenal dengan lebih dalam tentang apa yang dicintainya. Cinta adalah suatu kuasa yang mampu mengubah seseorang dan memberi energi luar biasa apabila hatinya dipenuhi cinta.
Setiap yang mencintai pasti akan menangis kerana cintanya. Kita ingin cinta yang kita miliki menjadi seperti air sungai; jernih, boleh dimanfaatkan, dan sentiasa mengalir walaupun terpaksa merempuhi liku-liku dan duri duri.
Dan, cinta telah menjadikan kita seperti apa atau siapa diri kita sekarang. Cuba fikir; apakah yang kita paling cintai?